Menunggu nasib pasukan 'hampir juara'
Seminggu Liga Perdana Inggeris (EPL) berehat untuk memberi ruang kepada perlawanan antarabangsa. Setakat artikel ini ditulis Arsenal mengungguli takhta selepas mengharungi 11 perlawanan dengan 26 mata , diikuti pasukan kegemaran saya – Chelsea – yang mengumpul 23 mata daripada 12 perlawanan.
Tempat ketiga pula ialah Manchester City dengan 22 mata daripada 12 perlawanan.
Saingan EPL masih panjang tetapi melihat kepada semangat dan ketekalan “pasukan hampir juara” saban musim, nampak mereka memang sukar digugat. Tapi buat masa inilah. Pada awal pagi 24 Nov nanti The Gunners akan menentang jiran setempat, Tottenham Hotspur di laman sendiri.
Derby ini memang dinanti-nantikan peminat setiap musim.
Kalau dilihat kepada keadaan semasa Arsenal akan menang perlawanan tersebut. Sekurang-kurangnya di atas kertas ia kelihatan begitu. Tetapi Spurs juga tidak boleh dipandang enteng lebih-lebih lagi selepas kegembiraan mereka disekat oleh pasukan “setan merah” di laman sendiri , 2-2 pada 8 Nov lalu.
Pada masa-masa kec ederaan yang ditambah enam minit , Richarlison, berjaya mengelirukan penjaga gol Manchester United dengan tandukan jambul perangnya. Richarlison seperti kerasukan jin ifrit kerana yakin itulah gol kemenangan Spurs.
Penyerang dari Brazil itu menanggalkan jersinya berlari ke arah Spurs seolah-olah sudah menjulang Piala Dunia. Kejadian itu berlaku pada minit 90+1. Gegak gempita White Hart Lane.
Tapi pasukan lawan ada rancangan mengecewakan mereka pada minit paling rakhir melalui Harry McGuire. Ketika itu MU beraksi dengan 10 orang pemain saja kerana Benjamin Sesko cedera.
Belum ada rekod baru
MU berjaya menjaringkan gol, masa tinggal beberapa saat saja, dan pemain Spurs terbaring kecewa di atas padang. Mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri dan kini menghuni tangga kelapan, manakala manakala MU di tempat ke-10.
Pun begitu setakat ini kedua-dua pasukan memiliki mata yang sama – 18.
Melihat kepada keadaan ini sudah tentulah Spurs mahu mengalahkan Arsenal yang memang menjadi musuh tradisi mereka. Apatah lagi mereka tentu mahu memadamkan kesipuan masing-masing ekoran gaya terlampau meyakinkan dihidangkan Richarlison itu.
Mari kita bercerita mengenai Arsenal pula. Kelab yang juga dikenali sebagai The Gunners itu berlambangkan meriam antik dan berasal dari utara London. Mereka adalah antara kelab yang berjaya di England tetapi tidak pernah memenangi piala Champions League. Kesian.
Disebabkan ramai juga kawan saya yang menyokong Arsenal, mari kita berharap mereka berjaya memenangi sesuatu pada musim ini.
Memang simpati apabila biasanya mereka hanya mengungguli EPL pada awal-awal musim sebelum akhirnya “dipintas semasa di selekoh” pada akhirnya. Ia seumpama kekasih menghilangkan diri sehari sebelum bernikah.
Kali terakhir Arsenal memenangi EPL ialah ada musim 2003/2004 melalui pasukan The Invincible bimbingan Arsene Wenger. Mereka melakarkan sejarah dengan sangat bergaya apabila tidak mencatatkan sebarang kekalahan sepanjang musim.
Rekod itu belum dapat dipadamkan oleh sesiapa setakat ini.
The Gunners memenangi 26 perlawanan dan seri 12. Memang mantap. Skuad tak terkalahkan itu dibarisi pemain hebat seperti Thierry Henry, Dennis Bergkamp, Patrick Vieira dan Robert Pires.
Pada musim tersebut mereka menjuarai liga dengan 90 mata dengan meninggalkan Chelsea sebagai naib juara Chelsea dengan hanya 79 mata. MU pula di tempat ketiga dengan 75 mata, manakala Liverpool 70 mata. Jurang yang sangat jauh.
Tetapi entah kenapa sejarah itu tidak dapat diulangi lagi. Sudah lebih 21 tahun. Justeru mungkin ini kalilah Arsenal mencetak kejayaan yang saban kali tertunda.
Berdasarkan sejarah, sejak 2003 mereka memenangi Piala FA lima kali (2004/200505, 2013/2014, 2014/2015, 2016/2017, dan 2019/2020) dan Piala Sumbangsih empat kali iaitu (2004, 2014, 2015, 2017, 2020, dan 2023).
Arsenal memenangi kejuaraan EPL sebanyak tiga kali dan menjadi naib juara lapan kali. Maksudnya hampir juara sebanyak lapan kali.
Bawah Mikel Arteta, Arsenal ‘hampir menjadi juara’ pada musim 2022/2023, 2023/2024, 2024/2025.
Perkara ini juga berlaku pada Wenger pada musim 1998/1999, 1999/2000, dan 2000/202001.
Adakah Arteta akan mencipta sejarah selepas tiga kali ‘hampir juara’ atau menjadi juara Champions League untuk pertama kalinya? Sama-samalah kita lihat nanti.
SHAHRAY ZULKIFLI ialah peguam yang pernah bertugas di Brunei sebelum bersara pada akhir 2023. Dia kini menjadi penulis bebas dan penasihat bebas undang-undang keluarga Islam.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.