https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jangan jadikan atlet badminton ‘mesin’ hingga lunyai


Kalau tak mampu menjulang kejuaraan besar di bumi sendiri, di mana lagi?

Keluhan seperti ini bakal kedengaran di kejohanan badminton Terbuka Malaysia yang bermula di Stadium Axiata Arena, KL Sports City, Bukit Jalil, hari ini. Hal itu kerana badminton kita masih unggul dan sentiasa konsisten di pentas antarabangsa.

Tambahan pula kita memiliki sekelompok pemain bertaraf dunia pada saat ini. Jadi, sudah pasti harapan daripada komuniti badminton kita juga semakin tinggi.

Edisi terkini yang berstatus Siri Super 1000 sejak 2023 menjadi kejohanan pembuka tirai dalam kalendar Jelajah Dunia-BWF.

Sebagai peminat tegar, kita semua amat mengharapkan ada antara pemain elit negara muncul juara di kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$1.45 juta (kira-kira RM5.9 juta) ini.

Jadi, siapa pertaruhan terbaik kita kali ini?

Jika berpandu kepada pencapaian sepanjang musim 2025, jelas pasangan beregu wanita nombor dua dunia, Pearly Tan dan M Thinaah ada segala ramuan bagi menamatkan kemarau tanpa gelaran di laman sendiri.

Kemampuan mara ke separuh akhir bukan misi mustahil selepas mereka kerap terkandas di pusingan pertama pada beberapa edisi lalu.

Dalam acara beregu campuran, di sebalik gandingan mantap ditonjolkan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, kita masih meragui kemampuan sebenar juara dunia itu.

Itu bukan alasan

Pada hari terbaik, pasangan nombor tiga dunia terbabit boleh menggerunkan semua lawan termasuk dari China dan Thailand. Tapi jika kombinasi mereka longgar, termasuk kesilapan mudah depan jaring, hasilnya akan berbeza.

Berbanding Aaron Chia-Soh Wooik Yik, mungkin ramai mengalih harapan kepada pasangan kedua, Man Wei Chong-Tee Kai Wun. Pasangan nombor empat dunia itu memiliki tindakan penyudah lebih tajam dan lebih agresif.

Empat pasangan beregu elit itu nampaknya menjadi prospek utama bagi cabaran negara jika permainan mereka pada hari berkenaan menjadi hampir sempurna.

Legenda dan ikon badminton negara, Lee Chong Wei, adalah pemain terakhir menjuarai Terbuka Malaysia pada 2018.

Kenapa, pemain utama negara masih buntu mengilhamkan kemenangan sehingga hari ini?

Sesuatu yang boleh kita soal ialah, apakah ia terkait aspek tekanan gara-gara rasa gugup bermain di gelanggang sendiri? Rasa-rasanya, itu bukan alasan utama pada edisi kali ini.

Hakikat yang menerbitkan rasa bimbang pada saat-saat getir ini adalah kebanyakan pemain utama negara dilanda faktor keletihan dan semacam hilang selera. Ini kerana mereka beraksi dalam litar Jelajah Dunia secara berterusan sepanjang tahun lalu.

Mereka semua adalah manusia, bukannya mesin.

Setiap tahun mereka merentasi beberapa benua bagi kejohanan Siri Super dan juga kejohanan utama yang lain. Itu bermakna mereka memerah tenaga semasa bertanding sebelum disusuli lagi dengan latihan intensif sebagai persiapan untuk kejohanan berikutnya.

Ada kalanya mereka tempoh itu selang beberapa hari saja.

Rehat tak cukup

Senario seperti itu hanya memberikan gambaran betapa sukar melihat impian pemain elit kita – khususnya beregu lelaki, wanita atau campuran – muncul juara di laman sendiri.

Harap-harap ia satu tanggapan yang salah.

