https://critoxium.com/shop/

Terkini

Umur 6 tahun masuk sekolah perlu perancangan berhemah


Oleh SINNAPAR PERUMAL

Berhubung perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan sesi persekolahan bagi pelajar berumur 6 tahun mulai tahun 2027, beberapa perkara asas wajar diberi perhatian serius agar pelaksanaannya benar-benar berfokus kepada kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak, bukan sekadar memenuhi keperluan dasar.

Pertama, persekitaran pembelajaran mestilah selamat, penyayang dan bebas sepenuhnya daripada sebarang bentuk buli, sama ada fizikal, emosi atau verbal. Kanak-kanak berumur 6 tahun masih berada pada fasa awal pembentukan emosi dan keyakinan diri. Sebarang pengalaman negatif di sekolah boleh memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan mereka.

Kedua, latihan semula (reskilling) guru adalah keperluan kritikal. Tidak semua guru mempunyai latar belakang atau kemahiran khusus untuk mengendalikan murid seusia ini. Guru perlu dilatih dalam psikologi kanak-kanak awal, pengurusan emosi dan tingkah laku, serta kaedah komunikasi yang sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak.

Ketiga, murid berumur 6 tahun tidak wajar dibebankan dengan kerja rumah akademik atau penilaian berorientasikan peperiksaan. Fokus utama seharusnya kepada pembelajaran asas, pembinaan minat belajar dan perkembangan menyeluruh, bukannya pencapaian akademik awal yang boleh mencetuskan tekanan.

Pendekatan pembelajaran juga perlu bersifat fleksibel dan menyeronokkan. Pembelajaran berasaskan permainan, aktiviti kreatif dan interaktif wajar menjadi teras utama. Kaedah ini bukan sahaja lebih sesuai dengan perkembangan kognitif kanak-kanak, malah membantu membina kemahiran sosial dan emosi mereka.

Selain itu, guru perlu peka terhadap perkembangan fizikal dan mental murid kerana setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza. Penekanan keterlaluan kepada keseragaman hanya akan meminggirkan keperluan individu kanak-kanak.

Aspek bukan akademik juga perlu diberi keutamaan, termasuk pembentukan sahsiah, nilai murni, kemahiran sosial, keyakinan diri dan disiplin asas. Inilah asas sebenar pendidikan awal yang sering terpinggir apabila sistem terlalu berorientasikan pencapaian.

Dari sudut pelaksanaan, kesediaan infrastruktur sekolah tidak boleh dipandang ringan. Bilik darjah yang mencukupi, kemudahan tandas yang sesuai untuk kanak-kanak kecil serta ruang rehat dan makan yang selamat perlu disediakan. Cadangan pelaksanaan dua orang guru bagi satu kelas, seperti yang pernah dibangkitkan oleh KPM sendiri, juga wajar dilaksanakan sepenuhnya sebelum 2027.

Pelaksanaan persekolahan bagi kanak-kanak berumur 6 tahun seharusnya dilihat sebagai fasa asas pembentukan insan, bukan sebagai permulaan tekanan akademik.

Persoalan utama ialah sama ada KPM telah menjalankan kajian terperinci dan membuat persediaan menyeluruh sebelum melaksanakan dasar ini. Tindakan yang terburu-buru tanpa perancangan rapi bukan sahaja membebankan pihak sekolah, malah berisiko menjejaskan pembelajaran holistik kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.