“Kenangan Kampus, Gerakan dan Retak yang Tak Pernah Sembuh”
Oleh Fathi Aris Omar
Pada suatu hari 1988, maka terbitlah tulisan saya dalam pojok kampus Harakah. Pengelolanya Ahmad Lutfi Othman, pemimpin siswa UTM yang dipecat isu purdah beberapa tahun sebelumnya.
Isinya tidak canggih, sesuai dengan budak 20 tahun yang sedang menganggur. Tulisan itu diberi judul Melayani Idealisme Siswa. Mungkin kerana ia tidak ulas apa-apa kecuali mengajak siswa banyak membaca, buat kajian dan fokus pada analisa.
Musim ini musim gerakan pelajar dakwah dilanda perpecahan serius. Tidak cukup di dalam negeri, merebak juga di luar negara. Waktu itu Jabatan Pelajar PAS baru ditubuhkan. Perpecahan tajam ini merebak sejak 1986.
Saya paling menyampah pada gejala perpecahan antara jemaah-jemaah ini dan sering menulis tentangnya selepas itu. Ada sedikit cerita ini dalam artikel Di Bawah Mendung Usrah.
Ketika di ITM, setahun atau dua kemudian, tulisan saya keluar lagi di pojok Harakah itu. Tetapi ada berita kampus yang agak negatif di ruangan yang sama. Lalu timbalan pengetua panggil saya untuk berbincang.
Dr Arshad Taib seorang ustaz ABIM yang baik. Saya beritahu, bukan saya menulis berita negarif itu; saya hanya menulis artikel. Ustaz boleh terima.
Ustaz Arshad agak rapat juga dengan saya seperti saya rapat dengan seorang ustaz PAS walau dewan kuliah ada kalanya digunakan olehnya untuk serang jemaah lain.
Saya selalu lepak di rumah ustaz dari Klang ini, malah hulur tenaga untuk bantu kempen calon PAS ketika PRU 1990. Saya suka pengalaman baru, selain rai semangat kerjasama antara jemaah.
Sejak 1988, masuk 1990-an, saya masih mengulas dunia kemahasiswaan, gerakan Islam dan kebangkitan Islam. Selalunya dengan nada kritik, ada kalanya pedas seperti tajuk sinis Ikhwanisme.
Masuk era 2000-an, saya seronok bergelut dengan dunia aktivisme siswa. Waktu itu politik panas dan menggelegak. Maklumlah, zaman Reformasi.
Tetapi tidak pernah surut rasa kecewa pada kampus dan gerakan siswa sejak sedekad sebelumnya. Awal 1990-an kampus tidak pulih.
Zaman kampus saya dibayangi kemerosotan. Pelajar dituduh mandom, tidak aktif, pensyarah tidak cerdas, "nota pensyarah kuning tidak berganti". Profesor kangkung diberi label.
Kekangan berleluasa dan muncullah buku hitam bertulisan merah Akademia: Menjelang Tahun 2000. Saya beli dan baca ketika di kampus. Buku ini jeritan terakhir akademia yang tertindas.
Setelah dunia panas protes, 1998 hingga 2001, mula reda, tiba detik semak semula apa yang sudah terjadi sejak 1998 atau sejak zaman Dr Mahathir Mohamad. Malah sejak merdeka.
Sekumpulan sahabat penulis dan aktivis membakar kritikan itu, terhadap segala-galanya: reformasi, Barisan Alternatif, NGO, gerakan siswa, aktivisme anak muda, budaya seni, buku dan filem.
Pandangan itu banyaknya ke dalam, bukan sahaja terhadap Umno dan kerajaan BN. Banyak diskusi melihat perspektif nasional dan global. Dari sisi sejarah dan perbandingan dengan nasib bangsa ini.
Sewaktu saya berkelana di Jakarta, antara 2004 dab 2005, sahabat-sahabat ini bantu buat layout dan berikan judul Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi. Penerbitnya Gerak Budaya.
Di sini ada banyak coretan terhadap mahasiswa dan lingkungannya. Jadi coretan saya petang tadi bukan tiba-tiba, bukan reaksi hari ini. Kami memandang politik, NGO, siswa, pembangkang, Umno dan kampus dengan sangat kritikal.
Sebenarnya coretan petang tadi masih lembut dan sopan, 😆 tidak sekasar di meja warung. Waktu itu, dan generasi itu, memang diajar kasar cara hujahnya. Provokasi dan mindf*ck itu sudah lazim.
Hidup ini keras, dik, kata seorang pempengaruh.
FOTO Empat daripada 30 kampus di serata dunia yang dianggap indah (Veranda, 27 Jun 2025):
Universiti Seni Tama di Tokyo, Jepun
Universiti Tsinghua di Beijing, China
Universiti Mexico di Mexico City, Mexico
Universiti Kyung Hee di Seoul, Korea Selatan.








Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.