Aaron-Wooi Yik, Chong Wei-Wai Kun, Pearly-Thinaah dan Tang Jie-Ee Wei, umpamanya, beraksi tanpa henti kecuali jika mereka dilanda kecederaan atau mendapat pengesahan doktor bahawa kesihatan tidak mengizinkan.

Ia juga dipengaruhi oleh keperluan menjaga ranking dunia masing-masing dan kerap berada dalam kelompok terbaik.

Bayangkan ada antara mereka bermain antara 22 sehingga 25 kejohanan Siri Super sepanjang tahun lalu.

Pemain yang berada dalam ranking 15 teratas dalam acara perseorangan dan 10 beregu terbaik adalah terikat kepada syarat pertandingan iaitu mesti menyertai 12 acara wajib (empat Siri Super 1000, enam Super 750 dan dua Super 500).

Ada ketikanya tempoh rehat yang singkat antara kejohanan belum mencukupi bagi mereka untuk kembali segar ke gelanggang menyahut cabaran.

Contohnya selepas menamatkan cabaran di Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF di Hangzhou, China pada akhir Dis tahun lalu, mereka bersiap sedia untuk Terbuka Malaysia, hari ini.

Tambah perit, pemain utama kita seperti Pearly-Thinaah, Aaron-Wooi Yik dan Tang Jie-Ee Wei juga dikerah dalam Sukan SEA di Bangkok pada awal Dis tahun lalu.

Ini juga boleh dikaitkan dengan kehambaran mereka di Hangzhou.

Kecederaan membawa pembedahan

Difahamkan, pemain elit negara cuma ada sekitar dua minggu untuk berehat sebelum kembali semula ke latihan pusat. Nampak seperti tidak munasabah. Mereka seperti ‘dihukum’ dan diperah sebagai mesin kilang.

Ingat, 2026 juga akan lebih mencabar, baik dari segi mental dan fizikal pemain.

Selain Jelajah Dunia, mereka akan terbabit dalam pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber di Horsens, Denmark pada 24 April hingga 3 Mei ini.

Kemudian menyusul Kejuaraan Dunia di New Delhi (17-23 Ogos) dan Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun (19 Sept. hingga 4 Okt.).

Situasi sama juga bakal ditempuhi mereka sepanjang 2027 sebelum berdepan misi ke Sukan Olimpik pada 2028.

Kepincangan ini bukan setakat melibatkan pemain elit saja, malah beberapa lagi pemain bintang dari negara lain, seperti China, Korea Selatan, Denmark atau Indonesia, umpamanya turut dicengkam isu sama.

Contohnya, bekas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark. Pemain tinggi lampai itu terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan sejak memenangi pingat emas kedua berturut-turut di Sukan Olimpik pada 2024 di temasya Paris.

Dia juga menjalani pembedahan bahagian belakang badan dan bergelut mencari rentak. Dia juga tidak akan beraksi di Terbuka Malaysia kali ini.

Begitu juga situasi pada pemain perseorangan wanita nombor satu dunia, An Se-Young dari Korea Selatan yang difahamkan terus dibelenggu kecederaan bahagian lutut. Dia belum dapat pulih sepenuhnya atas tuntutan jadual pertandingan.

Lebih dekat dengan kita, Lee Zii Jia, juga mengalami kecederaan pergelangan kaki dan bahagian belakang sehingga mengehadkan penyertaannya kepada lima kejohanan saja sejak 2025.

Hakikat di sini jelas – pemain bukan robot. Mereka manusia yang memerlukan masa untuk pulih sebaik-baiknya.

Adakah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) nampak kepincangan ini atau lebih mementingkan jenama mereka serta soal penajaan dan pemasaran?

Wajar juga pengurusan pasukan badminton negara memikirkan satu formula terbaik demi kelestarian kesihatan pemain. Begitu juga ‘selera’ mereka agar ia berterusan di atas gelanggang. Pada masa sama ia juga dapat menjaga mutu kejohanan. V ASHOK ialah bekas pengarang sukan dan pengarang berita Luar Negara di Berita Harian.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.