https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dasar perkasa bahasa Inggeris tepat, jadi ikutan negara jiran


Oleh Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

SATU ketika dahulu, alam pendidikan negara pernah menjadi panas membara bukan kerana isu disiplin pelajar, tetapi apabila kerajaan mahu memperkenalkan dasar baharu pendidikan, khusus untuk memperkasa penguasaan bahasa Inggeris kepada pelajar.

Kita pernah digegarkan dengan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kemudian dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Kini Kementerian Pendidikan (KPM) meneruskan Program Dwibahasa (DLP) bagi subjek Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Inggeris. Matlamat tetap sama, meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Niat murni kerajaan ini tetap berdepan konfrontasi dan polemik daripada pejuang bahasa Melayu, termasuk mereka yang agak ekstrem dalam perjuangan memartabat bahasa kebangsaan.

Ironinya, minggu lalu, Indonesia mengumumkan dasar baharu pendidikannya iaitu akan menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib bagi murid sekolah rendah mulai 2027.

Ia sebagai sebahagian daripada pembaharuan pendidikan bertujuan meningkatkan kecekapan berbahasa Inggeris generasi baharunya dan memperluas pembabitan global.

Selain itu, bahasa Portugis akan diperkenalkan sebagai mata pelajaran keutamaan di negara itu, sebagai usaha memperkukuh hubungan diplomatik dan kebudayaan dengan Brazil serta negara berbahasa Portugis lain.

Langkah itu menandakan kesediaan Indonesia mencorak pemikiran generasi mudanya dalam ekosistem dunia berteraskan komunikasi antarabangsa, ekonomi rentas sempadan dan jaringan ilmu global.

Patutkah kita di Malaysia terkejut dengan perkembangan terbaharu di negara jiran ini atau wajarkah kita berbangga kerana sudah lebih awal melaksanakan dasar pendidikan bermatlamat memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Ternyata, Malaysia sudah lama mendahului, membentuk dasar penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa asing secara terancang serta berani walaupun mendapat tentangan. Malaysia antara negara terawal Asia Tenggara menyusun dasar pendidikan berorientasikan dwibahasa dan penguasaan pelbagai bahasa asing secara sistematik.

Hari ini, dasar memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris serta bahasa asing lain sangat berjaya tanpa menjejaskan martabat serta maruah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

DLP di sekolah, penggunaan bahasa Inggeris dalam bidang profesional di universiti, serta penawaran bahasa asing seperti bahasa Arab, Mandarin, Jepun, Perancis dan Jerman pada peringkat menengah dan pengajian tinggi sudah menjadi normal.

Keberanian kerajaan melaksanakan dasar pendidikan dianggap melanggar norma kebangsaan itu kini meletakkan pelajar dan graduan Malaysia diakui mempunyai kemahiran komunikasi lebih tinggi dan bersedia menyesuaikan diri dalam dunia pekerjaan global.

Jadi nilai tambah

Dalam sektor korporat, kewangan, sains dan teknologi, kecekapan berbahasa Inggeris menjadi nilai tambah utama yang membezakan graduan tempatan dengan tenaga kerja serantau lain.

Malaysia berjaya membina generasi pelajar yang tidak hanya menguasai bahasa untuk tujuan akademik, tetapi mampu menggunakannya dalam perundingan, diplomasi, urus niaga antarabangsa dan penyelidikan.

Hasilnya, negara ini berjaya melahirkan tenaga profesional fasih berbahasa, berpandangan global dan berfikiran terbuka, satu cerminan kepada kejayaan dasar pendidikan pelbagai bahasa yang matang dan berpandangan jauh.

Ia membuktikan dasar menguasai pelbagai bahasa bukan ancaman kepada jati diri, sebaliknya pelengkap kepada kekuatan nasional serta individu itu sendiri.

Dalam bidang diplomasi, ia menjadi asas kepada komunikasi membina persefahaman antara Malaysia dengan negara lain, sementara dalam penyelidikan dan akademik, ia memperluas capaian ilmu serta kerjasama global.

Kita perlu mengakui, menguasai bahasa asing bukan sekadar satu ilmu untuk tahu bertutur, tetapi memiliki kunci memahami dunia.

Dalam aspek ini, sejarah menguasai banyak bahasa memberi pengajaran berguna kepada tamadun, negara dan manusia. Contohnya pada zaman keemasan tamadun Islam, sarjana di pada era khalifah Islam di Baghdad, Andalusia dan Usmaniah menterjemah karya falsafah, sains dan perubatan daripada pelbagai bahasa seperti Yunani, Parsi dan Sanskrit ke dalam bahasa Arab.

Mereka tidak melihat penguasaan bahasa asing sebagai pengkhianatan terhadap bahasa sendiri, tetapi sebagai jalan memperluas cakerawala ilmu. Hasilnya, dunia Islam menjadi pusat ilmu dan pencerahan selama berabad-abad.

Maka, prinsip sama wajar menjadi panduan kita hari ini. Mempelajari bahasa asing tidak bererti menolak bahasa ibunda. Ia bukan pengkhianatan, tetapi cerminan keterbukaan minda dan kematangan jiwa.

Malangnya, di negara ini ada sebahagian masyarakat masih berpandangan sempit seolah-olah menguasai bahasa asing bermakna menolak bahasa sendiri atau fasih dan cekap berbahasa Melayu sebagai mengkhianati keturunan kaum sendiri.

Pandangan ini harus diperbetulkan. Bahasa bukan gelanggang persaingan, tetapi saling melengkapi, mengukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum.

Hidup dalam era digitalisasi ini, ia bukan hanya menuntut kebijaksanaan, kekuatan dan keberanian tetapi keperluan menguasai bahasa asing bagi menjana fikiran baharu dan kecekapan berkomunikasi. Bahasa bukan tembok penghalang, tetapi jambatan penghubung antara manusia serta negara.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita (Rencana)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.