Umno perlu mencari tema baru, gerak kerja baru dan pendekatan baru
Oleh Fathi Aris Omar
Umno perlu mencari tema baru, gerak kerja baru dan pendekatan baru untuk menjenamakan pakej perjuangannya. Retorika lama mungkin membantu tetapi kesinisan orang ramai tidak akan menaikkan semula parti itu.
Hampir semua slogan sedia ada Umno, sama ada membela Melayu atau membangunkan negara, dengan mudah disangkal oleh mereka yang sinis. Slogan lama ibarat meludah ke langit. Kesinisan menjadi benteng tebal komunikasi antara Umno dan orang ramai.
Namun keadaan ini, kesinisan ramai akibat tidak lagi percaya Umno, tidak bermakna Umno tiada langsung modal dan bekalan. Parti ini parti besar dengan jasa dan sejarah yang panjang. Rekod ini menarik, boleh dihujahkan untuk mengingatkan pengundi akan jasa/sumbangannya.
Tetapi Umno akan berdepan dengan beberapa masalah, antaranya:
1. Generasi muda sudah tidak kenal Umno, sejarah dan jasa-jasanya. Bukan hanya Umno, malah sejarah DS Anwar Ibrahim dan Gerakan Reformasinya mudah dilupakan orang muda.
Ambil contoh seorang remaja 15 tahun pada 1998. Tahun ini usianya sudah 40 tahun. Jika remaja itu tidak membaca dan tidak menekuni politik dengan rapat, pastilah dia tidak faham dan tidak ingat apa-apa tentang tahun-tahun bergelora 1998-2001.
Bayangkan rekod dan jasa Umno kepada Melayu dan negara ini sejak menjelang kemerdekaan, sejak 1970-an hingga 1990-an. Apakah ada ingatan terhadap semua ini, baik dan buruknya?
Jika seorang lagi remaja berusia 15 tahun pada 2008, dia kini pastilah 30 tahun. Saya tidak pasti dia sedar, faham dan ingat peristiwa-peristiwa politik menjelang tumbangnya empat negeri BN (tidak termasuk Kelantan).
Jadi anak muda ini nampak (dalam fikirannya) Selangor dan Pulau Pinang selama ini memang sudah sedia maju bawah Pakatan (dahulu Rakyat, kini Harapan) tanpa sebarang jasa dan sumbangan Umno-BN.
2. Bagaimanapun, bermain dalam ranah sejarah juga tidak sepenuhnya membantu. Mengungkit jasa dan sumbangan lalu menimbulkan nostalgia yang sukar ditangkap orang.
Misalnya, generasi saya (lahir hujung 1960-an) hanya membayangkan 1960-an dan 1970-an melalui buku, foto, imej visual dan cerita. Saya ingat peristiwa 1980-an kerana saya ikuti politik seawal usia 15 tahun.
Ingatan seorang remaja, misalnya krisis perlembagaan 1983 tetapi masih tetap memerlukan buku atau dokumen sebagai rujukan. Begitu juga insiden Memali 1985.
Maksudnya, pengalaman politik bukan sebahagian proses kehidupan harian tetapi sebagai bahan sejarah. Contohnya, pengalaman nyata saya melalui siri demonstrasi 1998-1999 atau pilihan raya umum sejak 1990. Ia membentuk tanggapan berbeza.
Apatah lagi jika orang ramai bersetuju Umno itu memang berjasa tetapi kepemimpinan sekarang sudah merosot dan tidak lagi berpegang pada semangat perjuangan awal parti.
Orang akan membandingkan dunia hari ini daripada gelagat dan keputusan hari ini. Orang akan menjangkakan masa depan daripada sikap dan cakap-cakap hari ini.
Jarang kita ada masa menilai politik dengan jujur dan objektif, termasuk melihat sejarah, sumbangan dan jasa, kerajaan terdahulu. Orang ramai dikalutkan dengan tanggapan-tanggapan negatif terhadap Umno berbanding jasa, sejarah dan sumbangannya.
