Jangan sampai hubungan Pas, Bersatu dalam PN ‘terburai’
MUKADIMAH
Kemelut yang tercetus dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya melibatkan hubungan Bersatu dan Pas susulan perkembangan politik di Perlis, mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai masa depan gabungan itu. Namun tegas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, DR. AFIF BAHARDIN, perbezaan pandangan tidak wajar ditafsirkan sebagai keretakan serius, sebaliknya sebagai proses kematangan politik dalam sebuah gabungan besar. Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan jurufoto AFIQ RAZALI, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan itu berkata, hubungan antara Pas dan Bersatu adalah tunjang kekuatan PN yang tidak boleh dipisahkan, terutama dalam memastikan kestabilan sokongan Melayu.
Beliau turut menolak pandangan bahawa isu dalaman yang berlaku akan menggugat gabungan itu, sebaliknya menegaskan bahawa masa depan politik negara menuntut kesatuan yang lebih kukuh, bukan perpecahan.
PROSES KEMATANGAN
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Dr. melihat kemelut dalam Perikatan Nasional (PN) antara Bersatu dan Pas susulan pergolakan di Perlis? Ini proses kematangan dalam PN, tetapi apa yang berlaku di Perlis mungkin sedikit sebanyak lebih kepada perbezaan pendapat antara rakan dalam gabungan.
Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN sebenarnya membuka ruang kepada PN dan Bersatu untuk melihat semula apa peranan dan posisi sebenar Bersatu dalam PN ini.
Setakat ini jawatan itu belum diisi, bahkan ada banyak pendapat dan pandangan yang keluar mempersoal ke mana halatuju PN?
PN ini bukan soal Pas bergabung dengan Bersatu. Ia soal kumpulan yang percaya kepimpinan Melayu yang kuat, berintegriti dan mampu menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Jika isu di Perlis dianggap sesuatu yang akan mengganggu hubungan Pas dan Bersatu dalam PN, saya tidak rasa begitu. Ini kerana masing-masing memahami asas penubuhan PN itu iaitu ia bukan soal individu semata-mata. Persoalan saya kepada yang di luar sana, seluruh masyarakat, adakah kita hendak melihat PN itu ‘terburai’ begitu sahaja? Pastinya tidak.
PAS, BERSATU SALING MEMERLUKAN
Adakah imej dibawa Pas sukar untuk menarik undi bukan Melayu?
Kekuatan Pas kepada PN bukan hanya sebab sudah menang banyak kerusi, bahkan parti itu dilihat stabil, ada kekuatan peringkat akar umbi, ramai keahlian dan sudah lama dalam arena politik negara berbanding Bersatu.
Kekuatan ini jadi tunjang kepada keseluruhan sokongan dan jentera yang kita ada. Itu tidak boleh dinafikan. Cumanya untuk menang pilihan raya kita bukan hanya memerlukan sokongan Melayu dan Islam tetapi majoriti rakyat Malaysia.
Apabila ada pihak yang melabel Pas sebagai konservatif, ekstrem, oleh musuh-musuh politik terutamanya DAP, itu memang memberi kesan kepada undi bukan Melayu.
Tapi cuba lihat di Kelantan, Terengganu atau Kedah. Masyarakat bukan Melayu pun ramai dan mereka hidup aman damai.
Ternyata orang bukan Melayu juga selesa bersama Bersatu dan keberadaan kami dalam PN ini juga memudahkan untuk usaha menambah ahli.
Untuk kata Pas tidak boleh menang di kawasan bercampur atau bukan Melayu ini, kalau pergi sebagai Pas sahaja mungkin agak sukar. Jadi, mereka perlukan PN.
Untuk Pas menawan negeri lain yang bukan menjadi kubu mereka seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, mereka juga perlukan Bersatu.
Malah begitu juga kami yang memerlukan Pas untuk menang kerusi di negeri utara atau timur dan mereka juga perlukan kita untuk menang kerusi di bandar terutamanya dengan sasaran untuk memenangi Selangor sekali gus dilihat boleh menjadi kunci untuk PN mentadbir negara.
Bagaimana untuk tangani krisis dalam Bersatu, terutama dakwaan wujud dua kem?
