https://critoxium.com/shop/

Terkini

Maut di padang bukan sekadar takdir


Akhir-akhir ini seberapa kerap kita mendengar berita tentang kematian ketika bersukan? Agak kerap, sebenarnya.

Dalam kebanyakan kes, puncanya ialah serangan jantung. Ada juga yang rebah akibat gegaran otak, menjadi mangsa panahan petir, atau mengalami pendarahan dalaman serius.

Setiap kali musibah seperti itu berlaku, yang hampir pasti muncul dalam fikiran kita ialah – segalanya adalah takdir.

Sebenarnya, bukankah tragedi seperti itu boleh dielak atau boleh dicegah sekiranya wujud ilmu, persediaan dan sistem yang betul di sekeliling padang?

Soalan inilah yang sepatutnya kita berani tanya. Bukan untuk menafikan takdir, tetapi melihat sejauh mana kita bersedia untuk berdepan situasi darurat melibatkan nyawa manusia.

Minggu lalu, saya berpeluang menghadiri Simposium Perubatan Bola Sepak Kebangsaan UKMSC–FAM dan seterusnya menyertai Kursus Pensijilan Penjagaan Kecemasan di Tepi Padang Bola Sepak (Tahap 1).

Menariknya, dalam kalangan semua peserta yang hadir, rupa-rupanya saya satu-satunya peserta yang bukan dalam bidang perubatan.

Selebihnya terdiri daripada doktor, diikuti pembantu perubatan, jururawat dan fisioterapi yang memang sudah biasa berurusan dengan kecederaan dan kecemasan sukan.

Namun, kekurangan latar belakang perubatan itu tidak pula menghalang saya daripada menjadi antara peserta yang paling aktif mengemukakan soalan.

Patut jadi norma buat semua

Mungkin kerana saya datang dari dunia yang berbeza - dunia padang, kejohanan sekolah, liga komuniti dan pertandingan akar umbi – maka persoalan yang bermain di kepala juga berbeza. Isu yang saya bangkitkan memang dekat dengan realiti.

Simposium dan kursus itu anjuran oleh Pusat Pakar UKM dengan kerjasama serta pengiktirafan FAM. Malah, pemangku Presiden FAM, Yusoff Mahadi, turut hadir semasa majlis perasmian.

Kehadiran itu memberi isyarat jelas bahawa aspek perubatan dan keselamatan pemain bukan lagi isu sampingan, tetapi sedang diberi tempat sewajarnya dalam landskap bola sepak Malaysia.

Sepanjang pembentangan dan perbincangan, fokus utama berkisar kepada persediaan dan kesiapsiagaan penjagaan di tepi padang (pitchside care).

Apa yang dikongsikan berada pada tahap profesional merangkumi protokol kecemasan, pengurusan pemain rebah, penggunaan peralatan khusus, serta kepentingan pelan tindakan kecemasan sebelum perlawanan bermula.

Semua itu memang wajar – malah sepatutnya menjadi norma kepada semua – terutamanya dalam saingan liga amatur dan profesional di Malaysia yang semakin kompetitif.

Namun di sinilah muncul persoalan yang sukar dielakkan: bagaimana pula dengan pertandingan di peringkat akar umbi?

Semasa sesi soal jawab, saya membangkitkan isu kekurangan persediaan yang wajar dalam kejohanan peringkat sekolah dan komuniti, termasuk kejohanan yang melibatkan pelajar.

Realitinya, banyak pertandingan berlangsung tanpa pelan kecemasan yang jelas, tanpa peralatan asas, dan kadangkala tanpa petugas yang benar-benar terlatih untuk bertindak apabila sesuatu berlaku.

Inilah peringkat yang paling ramai atlet muda dan kanak-kanak menjadi terdedah kepada risiko. Bukan hanya kerana permainan terlalu fizikal dan keras, tetapi kerana tiadanya sistem sokongan apabila kecemasan berlaku.

Dalam sukan berintensiti tinggi terutamanya melibatkan sentuhan fizikal seperti bola sepak dan ragbi, risiko kecederaan adalah sebahagian daripada realiti permainan.

Tak tunjuk tanda-tanda sakit

Soalnya bukan tentang menghapuskan risiko sepenuhnya, tetapi tentang mengurangkan kesannya melalui persediaan, ilmu dan tindak balas yang betul apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku di padang.

Beberapa bulan lalu, negara dikejutkan oleh kematian Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kebangsaan di Ipoh.

Pada peringkat awal, simptom seperti menggigil dan kekejangan yang menimpa pelajar Sekolah Menengah Sains Johor itu disangka sebagai sawan.