Hakikatnya, memang kerajaan terdahulu yang diterajui Umno ada kekuatan dan sumbangan tetapi orang akan tetap merujuk detik terkini, misalnya 10 atau 15 tahun lalu, untuk menilai Umno saat ini dan akan datang.
Setakat ini, dari sisi pengamat luar, begitulah saya melihat dua cabaran besar yang dihadapi Umno dalam kempen peremajaan atau pembaharuan parti.
Kesilapan sesebuah organisasi, Umno atau bukan, adalah melengah-lengahkan reformasi dalaman sewaktu ia masih berjaya. Walau kesedaran ini sudah muncul selewat-lewatnya 1990-an, sebelum Anwar dipecat lagi, kempen membaiki Umno selalu menjadi slogan dan retorika.
Usaha itu tidak diikuti dengan program yang konkret. Banyak organisasi dan kelompok terperangkap dalam jerat ini: mereka nampak kelemahan dan boleh menjangkakan kesan buruknya tetapi tidak segera membaikinya atau gagal merencana perubahan dalam skala besar, skala organisasi.
Umno berada di titik ini. Titik lemah yang menguasai fikiran sehingga mencari idea jernih, untuk keluar dari kemelut, sukar lagi ditemukan. Namun Umno harus berusaha selagi hayat organisasinya masih ada. Cuma, ia tidak boleh menilai parti daripada tanggapan dan gerak kerja lawan sahaja. Misalnya, menyerang DAP dengan harapan Melayu akan menyokong Umno. Tidakkah ia sedar penghakisan keabsahan Umno bukan akibat serangan DAP tetapi daripada parti Melayu seperti PAS, Semangat 46 dan Bersatu.
Parti-parti Melayu inilah yang sedikit demi sedikit sepanjang 35 tahun mengikis harapan orang terhadap Umno. Mereka berjaya mengikis legitimacy Umno di mata Melayu.
Apatah lagi kritikan itu datang daripada bekas presiden atau mantan tokoh kanan parti seperti Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar dan TS Muhyiddin Yassin.
Jadi, Umno kena berfikir semula siri-siri serangan terhadap parti sejak 1980-an, sejak krisis Team A dan Team B, sejak pengharaman parti, sejak penghakisan institusi demokrasi negara, sejak politik wang menguasai parti, seawal PAS merampas kembali Kelantan pada 1990.
Kritik ini berjaya mengumpul cerdik pandai Melayu di belakang barisan pembangkang. Ahli akademik, pemimpin kesatuan sekerja, aktivis siswa, NGO, agamawan dan budayawan umumnya perlahan-lahan terpenggal daripada Umno, menganjak sokongan jauh daripada parti.
Pendek kata, reformasi parti mestilah jujur. Sedia bertentang mata dengan keburukan lampau dengan hasrat menggali kesilapan yang boleh dijadikan iktibar. Ada teladan, ada sempadan di situ.
Misalnya, pertarungan awal Umno berdepan PAS (baharu) yang agresif mempertikai keislaman parti sewaktu Program Penerapan Nilai-nilai Islam sejak awal 1980-an. Bagaimana Umno membariskan tokoh agamawannya, melontarkan hujahnya, melaksanakan institusi agama dan menyerang kembali PAS sepanjang dekad itu.
Pastilah ada baik dan buruk, pasti ada kesilapan yang tidak diduga di sebalik manfaat yang diraih. Di sinilah reformasi Umno harus bermula. Melihat gelagat, tindakan, keputusan dan program dalam sejarah.
Ia tidak boleh bermula hari ini. Sesebuah empayar tidak jatuh di saat ia lemah tetapi selalunya benih kerosakan bermula di saat ia berjaya, benih kejatuhan disemai ketika ia di puncak kekuasaan.
(coretan asal pada 12 Januari 2023)





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.