Jangan diulang lagi Kor Ming, contohi Samy Vellu, Keng Yaik lebih gentleman!
Oleh Zulkifli Jalil
SAYA yakin wartawan Utusan Malaysia yang bertanya soalan kepada Nga Kor Ming pasti terkejut dengan respons jawapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, Rabu lalu.
Soalan sewaktu menteri terbabit mengumumkan projek pencahayaan bandar I Lite U di ibu negara memang patut ditanyakan mana-mana wartawan. Tapi mengapa aksi sebegitu rupa ditonjolkan Kor Ming.
Mengapa tema projek itu dalam bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan, namun dibalas menteri itu dengan mempersoalkannya pula: 'Awak dari media mana? Saya akan hubungi 'chief editor' awak'.
Kita rakyat Malaysia hari ini tidak mahu lagi dihidangkan dengan gelagat sebilangan menteri yang perawakan diri lebih terserlah berbanding kerja menterinya.
Sehinggakan pembawaan cara respons kepada media, gaya pakaian serta apa dilakukan dalam kehidupan peribadi, lebih mahu diikuti warga maya daripada penyampaian maklumat dan penyelesaian satu-satu masalah dihadapi rakyat.
Malah ada ketika ungkapan atau kenyataan dikeluarkan lebih retorik, tidak realistik yang berpijak di bumi nyata. Dan kita tidak pasti apakah 'situasi dihadapi' Kor Ming ketika menjawab soalan wartawan berkenaan Rabu lalu. Namun waima apa pun keadaannya, hormatilah suara media.
Hormat kebebasan media
Hormat kebebasannya. Media, apa lagi akhbar bukan alat propaganda semata-mata. Ia institusi berdiri di antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan menuntut pemahaman rakyat, sementara rakyat menyampaikan aspirasinya melalui media dan akhbar. Maka, ia menjadikan peranan wartawan adalah besar pada tahun awal kemerdekaan sehinggalah dekad 2000-an ini.
Bukan mudah kerja orang media. Ada wartawan diherdik, dimaki, malah diminta meninggalkan lapangan sidang akhbar atas alasan 'media-akhbar anda tidak dijemput'. Insiden menjengkelkan ini bukan berlaku sekitar 1950-an, 1960-an atau 1970-an, tetapi anehnya sekitar 2020/2021 dan terbaharu aksi menteri terbabit Rabu lalu.
Dan sekali gus menyebabkan saya sendiri selaku pengamal media hampir tiga dekad ini terpana seketika. Apa sudah jadi dengan kebebasan akhbar Malaysia ini? Sudah jadi negara komuniskah seperti mana negara bernaung di bawah Kesatuan Soviet (USSR) sebelum bubar Disember 1991, dengan wartawan 'disekat dan dikepung' daripada mendapatkan berita atau ditentukan 'angle' begitu, begini beritanya.
Kerajaan hari ini masih dalam 'situasi isu majoriti'. Jadi, perlu pasang telinga rapi-rapi supaya kelak tidak terjadi 'masuk gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tak masuk gol yang banyak'. Kerana itu, pejabat komunikasi kerajaan harus laporkan kepada ketua apa yang benar dan apa yang tidak benar. Biar laporan itu dinilai subjektifnya, difikir secara objektif.
Lawak tak kering gusi
Kembalikan suasana ketika iklim politik penuh dengan ketegangan dan tidak menentu, menteri masih boleh bikin 'lawak kering' hingga tak kering gusi wartawan dibuatnya.
Mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik contohnya dikenali sebagai menteri 'air liur'. Bukan bermaksud mendiang hanya pandai berjanji tetapi kerana air liurnya sering tersembur ketika bercakap atau berucap.
Mendiang menyedari hal ini hingga boleh membezakan wartawan di depannya itu wartawan baharu ataupun wartawan senior: "You mesti reporter baru sebab 'berani' duduk depan saya, reporter lama mesti mau duduk jauh punya," tergiang-giang di telinga saya ayat mendiang.
Mendiang Tun S Samy Vellu pun lebih kurang macam Keng Yaik. Beliau pasti melayan dan menjawab setiap soalan wartawan biarpun ada ketikanya lif membawanya hampir tertutup.
"Tol naik sikit, marah sama saya. You ingat ini semua tol saya punya bapak punya kah?" kata Samy Vellu dalam nada seloroh, hingga saya dan rakan-rakan media sekitar lewat tahun 1990-an tergelak besar.
Itu belum lagi saya bercerita pasal kisah Pak Melan atau Tan Sri Melan Abdullah. Pak Melan adalah bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia. Kehebatannya dalam dunia penulisan menjadikan beliau rapat dengan ramai pemimpin negara terutama dengan Tunku Abdul Rahman sewaktu almarhum menjadi Perdana Menteri.
Pak Melan
Ada satu kisah mengenai Pak Melan dan almarhum Tunku. Sewaktu terjadinya peristiwa konfrontasi antara Malaysia dengan Indonesia, Pak Melan bukan sahaja seorang wartawan malah mengepalai gerakan perang saraf atas nama Barisan Bertindak Rakyat Malaysia dengan menganjurkan tunjuk perasaan menentang pemimpin Parti Komunis Indonesia D N Aidit dan Menteri Luar Indonesia, Subandrio yang menjadi dalang dasar konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia.
Antara yang menarik ditulis oleh Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin dalam bukunya Hari Itu Sudah Berlalu ialah mengenai kisah Tunku mencarut di hadapan Presiden Sukarno dan wartawan asing selepas satu persidangan untuk menamatkan konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia antara Tunku dan Sukarno di Tokyo pada Mei dan Jun 1963 gagal.
Kata Zainuddin, apabila keluar daripada persidangan itu jurugambar akhbar dan wartawan asing berebut mengambil gambar Sukarno dan Tunku.
Kisah Tunku Abdul Rahman mencarut di hadapan Presiden Sukarno dan para wartawan asing setelah sidang menamatkan konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia antara Tunku dan Sukarno di Tokyo pada Mei dan Jun 1963 menemui kegagalan, telah menghasilkan
Melan berada di antara mereka. Tunku dan Sukarno tidak menunjukkan wajah gembira sekalipun diminta tersenyum beberapa kali oleh jurugambar dengan berkata 'cheese'.
Apabila didesak berkali-kali, Tunku akhirnya mencarut dengan perkataan Melayu yang terkenal dengan empat huruf menyebabkan Sukarno meletus ketawa dan Tunku sendiri ketawa. Bukan lagi tersenyum.
Ketawa semakin hebat apabila seorang wartawan bertanya 'is that cheese, Tunku?' Tunku menjawab, "ya ya, something smell like cheese." Itulah menghasilkan gambar Tunku, Melan dan Sukarno ketawa besar.
Nampak tak betapa besarnya peranan dan sumbangan seorang wartawan seperti Pak Melan hingga boleh jadi 'tukang damai' secara tak rasmi antara dua pemimpin gah bertelagah.
Masa berlalu, banyak soalan, tidak kurang berbelas ditanya pihak media kepada menteri, tangkas sahaja mereka menjawab. Berlandaskan fakta, biarpun ada banyak ketika diwarnai santai gelak ketawa antara YB menteri dengan pihak media. Tetapi hari ini, baru satu dua soalan sahaja diajukan, sudah menyinga. Bantai depan muka wartawan.
Kor Ming sudah minta maaf, itu lebih baik, lebih gentleman (budiman).





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.