https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jawapan saya senang saja. Berhenti sajalah Tan Sri.


Oleh Marzuki Mohamad

Pada tengah malam 29 Disember 2025, saya menerima mesej ringkas daripada Tan Sri Muhyiddin supaya menyediakan surat peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi PN.

Saya kemudiannya membaca mesej-mesej dalam kumpulan whatsapp Ahli-Ahli Parlimen PN yang tular.

Ada desakan daripada Ahli-Ahli Parlimen PAS supaya Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN.

Tan Sri Muhyiddin jawab ringkas bahawa beliau bersedia untuk meletakkan jawatan pada bila-bila masa sekiranya dikehendaki oleh Majlis Tertinggi PN. Beliau akan membawa perkara ini ke MT PN.

Inilah kaedahnya di bawah Perlembagaan PN. Pengerusi PN dilantik oleh MT PN dan peletakan jawatannya hendaklah diluluskan oleh MT PN.

Tetapi ada Ahli Parlimen PAS yang tidak berpuas hati dengan jawapan Tan Sri Muhyiddin.

Ahli Parlimen ini mendesak Tan Sri Muhyiddin supaya meletak jawatan serta-merta tanpa membawanya ke MT PN.

Beberapa Ahli Parlimen lain dari parti PAS bersetuju dengan desakan ini.

Maka Tan Sri Muhyiddin menjawab ringkas beliau akan meletakkan jawatan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Saya pun terus menyediakan surat peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin untuk dihantar kepada Presiden-Presiden parti anggota PN keesokannya. Kenyataan media ringkas mengenai peletakan jawatan ini juga disediakan.

[Ketua Penerangan PAS telah mengumumkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin lebih awal]

Selepas itu saya menghantar mesej ringkas kepada Tan Sri Muhyiddin yang pada ketika itu sedang menjalani rawatan susulan di London.

Mesej saya berbunyi, “Salam Tan Sri. Alhamdulillah, Tan Sri telah membuat keputusan yang tepat dan terbaik untuk diri Tan Sri. Tan Sri tidak lagi memilih jalan yang sukar. Mudah-mudahan Allah memberikan ganjaran terhadap segala jasa Tan Sri dan mempermudahkan segala urusan Tan Sri. I will always stand by you, Sir”.

Sayalah orang yang paling gembira apabila Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan. Saya bersyukur kepada Allah.

Dalam perbualan antara kami sebelum ini pun, Tan Sri Muhyiddin pernah beberapa kali bertanya pandangan saya mengenai kedudukannya dalam PN.

Jawapan saya senang saja. Berhenti sajalah Tan Sri.

Sebab-sebabnya tak perlu saya hurai. Cukup saya katakan berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Jadi apabila Tan Sri Muhyiddin menyatakan hasratnya kepada Ahli-Ahli Parlimen PN (walaupun itu bukan forumnya) untuk berhenti, saya berkata dalam hati saya inilah masanya.

Tan Sri Muhyiddin akhirnya mendengar suara hatinya dan bertindak mengikut gerak hatinya.

Desakan yang bertalu-talu dalam kumpulan whatsapp Ahli Parlimen PN supaya beliau berundur hanyalah asbab.

Beliau telah membuat pilihan yang rasional untuk dirinya.

Ya, tentu sekali ada pihak yang mahukan Tan Sri Muhyiddin terus memimpin. Itu hak mereka untuk menyatakan hasrat.

Tetapi meletakkan jawatan juga adalah hak Tan Sri Muhyiddin. Hormatilah hak beliau.

Cuma saya hairan kenapa dalam Perlembagaan PN peletakan jawatan Pengerusi mesti diluluskan oleh MT PN. Seolahnya Pengerusi tiada hak untuk berhenti. Ini tak betul.

Saya tanya Setiausaha Eksekutif PN siapa yang deraf perlembagaan PN? Dia kata dia yang deraf dan telah ditunjukkan kepada saya sebelum dihantar ke ROS untuk kelulusan.

Saya tak ingat. Kalau pernah ditunjukkan kepada saya, maka salah saya lah.

Parti mana yang patut memimpin PN selepas ini?

Bagi saya PAS.

Soal orang bukan Islam boleh terima atau tidak kita tolak ke tepi dulu.

Untuk kestabilan PN buat masa ini, parti yang lebih kuat mesti memimpin.

Hubungan saya dengan PAS ada hot and cold.

Ada masa saya mesra dengan pimpinan PAS. Ada masa saya walk-out.

Itu biasa lah. Politik macam tu. Ada masa bertepuk bahu. Ada masa bermasam muka.

Apabila PAS memimpin, inilah kali pertama dalam sejarah politik negara kita parti Islam mengetuai sebuah gabungan nasional.

Ini satu eksperimen baharu.

Sudah tentulah ada pihak yang bimbang. Ada pihak yang gusar. Ada pihak yang mengkritik.

Ada masanya kritikan disampaikan dengan lembut. Ada masanya pedas.

Itu demokrasi.

Terima sajalah kritikan. Jangan label pengkritik dengan bermacam label.

Berjaya atau tidak eksperimen ini? Saya tidak tahu.

Malah, saya belum yakin.

Apapun saya ucapkan selamat berjaya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.