Namun hasil bedah siasat kemudiannya mengesahkan punca sebenar kematian iaitu pendarahan dalaman akibat koyakan otot psoas di bahagian pinggul, dan kes tersebut diklasifikasikan kematian mengejut.

Lebih membimbangkan, mangsa dilaporkan tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum beraksi di padang berkenaan.

Kes tersebut memperlihatkan satu hakikat penting – tidak semua kecemasan sukan berpunca daripada jantung, dan tidak semua rebah di padang dapat difahami melalui simptom luaran semata-mata.

Dalam situasi tertentu, kecederaan dalaman yang serius hanya boleh dikenali melalui penilaian awal yang sistematik serta tindakan pantas di tepi padang.

Dalam konteks inilah topik-topik yang dibentangkan sepanjang kursus menjadi semakin bermakna. Ia bermula dengan kefahaman tentang peranan dan had tanggungjawab individu di tepi padang.

Niat membantu saja tidak mencukupi tanpa pengetahuan tentang apa yang wajar dan selamat dilakukan.

Bukan sekadar apa, tapi mengapa

Penekanan kemudian diberikan kepada kepentingan persediaan sebelum perlawanan bermula, khususnya kewujudan pelan tindakan kecemasan yang jelas dan difahami oleh semua pihak.

Dalam situasi sebenar, kekeliruan sering menjadi musuh utama. Apabila peranan telah ditetapkan lebih awal, tindakan ketika krisis boleh berlaku dengan lebih pantas dan tersusun.

Aspek penilaian awal pemain rebah pula membuka mata tentang bahaya membuat andaian berdasarkan simptom luaran.

Pendekatan yang diajar menuntut ketenangan dan disiplin – menilai satu demi satu dan tanpa panik kerana kesilapan awal boleh mengubah keseluruhan arah tuju rawatan.

Topik berkaitan resusitasi kardiopulmonari (CPR), penggunaan alat automated external defibrillator (AED), pendarahan besar, kecederaan kepala dan kecemasan perubatan lain melengkapkan gambaran bahawa kecemasan sukan hadir dalam pelbagai bentuk.

Tidak semuanya dramatik, tidak semuanya jelas, tetapi semuanya memerlukan tahap kesiapsiagaan yang sama — sama ada di liga profesional mahupun di padang sekolah dalam saingan paling bawah.

Menjelang sesi petang hari kedua, teori yang dibincangkan sejak pagi akhirnya diterjemahkan ke dalam latihan praktikal di lantai, dibimbing sendiri oleh pakar-pakar perubatan sukan.

Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan didedahkan kepada simulasi situasi kecemasan yang realistik: pemain rebah tanpa respon, kecederaan leher yang memerlukan penstabilan, pengurusan saluran pernafasan, CPR yang menepati teknik dan irama yang betul, penggunaan AED, sehinggalah kepada proses mengalihkan pemain dengan selamat menggunakan peralatan yang tepat.

Setiap langkah diperhatikan, diperbetulkan dan dijelaskan. Ia bukan sekadar apa yang perlu dibuat, tetapi mengapa ia perlu dibuat begitu.

Dalam sesi berkenaan, satu perkara menjadi sangat jelas – pitch-side care bukan tentang mahu menjadi hero. Yang penting ialah untuk menjadi tenang, tersusun dan berdisiplin ketika semua orang lain panik.

Kesilapan kecil dalam minit-minit awal krisis boleh membawa kesan besar terhadap keselamatan, bahkan nyawa seseorang atlet.

Sebagai seseorang yang datang dari latar kejurulatihan dan pembangunan akar umbi, sesi praktikal berkenaan meninggalkan kesan mendalam.

Ia mengingatkan saya bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan atlet tidak bermula di hospital, tetapi di padang.

Saat kritikal adalah detik-detik awal yang sering kita anggap remeh.

Simposium dan kursus tersebut bukanlah menjanjikan keajaiban. Ia tidak boleh menghapuskan semua risiko, dan tidak semua tragedi boleh dielakkan. Namun ia menawarkan sesuatu yang jauh lebih penting – ilmu, struktur dan keyakinan untuk bertindak dengan betul.

Kematian di padang bukan sekadar soal takdir. Dalam banyak keadaan, ia berkait rapat dengan tahap persediaan kita sebagai pengurus, jurulatih, penganjur dan komuniti sukan.

Jika kita benar-benar percaya nyawa atlet itu berharga, maka usaha untuk melindunginya tidak boleh berlangsung dengan sikap sambil lewa.

NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.