https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ketahui punca kaki kebas


PERNAHKAH anda mengalami situasi di mana kaki anda terasa kebas, seakan-akan kehilangan deria atau mengalami sensasi yang aneh seperti ditusuk-tusuk jarum kecil?

Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa, malah membuatkan seseorang berasa risau dan tidak yakin untuk bergerak bebas.

Kaki kebas biasanya berlaku apabila aliran darah ke kaki terganggu atau saraf di kawasan itu mengalami tekanan.

Masalah kaki kebas bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan, malah jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius. Disyorkan

Oleh itu, penting bagi kita untuk memahami punca-punca kaki kebas dan cara untuk mencegahnya.

Salah satu punca utama masalah kaki kebas ialah postur atau kedudukan badan yang tidak betul, sehingga menyebabkan tekanan berpanjangan pada saraf. Keadaan ini sering berlaku apabila seseorang duduk dalam posisi yang sama untuk tempoh yang lama, menyilangkan kaki, bersila, bersimpuh terlalu lama atau memakai kasut yang terlalu ketat sehingga menekan saraf di kaki, paha dan pinggul.

Tekanan berulang ini mengganggu fungsi saraf dan menyebabkan kaki menjadi kebas, rasa kesemutan serta hilang sensasi. Keadaan ini biasanya bersifat sementara, tetapi jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan kerosakan saraf yang lebih serius.

Selain itu, masalah kaki kebas juga disebabkan oleh diabetes. Kaki yang kebas ini disebabkan oleh kerosakan pada sistem saraf yang berpunca daripada paras gula dalam darah yang tinggi dan tidak terkawal dalam jangka masa panjang. Paras gula yang berlebihan ini boleh merosakkan dinding salur darah kecil yang membekalkan nutrien dan oksigen kepada saraf, sekali gus menjejaskan fungsi saraf, terutamanya di bahagian hujung kaki.

Akibatnya, pesakit akan mengalami simptom seperti rasa kebas, semut-semut, mencucuk, panas atau sakit yang berpanjangan pada kaki.

Keadaan ini lazimnya berlaku secara perlahan dan mungkin tidak disedari pada peringkat awal, namun akan menjadi semakin serius sekiranya diabetes tidak dikawal dengan baik.

Faktor lain yang menyumbang kepada kaki kebas ialah kekurangan vitamin dan mineral, seperti vitamin B12, vitamin B6 dan vitamin B1. Ketiga-tiga vitamin ini amat penting untuk memastikan saraf berfungsi dengan baik.

Kekurangan vitamin ini boleh mengakibatkan rasa kebas dan kesemutan di tangan dan kaki.

Selain itu, gaya hidup yang kurang aktif dan obesiti juga boleh meningkatkan risiko kaki kebas kerana tekanan berlebihan pada saraf dan sendi.

Bagi mencegah masalah kaki kebas, beberapa langkah boleh diambil. Antaranya, ialah menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan pemakanan seimbang yang mengandungi vitamin B12, B6 dan B1, serta melakukan senaman secara teratur bagi meningkatkan peredaran darah dan menguatkan saraf.

Kedua, mengelakkan duduk atau berdiri dalam posisi yang sama terlalu lama dapat mengurangkan tekanan pada saraf kaki, ubah posisi dan buat regangan setiap 30 minit untuk melancarkan darah.

Ketiga, bagi mereka yang menghidap diabetes, pemantauan paras gula dalam darah serta mengikuti nasihat doktor amat penting bagi mengelakkan komplikasi pada kaki.

Kesimpulannya, kaki kebas satu tanda tubuh kita memerlukan perhatian. Ia boleh berpunca daripada masalah peredaran darah, tekanan pada saraf, kekurangan vitamin, atau gaya hidup yang tidak sihat.

Dengan memahami punca dan mengambil langkah pencegahan, kita dapat mengurangkan risiko masalah kaki kebas dan mengekalkan kesihatan kaki yang baik.

Oleh itu, jangan memandang remeh sekiranya kaki mula terasa kebas, kerana kesihatan kaki adalah cerminan kesihatan tubuh secara keseluruhan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.