PN Bertukar Wajah, Masalah Lama Masih Berakar
Pelantikan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baru, mendapat reaksi pelbagai dari semua pihak, baik penyokong atau musuh. Apa yang pasti, dengan terlantiknya Dr Sam dari PAS, ia menoktahkan kekhuatiran penyokong PN terhadap halatuju politik PN dalam negara.
Dalam mana-mana gabungan politik, jawatan pengerusi bukan hiasan organisasi, tetapi pusat kepada command centre: menyatukan keputusan, menguatkuasakan disiplin, menyelaraskan komunikasi, dan menentukan arah strategik menjelang pilihan raya.
Hakikat pahit yang perlu diterima, PN sebelum ini berada dalam keadaan yang agak meresahkan. Ia akibat dari parti komponennya gabungan yang melalui beberapa episod krisis dalaman. Krisis ini yang mengakibatkan kestabilan organisasi dan kejelasan kepimpinan kabur, menjadikan fokus PN agak sedikit tersasar. Ia menjadikan PN kurang memberi perhatian kepada isu rakyat yang menjadikan pengundi atas pagar kecewa dan menjauhkan diri. Ia bukannya kerana rakyat tiba-tiba menolak idea PN.
Dalam suasana rakyat semakin letih dengan drama politik, PN tidak boleh bergantung pada nostalgia PRU15 semata-mata. PN perlu menjawab soalan yang lebih besar: adakah gabungan ini semakin matang, semakin tersusun, dan semakin bersedia memerintah? Di sinilah Dr Sam muncul sebagai tokoh yang mampu mengubah bacaan rakyat daripada “PN sedang bercelaru” kepada “PN sedang beralih ke fasa profesional dan berfokus.”
Dengan kata lain, sebagai pengerusi, Dr Sam adalah nakhoda yang membawa pelayaran parti gabungan meredah lautan politik negara. Justeru, menyedari bahawa PN akan memasuki PRU16 sebagai alternatif kerajaan yang diyakini rakyat, perubahan kepimpinan yang dibuat dengan meletakkan wajah segar mengubah sedikit sebanyak lanskap politik negara. Dari segi usia, Dr Sam adalah pemimpin “muda” berbanding pengerusi Pakatan Harapan (PH) atau Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Namun, tugasan pertama Pengerusi baru agak mencabar. Beliau perlu pantas mengubah persepsi rakyat bahawa PN yang sedang goyah menjadi sebuah gabungan yang kembali stabil.
Walaubagaimanapun, untuk berlaku adil: keyakinan rakyat terhadap PN sebenarnya masih kuat, terutama terhadap PAS. Akar keyakinan itu ialah disiplin organisasi, jentera akar umbi, dan konsistensi identiti perjuangan yang PAS bawa. Tetapi pada masa yang sama, beberapa insiden dalaman rakan komponen boleh “menjarakkan” sebahagian pengundi yang sensitif kepada isu integriti, tatakelola dan kestabilan.
Justeru, tugas Dr Sam bukan sekadar memimpin mesyuarat; beliau perlu memulihkan “rasa percaya” bahawa PN tetap selari dengan jenama yang pernah dijual , PN BEST, iaitu bersih, stabil, dan tersusun.
Bagaimana cara memulihkan keyakinan itu? Jawapannya bukan propaganda, tetapi pembetulan struktur. Dr Sam perlu membina budaya keputusan yang cepat dan jelas; menutup ruang kenyataan bercanggah; memastikan isu dalaman diselesaikan dalam saluran institusi; dan memperkenal piawaian disiplin gabungan yang seragam. PN mesti kelihatan seperti “kerajaan menunggu” (government-in-waiting) bukan gabungan yang hidup dengan reaksi harian.
Pada titik inilah latar Dr Sam sebagai teknorat PAS memberi kelebihan psikologi: ia membawa mesej bahawa PN mahu kembali kepada pendekatan profesional, berfakta, dan berangka, bukan bergantung pada konflik emosi dan persepsi. Ramai pengundi yang “menjauh seketika” bukan benci PN, tetapi bimbang PN tidak cukup kemas untuk memimpin. Mereka berpotensi “kembali” apabila melihat PN dipimpin oleh tokoh yang melambangkan keteraturan dan kompetensi.
