Visi Perdana Menteri untuk masa depan pendidikan Malaysia
Oleh Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff
Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 (RPN 2026-2035) dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin mencerminkan dengan jelas visi kepemimpinan beliau terhadap masa depan pendidikan negara.
RPN 2026-2035 ini berupa dokumen reformasi nasional menyatukan keseluruhan ekosistem pendidikan daripada pendidikan awal kanak-kanak, sekolah, prauniversiti, pendidikan tinggi, hinggalah pendidikan kemahiran dan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET). Ia mengangkat pendidikan sebagai teras pembinaan bangsa dan instrumen mobiliti sosial, bukan semata-mata laluan kelayakan akademik.
Serentak itu, 14 pengumuman utama dibuat Perdana Menteri di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membentuk rangka tindakan awal kepada falsafah besar RPN 2026-2035, iaitu membina insan berilmu, beradab, beridentiti dan berdaya tahan dalam dunia pascanormal.
Enam pengumuman di bawah KPM
Kemasukan Tahun Satu seawal usia 6 tahun (secara sukarela) menandakan peralihan penting ke arah intervensi pendidikan awal yang lebih fleksibel dan berasaskan kesiapsiagaan murid. Kerajaan mengiktiraf perkembangan kognitif kanak-kanak masa kini tidak lagi seragam dan sistem pendidikan perlu memberi pilihan. Ini juga mengurangkan jurang awal pembelajaran, khususnya bagi kanak-kanak bandar dan separa bandar.
Dasar Pemerkasaan Jati Diri pula menegaskan jati diri nasional tidak boleh bersifat pilihan. Dengan mewajibkan Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan kepada semua sekolah termasuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Antarabangsa dan Sekolah Persendirian termasuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), negara memperkukuh kesepaduan kenegaraan dalam sistem pendidikan yang semakin plural.
Sistem Penilaian Pembelajaran Baharu (Tahun Empat dan Tingkatan Tiga) pula mengalihkan fokus pendidikan daripada peperiksaan berisiko tinggi kepada penilaian berpusat yang lebih diagnostik dan formatif. Ia membolehkan intervensi awal dibuat sebelum murid mencapai peringkat kritikal, sekali gus meningkatkan kualiti pembelajaran asas.
Peruntukan RM100 juta untuk menaik taraf dan membaik pulih bilik guru di seluruh negara, sekali gus mewujudkan Bilik Guru Selesa menjadi pengiktirafan institusi terhadap kesejahteraan guru sebagai tunjang reformasi pendidikan. Reformasi kurikulum tidak akan berjaya tanpa ekosistem kerja guru bermaruah dan kondusif.
Selanjutnya, pengenalan Pendidikan TVET bermula dari Tahun Satu hingga Tahun Enam sekolah kebangsaan dan memperluaskannya di Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga sekolah menengah memecahkan stigma bahawa TVET ialah laluan kedua selari dengan keperluan ekonomi masa depan dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Reformasi Sekolah Kebangsaan membabitkan pemilihan lima sekolah kebangsaan dan lima sekolah menengah kebangsaan di setiap daerah sebagai Sekolah Inspirasi menandakan pendekatan reformasi berfasa dan berasaskan bukti (pilot-based reform).
Sekolah kebangsaan diperkukuh sebagai pusat kecemerlangan pengurusan, prasarana dan mutu akademik, sekali gus memulihkan keyakinan rakyat terhadap sekolah arus perdana.
Lapan pengumuman di bawah KPT
Jaminan tempat universiti awam (UA) untuk pelajar cemerlang, Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi, asasi dan diploma menginstitusikan prinsip meritokrasi adil serta telus.
Pelajar cemerlang tidak lagi terperangkap dalam ketidaktentuan akses, manakala universiti diberi ruang menyesuaikan penawaran mengikut keupayaan sebenar institusi.
Pendidikan percuma untuk 3,000 pelajar orang kurang upaya (OKU) di seluruh UA, politeknik dan kolej komuniti pula ialah manifestasi jelas prinsip keadilan sosial serta keterangkuman. Dengan mengecualikan yuran pengajian, negara mengiktiraf kesaksamaan bukan bermaksud layanan sama rata, tetapi sokongan berbeza mengikut keperluan.
Penambahan 3,000 tempat UA bagi 2026 untuk pelajar cemerlang dan lepasan STPM dalam 10 bidang strategik menyelaraskan pendidikan tinggi dengan keperluan strategik negara seperti undang-undang, kecerdasan buatan (AI), data sains, kewangan dan komunikasi. Ia menandakan peralihan daripada pengembangan kuantitatif kepada perancangan bakat nasional yang berfokus.
Peningkatan kuota penerima pendidikan percuma/biasiswa melalui PTPTN untuk keluarga miskin tegar daripada 5,800 orang untuk keluarga miskin tegar kepada 10,000 orang memperkukuh mobiliti sosial dengan memastikan pelajar daripada keluarga miskin tegar tidak tercicir akibat kekangan kewangan.
Peletakan Tingkatan Enam dan matrikulasi di bawah KPT bermula 2027 ialah reformasi struktur penting untuk memastikan kesinambungan kurikulum dan transisi pendidikan lebih lancar dari peringkat prauniversiti ke ijazah sarjana muda.
Penyelesaian isu penginapan pelajar UA membabitkan kerjasama universiti dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dengan sasaran 5,000 penginapan baharu mencerminkan pendekatan whole-of-government dalam menangani isu pendidikan. Isu ini penting kerana penginapan ialah isu kebajikan asas yang sering menjejaskan prestasi akademik.
Rombakan Mata Pelajaran Umum (MPU) dan diajar dalam bahasa Melayu di seluruh UA dan swasta pula bertujuan untuk menekankan pendidikan Perlembagaan serta sejarah Malaysia kepada pelajar Malaysia sebagai teras pembentukan warga berilmu dan bertanggungjawab.
Terakhir, pemerkasaan TVET melalui politeknik dan kolej komuniti membabitkan penerapan digitalisasi dan AI secara menyeluruh serta penggubalan Akta Politeknik dan Kolej Komuniti menandakan penaiktarafan institusi TVET ke tahap strategik negara. Pemilihan 10 politeknik premier untuk dinaik taraf secara berterusan pula membina ekosistem kemahiran bertaraf tinggi dan berdaya saing.
Titik perubahan penting
RPN 2026-2035 dan 14 pengumuman ini menandakan satu titik perubahan penting dalam sejarah pendidikan Malaysia. Buat pertama kali sejak sekian lama, reformasi pendidikan digerakkan secara serentak merentasi peringkat sekolah dan pendidikan tinggi, dengan satu falsafah konsisten dan satu arah tuju nasional jelas.
Gabungan ini menunjukkan pendidikan tinggi tidak lagi dilihat sebagai menara gading terpisah tetapi sebagai kesinambungan langsung pembinaan modal insan negara.
Selepas ini kejayaan tidak lagi diukur melalui ranking, gred atau kebolehpasaran jangka pendek semata-mata tetapi juga melalui keupayaan sistem pendidikan untuk membina warga memahami Perlembagaan dan sejarah negara, memiliki kemahiran untuk beradaptasi dengan perubahan teknologi dan mempunyai kompas moral dalam menghadapi cabaran masa depan.
Penulis adalah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.