Shamsul Iskandar letak jawatan
Shamsul Iskandar Md Akin hari ini meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Anwar Ibrahim
Dalam kenyataan di media sosial, Shamsul berkata ada percubaan untuk menyerangnya “dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani”.
“Justeru saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini,” katanya.
Hantaran pada pukul 5.20 petang itu dibuat selepas Malaysiakini menghubunginya petang tadi untuk mendapatkan komen berhubung dakwaan dia menerima wang daripada ahli perniagaan Albert Tei berkaitan skandal perlombongan Sabah.
Bagaimanapun, Shamsul berkata dia menyerahkan surat letak jawatan kepada Anwar pagi tadi.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada PM di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya lagi.
Dakwaan Tei itu muncul seminggu selepas Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia telah menegur setiausaha politiknya memandangkan peraturan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran surat sokongan kepada kontraktor yang terlibat dalam projek hospital.
Terdahulu hari ini, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkongsi gambar Tei bertemu bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berhubung skandal perlombongan yang telah mengaitkan ramai ahli politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Memetik "sumber yang boleh dipercayai", Fadhli berkata dia dimaklumkan Tei telah mengadu kepada Mahathir tentang kumpulan yang telah mengarahkannya untuk merakam video yang melibatkan ahli politik Sabah berkenaan.
Tei kemudian mengesahkan kepada Malaysiakini yang dia menyerahkan kepada Mahathir semua dokumen sebanyak 340 halaman, serta sebuah video.
Mengulas perkara itu, Mahathir berkata seorang individu telah mendekatinya bersama-sama bukti yang mengaitkan kes rasuah itu dengan pegawai kerajaan dan dia hanya dapat menasihatinya agar menghubungi media.
“Disebut juga yang mengamal rasuah ialah pegawai dan kerajaan. sebaliknya Kerajaan konon sedang berjuang menghapus rasuah.
“Ternampak seperti biasa kerajaan kata lain, buat lain,” katanya di Facebook.
Sejak November tahun lalu, Tei telah mendedahkan sejumlah video, dokumen dan tangkap layar perbualan WhatsApp yang mendakwa ahli politik di Sabah menerima rasuah sebagai pertukaran bagi lesen penerokaan mineral.
Tei dan dua wakil rakyat negeri itu kemudian dihadapkan ke mahkamah.
Pengerusi GRS dan Ketua Menteri sementara, Hajiji Noor bagaimanapun mendakwa Tei sebagai sebahagian daripada kartel yang berhasrat untuk memonopoli perlombongan di negeri itu.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.