Ia hanya membabitkan kumpulan kecil dalam parti, bagi mereka yang tidak bersetuju apabila ada rakan-rakan yang dipecat, pendekatan saya begini, kita semua adalah orang dewasa, setiap keputusan dan tindakan diambil mestilah bersebab.
Mereka ini (yang dipecat) tahu apa yang mereka buat. Mereka juga telah diberi amaran secara bertulis tetapi mereka tetap teruskan, melanggar disiplin parti.
Jadi, takkanlah kita sebagai satu parti politik, tidak boleh hendak ambil tindakan? Takkan asyik hendak memaafkan sahaja. Kita kena profesional kerana politik ini adalah kerjaya.
Dengan pemecatan beberapa ahli Parlimen, kerusi Bersatu semakin kurang, adakah ini jejaskan kepercayaan rakyat?
Bersatu pernah pecat Syed Saddiq, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pun pernah dipecat.
Adakah yang baru dipecat baru-baru ini lebih besar ketokohannya berbanding nama-nama disebut tadi?
Bersatu bukan tentang individu, tapi perjuangan Melayu, Bumiputera dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Orang Melayu dan rakyat mahukan pemimpin yang tidak rasuah, itu juga kesimpulan pada keputusan PRU-15 lalu, cuma yang membezakan orang Cina percaya siapa, India percaya siapa dan Melayu percaya siapa (ketika itu).
MUSUH POLITIK TAKUT MUHYIDDIN
Tanggapan mengenai Tan Sri Muhyiddin mahu menjadi Perdana Menteri untuk selamatkan menantu, komen Dr?
Saya tidak pelik bila Tan Sri berterusan diserang, kalau tidak diserang, ditekan (musuh politik) maknanya sudah tidak ada kepentingan.
Saya tidak mahu apalogetik atau menafikan ada kalangan mereka-mereka yang ada dalam parti cuba menyebarkan tanggapan sama itu dan tindakan itu sebenarnya cuba untuk merosakkan parti.
Ini jelas, dalam kalangan pemimpin dalam PN pasti yang paling ditakuti (musuh) ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pandangan Dr. mengenai usaha segelintir pemimpin UMNO dan Pas yang mahu menghidupkan kembali kerjasama dalam Muafakat Nasional? Saya tidak rasa Muafakat Nasional akan dihidupkan kembali, berdasarkan situasi dan kenyataan semasa terutama oleh Presiden UMNO, sebab itu pada saya yang ada sekarang adalah PN. Inilah payung besar yang boleh menstabilkan keadaan dalam negara.
Bagaimana usaha parti politik ke arah penyatuan orang Melayu, mampukah dijayakan?
Lebih 70 peratus orang Melayu menyokong PN, saya tidak mahu terikat kepada identiti politik. Maknanya kalau saya ahli UMNO saya sokong UMNO, atau kalau ahli Bersatu, sokong Bersatu.
Pilihan perlu datang daripada hati nurani dan faktor yang menjadi kebiasaan untuk orang Melayu memilih pemimpin yang kuat dan ada prinsip.
Rakyat layak untuk mendapat pemimpin yang berani dan bersih. Kalau sekarang Pakatan Harapan mahu kempen mereka bersih rasuah, pasti sudah tidak boleh.
TIDAK TOLAK KERJASAMA
Apa penghalang UMNO dan Bersatu untuk jalin kerjasama?
Kita pernah bekerjasama sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri dapat jadi Perdana Menteri. Siapa yang beri sokongan?
Parti Bersatu yang sering dilabel parti kecil oleh mereka yang beri sokongan.
Soalan saya, adakah PH hari ini akan memberi sokongan kepada UMNO untuk jadi Perdana Menteri? Sudah pasti tidak. Adakah DAP berani menyebut mana-mana pemimpin UMNO untuk jadi Perdana Menteri? Pasti tidak.
Bagi Bersatu, kita tidak boleh menolak sebarang kerjasama bersama UMNO, tapi hakikatnya perlu ada sedar diri. Kita perlu dengar apa yang rakyat mahu. Kita akan nampak lebih jelas apakah keputusan yang sepatutnya dibuat. Apabila kita enggan mendengar apa yang rakyat mahu, ketika itulah parti akan menuju kegagalan. – MINGGUAN MALAYSIA





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.