Apa bentuk Malaysia baru yang kita impikan di tahun 2026?
Tahun 2025 telah berlalu dengan seribu satu kisah dan cerita. Sedar-sedar kita kini sudah berada pada tahun 2026. Bagi sesetengah orang, ia mungkin sekadar peralihan suatu angka, seperti juga tahun-tahun sebelumnya. Tetapi bagi sebuah negara bernama Malaysia, ia bermakna negara ini dan kita rakyatnya telah melepasi tiga tahun pentadbiran di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suatu masa dahulu, melihat Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri hanyalah mimpi bagi ramai orang walaupun pernah juga suatu masa beliau hanya selangkah lagi untuk menduduki kerusi PM.
Tetapi antara tempoh selepas dipecat pada 2 September 1998 sehinggalah kekalahan teruk Keadilan dalam Pilihan Raya Kecil Ijok 2007, mimpi itu diibaratkan sesuatu yang agak mustahil. Pada ketika itu, Anwar dilihat sudah berada di penghujung kerjaya politiknya.
Tetapi politik adalah seni serba kemungkinan. Banyak perkara berlaku dengan pantas, dan sebahagiannya terjadi di luar jangkaan sesiapa.
Kebangkitan parti-parti pembangkang pada 2008, kegagalan Pakatan Rakyat pada 2013 dan kehancurannya pada 2015, kemunculan Pakatan Harapan dan kejayaan penuh debar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Langkah Sheraton 2020, serta PRU 2022 yang menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti sehinggalah membawa ke detik bersejarah pada 24 November 2022 apabila Anwar Ibrahim diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-10.
Mimpi akhirnya menjadi realiti. Tidak sedikit air mata yang tumpah. Tidak sedikit puji syukur diucapkan atas apa yang telah Allah anugerahkan. Anwar Ibrahim akhirnya diangkat sebagai Perdana Menteri.
Setelah hampir tiga tahun berlalu, persoalan yang wajar ditanya dengan jujur ialah: adakah mimpi itu telah membawa Malaysia menjadi lebih baik? Atau soalan yang lebih tepat, apakah sebenarnya mimpi yang benar-benar kita impikan sejak awal perjuangan Reformasi dahulu?
Kita mesti bermula dengan persoalan mengapa perubahan perlu dibuat. Umno dan Barisan Nasional telah memerintah lebih enam dekad. Bukan kecil kejayaan dan kebaikan yang dibawa oleh Umno. Kita mesti menjadi bangsa yang tahu berterima kasih kepada mereka yang berjasa dengan mengakui kebaikan yang telah dibuat serta kejayaan yang telah dicapai.
Tetapi Sunnatullah dan hukum alam yang selari dengan Teori Kitaran Tamadun Ibnu Khaldun, setiap penguasaan atau tamadun akan melalui fasa permulaan, perkembangan, kemuncak dan kejatuhan. Fasa kejatuhan berlaku apabila kesilapan dan kelemahan sistem dibiarkan tanpa pembetulan, sehingga kerosakan menjadi bersifat struktural dan bukan lagi bersifat individu.
Orang Melayu umumnya tidak pernah berganjak daripada mengundi BN sejak pilihan raya pertama sehinggalah PRU 1995.
Hanya selepas pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan insiden mata lebam, sebahagian orang Melayu mula menunjukkan penolakan dalam PRU 1999. Ramai pemimpin utama Umno tewas, malah Najib Razak sendiri hampir tewas di Parlimen Pekan dengan majoriti hanya 241 undi.
Walau bagaimanapun, BN masih kekal memerintah kerana pengundi Cina pada ketika itu tidak berpihak kepada Barisan Alternatif. Di negara jiran Indonesia, laungan Reformasi datang dengan pembantaian secara besar-besaran kepada komuniti Cina yang rata-ratanya menguasai sektor ekonomi.
Kemarahan yang berpunca daripada emosi selalunya bersifat sementara. Dalam PRU 2004, BN menang besar apabila pengundi Melayu kembali menyokong. Namun kemenangan besar yang lahir daripada harapan besar terhadap kepimpinan baru di bawah Pak Lah yang gagal diurus dengan baik akhirnya membawa kepada kemerosotan berterusan BN dalam PRU 2008 dan seterusnya sehingga PRU 2022 dan PRU di enam negeri pada tahun 2023.
