https://critoxium.com/shop/

Terkini

Radzi Jidin: Tukang Hantar Mesej atau Api Dalam Sekam PN?


Oleh Wan Ahmad Fayhsal

Beliau hadir dalam pertemuan yang membuka satu persatu apa sebenarnya masalah dalam PN. Beliau mendengar sendiri bak kata pepatah Aussie — “straight from the horse’s mouth” — mengapa PAS menolak individu-individu tertentu dalam BERSATU yang dinamakan Muhyiddin untuk jawatan strategik PN tanpa rundingan. Namun nampaknya, walaupun mendengar dengan telinga sendiri, beliau memilih untuk memekakkan telinga apabila tiba masa membuat keputusan.

Jurang kepercayaan antara PAS dan BERSATU bukan bermula di Perlis. Itu cuma riak di permukaan. Api sebenarnya telah lama membara, cuma ketika itu ada yang cuba menutup bara dengan abu agar tidak nampak di mata umum.

Bukan sekali dua orang bertemu Presiden dan menyampaikan hakikat sebenar. Antara yang mengaku menjadi “jambatan” ialah Radzi Jidin sendiri. Tetapi jambatan yang goyah akhirnya hanya membawa orang jatuh ke dalam gaung.

Sejak awal pemilihan, beliau memilih untuk bermain di semua kolam — kononnya strategi bijak untuk melawan dari dalam nak lawan Azmin dan Peja yang kuat menjilat Abah sampai hilang pertimbangan halal haram yang tepat. Namun dalam politik, siapa yang cuba memegang dua tali biasanya yang pertama tergelincir apabila tali ditarik.

Apakah beliau lupa kemenangan sebagai Naib Presiden 1 bukan jatuh dari langit, tetapi hasil dukungan DS Hamzah dan DS Dr. Ronald Kiandee? Atau memori politik beliau sudah menjadi seperti air di daun keladi — jatuh, lalu hilang tanpa bekas?

Apakah beliau lupa pasukan Presiden sendiri pernah mahu menguburkan beliau sebagai Naib Presiden — sedangkan undian di Bahagian Batu membuktikan mandat akar umbi membawa arah berbeza, mengangkat Peja, Razali dan Rafiq Sg. Buloh? Apakah Radzi Jidin lupa yang TS Muhyiddin sendiri melanggari konsesus “gentleman” yang beliau umumkan?

Dalam kalangan ahli Parlimen, Radzi memiliki akses paling luas kepada semua pimpinan — baik Pagoh mahupun Larut. Tetapi apabila tiba masa membezakan antara yang hak dan yang batil, beliau tersalah congak. Ironinya, seorang profesor akauntan yang sepatutnya mahir kira untung rugi politik, tetapi akhirnya membuat kiraan yang songsang — ibarat menghitung laba tetapi tersalah jumlah, lalu rugi di hujung kira.

Beliau mendengar sendiri daripada kepimpinan tertinggi PAS dan DS Hamzah tentang bukti kewujudan “Kuda Trojan” dalam BERSATU dan PN. Namun tetap memilih kelompok yang membawa mudarat kepada perjuangan Melayu-Islam dan PN. Ini bukan lagi soal tersalah langkah, tetapi seperti kata orang tua: sudah diberi lampu, masih memilih berjalan dalam gelap.

Takkan Radzi tidak dapat menilai mengapa sehingga 19 Ahli Parlimen sanggup berpatah arang, berkerat rotan menyokong “RESET” DS Hamzah — seorang yang saban tahun diuji dan dizalimi? Kalau itu pun tidak mampu dibaca sebagai isyarat politik, maka persoalannya bukan lagi maklumat yang kurang, tetapi keberanian membuat keputusan.

“Alhamdulillah” — mesej kepada Ayah Chik. Rupanya mahu menukar Ketua Pembangkang kerana arahan Presiden. Politik jenis ini ibarat menanam tebu di tepi bibir: manis pada kata, tetapi pahit pada tindakan.

Adakah beliau lupa bagaimana DS Hamzah dilantik sebagai Ketua Pembangkang melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi PN selepas PRU15? Atau sejarah baru beberapa tahun sudah pun sudah mahu dipadam dari ingatan?

Hakikatnya, hanya segelintir bersama Pagoh. Selebihnya istiqamah bersama Larut dan PAS untuk memastikan agenda asal PN tidak tersasar. Tetapi politik gaya Radzi ini berbahaya — seperti api dalam sekam. Nampak tenang di luar, tetapi membakar dari dalam.

Dalam peperangan, tidak ada ruang untuk bermain dua kolam. Tidak ada ruang untuk menjadi biduk lalu kiambang bertaut. Apabila burhan kebenaran sudah berkali-kali terzahir, keputusan mesti dibuat walaupun pahit — kerana perjuangan bukan tentang nostalgia, tetapi istiqamah pada prinsip.

Insya-Allah, Radzi mungkin boleh menjadi tukang hantar mesej. Tetapi mesej yang dihantar tanpa pendirian ibarat surat tanpa alamat — tidak akan sampai ke mana.

Kita tidak memerlukan rakan seperjuangan yang kelihatan berprinsip tetapi hakikatnya tiada pendirian tetap. Dalam perjuangan, lebih baik musuh yang jelas daripada kawan yang keliru arah.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.