Majoriti pengundi muda Sabah belum putuskan calon pilihan putuskan undi siapa
Oleh Oleh Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim -
Kempen Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah menyaksikan begitu ramai calon menawarkan diri untuk jadi wakil rakyat, bukan hanya mewakili parti politik, bahkan turut disertai banyak calon bebas daripada pelbagai latar belakang.
Malah, terdapat beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi hingga berbelas calon. Pada masa sama, ada beberapa kerusi menyaksikan pertembungan sesama adik-beradik daripada parti berbeza.
Ada juga calon adik-beradik bertanding di DUN berbeza, bukan sekadar dua bahkan hingga tiga beradik. Selain itu, ada juga pasangan suami isteri bertanding di kerusi berlainan.
PRN kali ini turut menyaksikan penyertaan beberapa ahli Parlimen dan timbalan menteri Kerajaan Persekutuan. Selain calon muka baharu, ramai juga 'otai' atau tokoh lama politik Sabah masih bertanding untuk persaingan kali ini.
Selain itu, walaupun pelbagai siri rundingan diadakan sejak awal, beberapa kerusi masih berlaku pertembungan sesama sendiri dalam blok kerjasama politik sama.
Semua itu menggambarkan betapa meriahnya PRN17 hingga ramai calon sama ada mewakili parti atau bertanding bebas berebut untuk mewakili rakyat ke dewan legislatif Sabah.
Apapun, kempen baru sahaja bermula, apa-apa sahaja kemungkinan boleh berlaku, semua parti dan calon bertanding akan berusaha sebaiknya untuk memenangi hati pengundi. Pada masa sama, masih terlalu awal untuk menjangkakan siapa yang akan keluar sebagai pemenang.
Namun, berdasarkan pemerhatian awal di lapangan, ada beberapa perspektif menarik boleh dikongsi. Antaranya faktor pengundi muda dijangka akan memberi pengaruh besar dalam keputusan kali ini.
Berbanding pengundi PRN pada 2020 yang hanya berjumlah 1.1 juta pengundi, PRN17 menyaksikan pertambahan mendadak bilangan pengundi sehingga hampir mencecah 1.8 juta, iaitu peningkatan hampir 700,000 pengundi baharu.
Majoriti pengundi baharu adalah pengundi muda yang akan mengundi kali pertama dalam PRN17, sekali gus berupaya merubah landskap politik Sabah secara signifikan.
Lebih menarik, sehingga kini ramai pengundi muda belum membuat keputusan siapa yang akan diundi, bahkan penyertaan anak muda dalam perarakan penamaan calon juga agak dingin, lebih banyak disertai generasi berusia.
Temu bual rawak dengan anak muda di jalanan juga menunjukkan ramai belum membuat keputusan, secara umumnya mereka masih dalam mod tunggu dan lihat sebelum membuat pilihan akhir.
Manfaatkan media digital
Dengan kata lain, secara umumnya pengundi muda belum mengikat kesetiaan dengan calon atau parti politik tertentu. Siapa berupaya memancing sokongan anak muda nanti berpotensi untuk keluar sebagai pemenang.
Sebab itu, selain kempen secara bersemuka, calon dan parti bertanding juga dijangka akan memanfaatkan sepenuhnya media digital secara optimum untuk mendekati kelompok ini. Dalam konteks Sabah ini, WhatsApp, TikTok dan YouTube diketahui sebagai medium maya utama mereka mendapat maklumat.
Berbeza dengan pengundi Semenanjung yang rata-rata cenderung mengundi berdasarkan faktor parti, tinjauan awal di Sabah menunjukkan mereka lebih cenderung memilih berdasarkan faktor calon.
Ini agak menarik kerana keputusan pengundi untuk membuat pilihan tidak hanya ditentukan berdasarkan prestasi calon sepanjang 14 hari kempen, tetapi turut mempertimbang rekod khidmat sepanjang masa calon, khususnya di luar musim pilihan raya.
Selain faktor calon, beberapa isu juga dijangka memberi kesan signifikan terhadap corak pengundian kali ini. Antara yang berpotensi mempengaruhi pilihan pengundi adalah peruntukan 40 peratus daripada hasil cukai dikutip daripada rakyat Sabah.
Isu infrastruktur 'tiga beradik', iaitu jalan, api dan air terus jadi maudud utama dibualkan pengundi. Mereka meletak harapan tinggi agar kemudahan berkenaan diberi perhatian serius oleh semua parti bertanding, khususnya yang bakal mentadbir Sabah nanti.
Isu lain yang turut hangat dalam fasa awal kempen ini juga adalah sentimen berkisar semangat pribumi Sabah, sama ada menggunakan slogan Sabah for Sabahan, Sabah First dan seumpamanya. Sehingga kini, kempen ini dilihat sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada parti lokal.
Seperti disebut awal tadi, kempen baru sahaja bermula, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Namun pemerhatian awal pascapenamaan calon, belum ada parti tunggal dilihat berpotensi menang sekurang-kurangnya majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Namun, cerapan semasa menunjukkan terdapat beberapa parti agak terkehadapan dan berupaya memenangi kerusi dalam persaingan kali ini. Antara parti berkenaan ialah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (WARISAN), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Parti lain yang turut berpeluang memenangi kerusi adalah Perikatan Nasional (PN), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan beberapa calon Bebas.
Selain senarai berkenaan, belum ada petunjuk jelas ada parti lain berupaya memenangi kerusi dalam pertembungan kali ini. Bagaimanapun, tempoh kempen masih panjang, parti yang masih berbaki masih berpeluang untuk disenaraikan dalam senarai pemenang kerusi jika kena dengan strategi.
Seperti disebut awal tadi, PRN kali ini sangat meriah, menarik dan mendebarkan. Dalam pesta demokrasi dijamin Perlembagaan Persekutuan, inilah peluang terbaik pengundi berjumlah hampir 1.8 juta orang untuk membuat pilihan bagi memilih kerajaan Sabah untuk tempoh lima tahun mendatang.
Ruang dan peluang ini wajar dimanfaatkan sebaiknya oleh pengundi untuk memilih kerajaan terbaik untuk mereka sendiri.
Penulis adalah Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Felo Penyelidik ILHAM Centre





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.