Tahun 2025 turut membawa duka kepada penyokong Najib apabila rayuannya berkaitan Titah Adendum ditolak, dan Mahkamah seterusnya menjatuhkan hukuman bersalah dalam kes 1MDB. Keputusan ini menutup satu episod gelap dalam sejarah negara yang telah mencalar imej Malaysia di mata dunia.
Ternyata telah terbukti bahawa apa yang didakwa oleh Pakatan Harapan suatu ketika dahulu bukan fitnah. Hari ini, mahkamah telah membuktikannya melalui proses undang-undang.
Namun persoalan yang lebih besar mesti ditanya: adakah dengan terhukumnya seorang individu, Malaysia telah benar-benar selamat? Apakah ada jaminan bahawa skandal sebesar atau sedasyat 1MDB tidak akan berulang lagi pada masa hadapan?
Ramai menyalahkan Najib apabila skandal 1MDB berlaku. Ya, Najib bersalah. Tetapi apa yang kita selalu terlepas pandang ialah sistem yang membolehkan atau membiarkan skandal sebesar itu berlaku.
1MDB bukan hanya kegagalan seorang individu yang berada di tampuk kuasa, tetapi ia sebenarnya adalah kegagalan sistem. Sistem yang membenarkan pemusatan kuasa ketua cabang Eksekutif, kelemahan semak imbang di peringkat tertinggi, membiaknya budaya rasuah, ‘rent seeking’ dan politik wang yang berakar umbi, serta tadbir urus institusi yang longgar dan mudah dimanipulasi.
Maka selepas hampir tiga tahun berlalu di bawah pentadbiran Malaysia Madani, rakyat berhak tertanya-tanya: adakah sistem yang rosak itu telah benar-benar diperbaiki, atau kita sekadar menukar wajah tanpa membetulkan asas? Pemimpin akan datang dan pergi tetapi sistem yang tidak diperbaiki akan membiarkan kesilapan lama berulang.
Reformasi yang dilaungkan dahulu bukan janji kecil. Ia adalah janji besar untuk membina sistem baru. Sistem yang mengehadkan kuasa Perdana Menteri, memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, memperkukuh peranan Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas, mewujudkan Akta Pendanaan Politik, membebaskan institusi kehakiman dan SPRM daripada campur tangan politik, serta memastikan tadbir urus GLC tidak lagi menjadi lubuk penyelewengan dan membazirkan wang Negara.
Harus diakui, ada langkah awal telah dimulakan ke arah itu. Namun persoalan yang jujur ialah sama ada langkah tersebut mencukupi sekurang-kurangnya pada tahap ini?
Pada hari-hari awal 2026 ini, saya sendiri tertanya-tanya: adakah kita benar-benar sedang bergerak ke arah reformasi sistem yang menyeluruh, atau kita masih terperangkap dalam keperluan mengekalkan kestabilan politik yang tidak membawa agenda reformasi ke mana-mana.
Saya teringat ungkapan Inggeris ‘Take the bull by the horns’ yang selalu diucapkan oleh mantan Timbalan Presiden Amanah Allahyarham Salahuddin Ayub yang juga Bapa Rahmah Negara. Untuk menyelesaikan sesuatu masalah adalah dengan berdepan dengan situasi yang sukar atau berbahaya secara langsung dan yakin, bukannya mengelak atau melengahkannya. Bukan juga dengan menyelesaikan masalah-masalah kecil dan picisan tetapi isu sebenar terus dibiarkan.
Persoalannya adakah kita benar-benar ‘take the bull by the horns’?
Masa tidak akan menunggu kita. Peluang mungkin hanya datang sekali. Jika kita gagal kali ini, peluang kedua belum tentu bila.
Semoga Allah terus mengurniakan kekuatan dan kebijaksanaan kepada Perdana Menteri serta pasukannya dalam memikul amanah besar ini. Sebagai rakyat, kita juga perlu berperanan di setiap posisi masing-masing.
Semoga Reformasi akan benar-benar dirasai seawal tahun 2026 ini. Selamat Tahun Baru 2026 kepada semua.
MOHD HASBIE MUDA merupakan senator dan ketua pemuda Amanah.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.