https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ayuh gerakkan agenda sukan secara kolektif


Pantas sekali masa berlalu dan tirai sukan tanah air kita sepanjang 2025 sudah pun berlabuh dengan satu nota yang boleh ditakrif terpuji kali ini.

Pelbagai babak suka duka dilalui, khususnya penyudahan di podium menerusi pelbagai cabang sukan. Begitu juga emosi dan kenangan di atas pencapaian individu dan pasukan kebangsaan.

Rata-rata atlet negara hadir di pentas saingan dan menjelmakan kualiti persembahan pada tahap tertinggi.

Perkembangan seumpama itu sekadar menerbitkan keyakinan bahawa ruang untuk menjadi lebih baik tetap ada andai kita bersama-sama bangkit dan menjayakan agenda sukan negara secara kolektif.

Gemilang dilakar seperti sektor badminton yang amat konsisten tahun ini serta pencapaian 57 pingat emas oleh kontinjen negara di temasya Sukan SEA di Bangkok yang berakhir pada 20 Dis lalu adalah antara sajian peringkat antarabangsa yang memberikan kita saat-saat keceriaan.

Biarlah momentum baik itu disambung dengan meningkatkan lagi kekuatan mental dan fizikal - dua elemen yang boleh menjadi kayu pengukur mengejar lebih banyak detik gemilang untuk diri dan negara.

Dalam menghuraikan saat ceria ini, sorotan sukan kita juga tidak lengkap tanpa menyebut kegelapan ciptaan bola sepak yang mencetus impak besar pada 2025. Jelas isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan sudah mencalar maruah negara.

Rancangan jangka panjang

Penulis tidak perlu menceritakan panjang lebar kerana setiap rakyat Malaysia sudah pun mengikuti isu skandal terbesar itu sejak Jun lalu. Sehingga kini, kes berkenaan terus hangat dan entah bila dapat diselesaikan.

Isu yang perlu difikirkan ialah, apakah ngauman Harimau Malaya akan kedengaran lagi di pentas antarabangsa? Harap-harap segalanya akan berakhir dengan baik demi rezeki pemain dan juga masa depan pasukan.

Elok juga kita alihkan polemik kepada isu lebih realistik.

Apakah impian dan azam kita semua pada 2026 yang dijangka penuh dengan cabaran dan dugaan?

Objektifnya tetap sama – menyambung semula kerja dan perancangan jangka panjang bagi mengilhamkan impian yang masih belum tercapai iaitu meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Dalam tempoh dua tahun berikut ini, sasaran tersebut bakal menjadi keutamaan apabila atlet atau pun skuad negara akan bergelut mencari tempat dalam kontinjen ke temasya Los Angeles 2028.

Perlukah kita terus tertumpu kepada sumbangan badminton, basikal trek atau terjun sebagai lubuk emas?

Apakah skuasy – acara yang diselit dalam Olimpik buat julung kali – akan membuat kejutan untuk menjadi penyumbang pertama?

Setiap kejohanan disertai atlet negara sepanjang 2026 dan 2027 akan memberikan satu petunjuk awal mengenai kemampuan kita sama ada disiplin seperti disebut tadi akhirnya akan muncul sebagai juara pada pentas elit berkenaan.

Kita juga ada program Road to Gold (RTG) yang memantau kemajuan atlet. Jika tidak salah sasaran peningkatan ranking pada 2026 ialah berkisar kepada atlet dalam kelompok lapan terbaik dunia dan pada 2027 ia akan meningkat kepada empat teratas.

Jelas, situasi itu bakal mencengkam atlet yang sudah terpilih. Di sini, seperti dijangkaan, paling ramai hadir daripada sektor badminton iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M Thinaah, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.

Atlet baru perlu pendedahan

Atlet lain adalah Mohd Aniq Kasdan (angkat berat), Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal), serta S Sivasangari (skuasy).

Jadi, pencapaian atlet tersohor negara – yang masih memasang impian ke Olimpik – banyak banyak bergantung kepada kualiti dan keputusan masing-masing sepanjang 2026.

Kepada atlet lain yang tiada dalam senarai, usah putus harapan. Hal ini kerana sebarang kejutan besar di pentas dunia boleh menyaksikan nama mereka mungkin diselitkan bersama nanti.

Kemampuan dan nilai mereka itu boleh ditonjolkan apabila beraksi di Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 Sept sehingga 4 Okt, dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 23 Julai hingga 2 Ogos nanti.

Temasya terbesar seperti itu juga boleh membantu memberikan pemimpin sukan negara penanda aras bagi persiapan ke arah Sukan SEA 2027 apabila kita menjadi tuan rumah.

Pihak pengurusan juga perlu mendedahkan atlet pelapis negara agar mereka cepat belajar dan merapatkan jurang dengan atlet senior.

Ia bertujuan mempercepatkan kitaran peralihan atlet. Apa yang kita mahu lihat ialah wujudnya saingan lebih kompetitif di peringkat serantau dan antarabangsa.

Pegawai tertinggi, termasuk ketua jurulatih, umpamanya harus lebih komited kepada barisan muda. Hal itu kerana, kita tidak mahu kelompok pelapis yang berpotensi besar tertinggal apabila tumpuan kepada senior lebih diutamakan.

Jika berlaku, ia akan menyaksikan kitaran sukan kita terpaksa menunggu lebih lama sebelum dapat melahirkan juara kebangsaan yang baru.

Ringkasnya, kita mahu melihat lebih ramai Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang dan Nicol Ann David muncul daripada barisan pelapis yang ada sekarang.

Kitaran seumpama itulah yang harus diberikan keutamaan. Gesaan ini disuarakan kerana pegawai pengurusan masih cenderung bergantung harapan secara kerap kepada atlet bintang negara.

Tapi selama mana mahu memerah keringat mereka?

Kita kena yakin bahawa pelapis juga ada kemampuan besar untuk dibentuk menjadi juara satu hari nanti.

Semoga akan ada satu perubahan dalam minda supremo sukan bagi aspek seperti ini. Komitmen itu perlu dipergiatkan lagi pada 2026 sehingga ke detik permulaan Olimpik dalam tempoh dua tahun lagi.

Permulaan baru lebih bermakna

Sesungguhnya sukan tanah air memerlukan kumpulan baru yang muda untuk mengambil alih tugasan memikul tanggungjawab besar. Kita mahu kelompok muda mampu menjadi juara di Sukan Asia, umpamanya.

Untuk belajar atau menimba pengalaman, kita tidak perlu pergi merantau jauh. Cukup sekadar melihat model dan struktur persiapan serta latihan pusat di China, Jepun ataupun Korea Selatan.

Seperkara lagi, kita sebagai peminat tanah air juga ada tanggungjawab bersama dalam membantu agenda sukan negara. Ini termasuk berkongsi pandangan dan pendapat menerusi perdebatan dalam media sosial.

Ia boleh membantu tapi biar rasional sedikit. Jangan sampai ia disalahgunakan demi emosi atau serangan peribadi.

Ingat, sumbangan kita mungkin kecil tapi kita juga boleh menjadi penyebab kepada kejayaan atlet atau pasukan negara di pentas tertinggi jika ikhlas.

Marilah kita memulakan 'satu pertalian baru' yang penuh bermakna pada musim 2026.

Ibarat aur dengan tebing, peminat dan ahli sukan kita jelas ada fungsi besar untuk bersama-sama menjana kegemilangan dan kemasyhuran demi negara.

Majulah sukan untuk negara.

V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.