https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jika Serius Mahu Jadi PM, Samsuri Mesti Letak Jawatan MB


Penganalisis berbeza pendapat mengenai kewajaran Ahmad Samsuri Mokhtar melepaskan jawatan menteri besar Terengganu untuk fokus menawan Putrajaya pada PRU16 selepas dilantik pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Fauzi Abdul Hamid menyatakan naib presiden PAS itu perlu kekal mengetuai pentadbiran negeri untuk membuktikan dirinya layak dengan syarat dapat meningkatkan petunjuk ekonomi negeri di pantai timur itu ke tahap lebih memberangsangkan.

Tawfiq Yaakub pula berpandangan Samsuri atau dikenali Dr Sam wajar meletak jawatan supaya dapat fokus tugas panglima PN di Parlimen selain mula mengatur jelajah memandangkan ada spekulasi PRU akan diadakan serentak dengan PRN Melaka tahun ini.

Ahmad Fauzi dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata kejayaan di negeri boleh sahaja menjadi asas untuk menguatkan lagi hujah penyokong PAS yang Samsuri layak sebagai calon PM.

Menurutnya, banyak pemimpin dunia mengorak langkah politik mereka dengan kejayaan peringkat tempatan dulu umpamanya Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan (Turki) selaku mantan datuk bandar Istanbul dan bekas presiden Indonesia Joko Widodo sebelum itu bertindak sebagai datuk bandar Jakarta.

Beliau turut menamakan bekas perdana menteri United Kingdom Boris Johnson dan bekas presiden Amerika Syarikat George W Bush sebagai pemimpin dunia yang meningkat naik dari jawatan tempatan.

“Jawatan PN bersifat kepartian, sedangkan MB lebih kenegarawanan yang mana dasar dilaksanakan kerajaan negeri pimpinannya merentasi batas kaum, agama, kecenderungan politik dan ideologi di sudut dampak serta manfaat.

“Tugas kepartian bukan tidak penting tetapi dalam dunia digital serba canggih dan pantas ini, banyak urusan boleh diselesaikan secara maya,” kata Fauzi kepada FMT.

Pemilihan Samsuri sebagai pengerusi PN menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mencetus idea supaya menteri besar Terengganu itu diangkat sebagai calon perdana menteri untuk PN pada PRU16.

Susulan itu, ada perbincangan penyokong PN di media sosial mengenai kewajaran beliau meletak jawatan menteri besar untuk fokus misi mengetuai komponen itu menawan Putrajaya.

Tawfiq dari Universiti Malaya pula berkata tanggungjawab baharu Samsuri itu mungkin menyebabkan bebannya bertambah berbanding sebelum ini.

“Beliau perlu menumpukan gerak kerja dan roadshow seluruh negara terutamanya menjelang PRN Johor dan Melaka, tak mengejutkan jika PRU16 diadakan serentak.

“Secara konvensyen ketua pembangkang atau pengerusi parti pembangkang menjadi PM dan kerajaan dalam menunggu.

“Maka beliau serta parti perlu bersiap dalam dinamik politik negara yang agak sukar dijangka khususnya selepas PRU15,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.