https://critoxium.com/shop/

Terkini

“Selepas Ronald, Siapa Seterusnya?”


Sebagai isyarat krisis dalam Bersatu belum sedia menuju jalan damai, Naib Presidennya, Ronald Kiandee tiba-tiba tampil dengan gesaan agar Muhyiddin Yassin berundur sebagai Presiden parti itu.

Beliau merupakan pemimpin atasan pertama dalam Bersatu setakat ini yang berani tampil menggesa pengunduran Muhyiddin.

Sebelum ini, pemimpin yang tampil menggesa Muhyiddin berundur hanyalah mereka yang sudah dipecat atau atau digantung daripada parti dan beberapa pemimpin peringkat bahagian saja.

Gesaan Ronald Kiandee ini muncul tiga hari lagi sebelum Hamzah Zainuddin dijadual mengdap Lembaga Disiplin parti yang dijangka pada Khamis ini.

Ronald Kiandee adalah pemimpin Bersatu yang dilihat pro kepada Hamzah.

Dalam gesaanya, Ahli Parlimen Beluran itu menekankan bahawa Muhyiddin telah gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan.

Malah, beliau menyifatkan tindakan Lembaga Disiplin Bersatu menghadapkan Hamzah untuk siasatan adalah satu langkah yang jelas bersifat regresif.

Tegasnya, tindakan badan tersebut bercanggah dengan usaha memperkukuhkan parti bagi menghadapi PRU akan datang.

“Lebih membimbangkan, tindakan Lembaga Disiplin menghadapkan ketua-ketua bahagian termasuk ahli Parlimen dan Adun yang menyokong Hamzah memperlihatkan penyalahgunaan prosedur secara terdesak bagi membungkam suara pimpinan utama parti daripada terus menyampaikan pandangan, teguran dan maklum balas demi kelangsungan serta masa depan Bersatu.

“Keadaan ini menyebabkan Bersatu pada pandangan rakyat kelihatan semakin hilang arah dan tersasar daripada matlamat perjuangan sebenar.

"Seolah-olah perjuangan parti kini hanya tertumpu kepada usaha mengekalkan kuasa Muhyiddin serta melindungi kelompok penyokong pemimpin tertentu tanpa mengambil kira hubungan dan kepercayaan rakan-rakan parti sahabat dalam gabungan PN,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ronald, beliau percaya kenyataan yang dibuat dengan niat murni hari ini boleh diterima baik oleh seorang pemimpin berjiwa besar seperti Muhyiddin.

“Apatah lagi pendirian ini selari dengan inti pati kenyataan beliau sendiri terhadap Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Singapura pada 2008 dahulu,” katanya lagi.

Untuk rekod, Muhyiddin merupakan pemimpin kanan UMNO yang tampil mendesak Tun Abdullah Badawi agar mempercepatkan peralihan kuasa kepada Najib Razak atas faktor kebimbangan penggantinya nanti tidak cukup masa untuk memulihkan kembali sokongan rakyat selepas keputusan buruk yang diperolehi pada PRU 2008.

Dengan gesaan Ronald Kiandee ini, perbalahan dalam Bersatu dijangka lebih melebar lagi.

Selain penyokong-penyokong Muhyiddin sudah tentu akan menyerang balas Ronald Kiandee, tidak mustahil selepas ini lebih ramai lagi pemimpin Bersatu daripada kem Hamzah yang turut menggesa pengunduran Muhyiddin.

Bahkan diberitakan, daripada sejumlah 25 Ahli Parlimen Bersatu yang masih ada (setelah ditolak 6 Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar Ibrahim), hampir 20 daripadanya adalah memihak kepada Hamzah.

“Ahli Parlimen Bersatu yang memihak kepada Muhyiddin hanya lima atau enam orang saja,” kata satu sumber yang tidak mahu disebut namanya.

Hamzah sendiri selama ini hanya berdiam diri, tetapi apakah selepas munculnya gesaan oleh Ronald Kiandee ini, maka beliau juga akan tampil bersuara?

Persoalan lain ialah apakah Hamzah akan hadir mengadap Lembaga Disiplin Khamis ini?

Atau mungkinkah beliau akan mengabaikan terus panggilan Lembata Disiplin sebagaimana panggilan sebelum ini, sebaliknya akan muncul dengan sidang media untuk melawan Muhyiddin secara terbuka dalam sehari dua ini?

Yang pasti, banyak lagi episod menarik akan menyusul dalam Bersatu selepas ini mengiringi keberanian yang ditunjukkan oleh Ronald Kiandee. - ShahbudinHusin

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.