‘Iman tidak terikat pada parti’, Mahfuz ajak penyokong Pas nilai semula ketakutan politik
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menitipkan satu surat terbuka yang ditujukan kepada ahli dan penyokong Pas dengan mengajak mereka menilai semula hubungan antara kesetiaan parti dan pegangan iman.
Surat tersebut menekankan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya dianggap sebagai isu akidah, susulan kenyataan kepimpinan Pas sendiri yang menyifatkan pertembungan parti sebagai soal pendekatan, bukan keimanan.
Mahfuz yang juga bekas pemimpin Pas itu berkata, ramai ahli Pas kekal bersama parti kerana rasa takut berdosa, dilabel munafik atau tersasar daripada landasan agama sedangkan ketakutan itu, menurutnya, lahir daripada keikhlasan iman yang wajar dihormati.
Namun beliau mempersoalkan sama ada ketakutan tersebut masih relevan jika perselisihan politik diakui bukan berkait akidah.
Dalam surat sama, beliau menegaskan bahawa Islam tidak mengajar keselamatan iman ditentukan oleh keahlian mana-mana parti politik, sebaliknya iman adalah hubungan peribadi antara hamba dan Tuhan.
Dalam masa sama, Mahfuz turut menekankan bahawa berbeza pandangan politik bukan dosa, manakala perubahan pendirian tidak wajar dilabel sebagai khianat atau kesesatan.
Beliau mengingatkan bahawa istilah seperti kafir dan munafik tidak boleh dipolitikkan kerana ia melibatkan persoalan akidah yang besar.
Jelasnya, jika seseorang tidak lagi tenang dengan pendirian politik semasa, Islam membenarkan individu berfikir semula tanpa mengaitkan keputusan tersebut dengan keimanan.
“Sahabat, Takutlah kepada Allah dan bukan kepada parti. Peganglah Islam bukan kerana tekanan, tetapi kerana keyakinan.
“Dan jika kalian memilih jalan yang berbeza, ketahuilah: Allah menilai kejujuran, bukan keahlian,” coret Mahfuz lagi.
Untuk rekod, ramai penyokong Pas terutama selepas meninggal dunianya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2015, dilihat taksub apabila masih menilai parti politik sebagai perjuangan agama.
Mereka menganggap tanpa sokongan terhadap Pas, perjuangan Islam seolah-olah tidak terbela.~harapandaily.com




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.