https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jadikan integriti nilai peribadi, kepemimpinan jati diri


Oleh Tan Sri Lee Lam Thye 

 Hari ini kita menyambut Hari Integriti Nasional. Kita perlu sedar integriti bukan sekadar slogan atau sambutan tahunan, sebaliknya nilai asas membentuk akhlak masyarakat, memperkukuh institusi negara dan mencerminkan siapa kita sebagai rakyat Malaysia.

Integriti adalah asas kepercayaan. Sesebuah negara hanya boleh maju apabila rakyat yakin terhadap keadilan sistem, ketelusan kepemimpinan dan akauntabiliti dalam sektor awam mahupun swasta. Tanpa integriti, tiada keadilan, tadbir urus yang baik dan keharmonian sosial.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia berdepan pelbagai cabaran dari skandal rasuah, salah guna kuasa, ketirisan kewangan hingga tingkah laku tidak beretika yang menjejaskan keyakinan rakyat. Ini mengingatkan kita perjuangan menegakkan integriti masih panjang dan memerlukan komitmen semua pihak.

Sempena Hari Integriti Nasional ini, marilah kita menilai tiga tanggungjawab utama.

Pertama, integriti sebagai nilai peribadi. Setiap rakyat mesti mengamalkan kejujuran dalam kehidupan harian tidak kira di tempat kerja, premis perniagaan, dalam perkhidmatan awam, malah dalam tindakan kecil setiap hari. Integriti bermula dari diri sendiri.

Kedua, integriti dalam kepemimpinan dan tadbir urus. Pemimpin negara, sektor korporat, organisasi, sekolah dan komuniti mesti menjadi contoh teladan. Keputusan mesti telus, dana awam perlu diurus dengan amanah, manakala kuasa tidak boleh disalahgunakan. Rakyat berhak menuntut akauntabiliti daripada setiap individu yang diberi kepercayaan.

Ketiga, integriti sebagai budaya masyarakat. Apabila masyarakat membiasakan diri dengan rasuah sama ada melalui sogokan, pilih kasih atau jalan pintas, kita sebenarnya mengorbankan masa depan generasi akan datang. Budaya integriti akan memastikan keadilan sosial, melindungi aset negara serta meningkatkan imej Malaysia di persada antarabangsa.

Justeru, rakyat Malaysia mesti terus menyokong usaha memperkukuh institusi integriti seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), unit integriti dalam agensi kerajaan, perlindungan pemberi maklumat serta undang-undang yang tegas terhadap salah guna kuasa. Penguatkuasaan mesti adil, tegas dan bebas daripada campur tangan.

Semai integriti sejak di bangku sekolah

Namun, penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Integriti perlu dididik sejak di bangku sekolah, diamalkan dalam keluarga dan diperkasa di tempat kerja. Apabila anak-anak membesar dalam persekitaran yang menyanjung nilai kejujuran dan menolak budaya rasuah, mereka akan mewarisi Malaysia yang lebih baik daripada hari ini.

Sempena Hari Integriti Nasional ini, marilah kita memperbaharui komitmen untuk:

Menolak rasuah dalam apa jua bentuk
Menentang ketidakadilan
Melaksanakan amanah dengan telus dan bertanggungjawab
Menjunjung kebenaran, keadilan dan maruah

Masa depan Malaysia tidak hanya bergantung pada kemajuan ekonomi atau teknologi, tetapi kepada kekuatan nilai moral dan integriti rakyatnya. Integriti adalah jalan menuju negara yang adil, makmur dan dihormati.

Penulis adalah Ahli Institut Integriti Malaysia (IIM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.