Kedua, Dr Sam membuka satu naratif yang menarik untuk rakyat: kebarangkalian melihat PAS memimpin negara melalui model kepimpinan ulama-teknorat. Secara konvensional, dalam banyak gabungan politik, pengerusi atau tokoh yang menjadi pusat gabungan sering dilihat sebagai calon Perdana Menteri jika gabungan itu memenangi majoriti kerusi Parlimen.
Maka tidak hairan apabila wujud keterujaan bahawa Dr Sam berpotensi menjadi PM, khususnya apabila rakyat sudah merasai beberapa “pusingan” kepimpinan negara: era UMNO, episod BERSATU, fasa PKR menerajui kerajaan. Untuk sebahagian pengundi, yang dicari bukan lagi slogan baharu, tetapi pengalaman baharu kepimpinan yang lebih teknikal, lebih tersusun, lebih fokus kepada hasil.
Di sini perbandingan antarabangsa boleh membantu membina kefahaman, tetapi mesti dibuat dengan tepat. India pernah mempunyai A.P.J. Abdul Kalam, seorang saintis dan jurutera aeroangkasa, sebagai Presiden (ketua negara), dan kewibawaan beliau menaikkan imej bahawa kepimpinan “ilmiah” boleh dihormati rakyat.
Jerman pula mempunyai Angela Merkel, yang memiliki PhD dalam bidang sains (kimia fizikal/kimia kuantum) dan pernah menjadi penyelidik sebelum memasuki politik, kemudian memimpin sebagai Canselor dengan gaya yang terkenal berhati-hati, teknikal dan berasaskan data. Ini menunjukkan satu hakikat: rakyat moden tidak semestinya mencari pemimpin yang paling lantang; sebahagian rakyat mencari pemimpin yang tenang, berfakta, dan mampu mengurus krisis.
Malaysia sendiri pernah melalui fasa pemodenan besar di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering digelar “Bapa Pemodenan” dengan penekanan kepada agenda industri, pembangunan, dan pembentukan masyarakat yang lebih saintifik. Maka, idea seorang pemimpin berlatar teknorat bukan perkara asing kepada psikologi rakyat Malaysia.
Namun keterujaan semata-mata tidak cukup. PN pastinya dibawah kepimpinan Dr Sam sebagai wajah baharu yang meyakinkan, perlu mengikat naratif teknorat itu dengan agenda dasar yang konkrit: apa strategi mengawal kos hidup, bagaimana meningkatkan pendapatan, bagaimana membaiki tatakelola, bagaimana mengurus fiskal negara, dan bagaimana mengurangkan ketirisan yang membebankan rakyat.
Pastinya, pengalaman Dr Sam di peringkat negeri akan menjadi nilai tambah kepada gabungan PN. Rekod pentadbiran negeri boleh menjadi “bukti kerja” bahawa beliau bukan sekadar tokoh pidato. Tetapi Dr Sam dan pasukan PN mesti kelihatan mempunyai bench strength yang lengkap, bukan bergantung pada karisma atau latar akademik semata-mata.
Kesimpulannya, Dr Sam boleh menjadi “nafas baharu” PN jika PN benar-benar menggunakan kepimpinan beliau untuk dua perkara: menyatukan gabungan secara berinstitusi dan mengangkat agenda rakyat secara berfakta. Keyakinan rakyat kepada PN terutama kepada PAS masih wujud, tetapi ia perlu dipelihara dengan disiplin dan struktur yang menghapuskan persepsi ketidaktentuan.
Perlantikan Dr Sam dilihat akan memulihkan kesatuan PN. Malah ia akan memberi kelebihan PN kerana mempamerkan profesionalisme teknorat. Maka kemungkinan PN dipimpin oleh PM dari PAS bukan lagi fantasi. Namun untuk dibaca sebagai pemimpin nasional, Dr Sam perlu meyakinkan bahawa pengalaman itu boleh ditransformasikan ke peringkat persekutuan dengan skala dan kompleksiti yang jauh lebih besar. Ini menuntut PN menampilkan pasukan: barisan ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan, dan hubungan antara kaum/wilayah.
Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi), Yayasan Strategik Lestari dan pemerhati politik semasa




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.