https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pemecatan Hamzah Sudah Dirancang ?


Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka tetap dipecat sama ada hadir atau tidak ke prosiding Lembaga Disiplin parti pada Khamis ini.

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, langkah Bersatu memanggil Hamzah memberi keterangan berhubung empat aduan disiplin ke atas beliau hanya dilihat sebagai alasan untuk ‘menghalalkan’ pemecatan.

Beliau juga menjangkakan Hamzah tidak akan hadir ke Lembaga Disiplin parti kerana masih berada di Sydney, Australia.

“Sama ada Hamzah hadir atau tidak (ke Lembaga disiplin Bersatu), ia tidak lagi penting kerana hanya suatu proses untuknya dipencilkan dan beliau sebenarnya tidak perlu hadir untuk suatu proses yang tidak akan membawanya ke mana-mana dalam parti.

“Adalah lebih baik Hamzah menoktahkan perjalanan dengan membiarkan dirinya dipecat. Apabila sudah terpecat, Hamzah boleh menentukan masa depan politiknya tanpa bertangguh lagi dan saya rasa, dia langsung tidak gusar sekiranya dihukum,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu mengeluarkan satu surat kepada Hamzah untuk memberi keterangan berhubung empat aduan disiplin pada Khamis ini.

Surat itu menyatakan aduan disiplin mendakwa Hamzah terlibat dalam komplot untuk mengganggu dan sabotaj perjalanan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) 2025.

Hamzah juga didakwa gagal menghalang beberapa pengikutnya daripada membuat tindakan yang didakwa mencemarkan imej parti dan melemahkan kedudukan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut didakwa terlibat dalam usaha menggagalkan usul perbahasan bagi mengekalkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri Ke-11 daripada Bersatu dan mengekalkan jawatan Presiden parti.

Dalam pada itu, Hashim berkata, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dijangka berpecah sekiranya Hamzah dipecat.

Katanya, Bersatu bakal beralih kepada menerajui Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) iaitu blok parti pembangkang yang telah sedia dirancang dari awal oleh Muhyiddin dan sekutu politiknya.

“Akar umbi Bersatu kebanyakan bersama Hamzah dan sebilangan besar Ahli Parlimen juga bersamanya. Bersatu akan melemah dengan drastik dan apatah lagi jika Pas tidak lagi bersama Bersatu.

“Bersatu sudah tidak lagi sama kerana sudah membawa agenda peribadi pengasasnya untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua tanpa peduli suara akar umbi,” katanya.-UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.