Surat Terbuka Buat Ahli Pas
SURAT TERBUKA
Kepada Sahabat-sahabat Ahli dan Penyokong PAS yang Saya Hormati
Assalamualaikum wr.wb
Sahabat sahabat yang saya hormati,
Surat ini tidak ditulis untuk memujuk, apatah lagi menghukum.
Ia ditulis kerana saya tahu, di dalam PAS ada ramai insan yang ikhlas, taat, dan takut kepada Allah.
Ramai antara kalian kekal bertahan bukan kerana benci orang lain, tetapi kerana takut berdosa, takut silap jalan, takut dimurkai Tuhan.
Ketakutan itu lahir daripada iman dan iman itu sesuatu yang mulia.
Namun izinkan saya bertanya dengan penuh rendah hati.
Jika hari ini Presiden PAS sendiri telah menyatakan bahawa pertembungan PAS dan UMNO bukan isu akidah, tetapi isu pendekatan.
Maka apakah makna semua ketakutan yang pernah ditanam dalam hati kita selama ini?
Jika ia bukan isu akidah,
maka iman kita tidak terikat pada parti.
Sahabat,
Islam tidak pernah mengajar bahawa:
Masuk Parti tertentu menjamin syurga
Keluar Parti tertentu dan sertai Parti tertentu membawa ke neraka
Tiada satu ayat al-Quran yang meletakkan keselamatan iman di tangan organisasi Parti politik.
Iman adalah hubungan peribadi antara hamba dan Allah.
Ia tidak diwakilkan kepada mana-mana Parti, Pimpinan atau Bendera.
Saya tahu, ada ahli PAS yang takut dilabel munafik.
Ada yang takut dikafirkan.
Ada yang takut diputuskan ukhuwah.
Tetapi sahabat,
munafik dan kafir bukan label politik.
Ia istilah akidah yang besar, dan tidak boleh digantungkan kepada keputusan memilih atau meninggalkan Parti.
Berbeza pandangan bukan dosa.
Berubah pendirian bukan khianat.
Mencari jalan yang lebih jujur dengan keikhlasan hati dan keizinan Tuhan bukan kesesatan.
Jika hari ini hati kalian tidak lagi tenang,
Islam membenarkan kita berhenti seketika, berfikir, dan menilai semula.
Keluar parti bukan keluar Islam.
Meninggalkan organisasi Parti Politik bukan meninggalkan iman.
Dan menghormati PAS tidak mewajibkan kesetiaan seumur hidup.
Sahabat,
Takutlah kepada Allah dan bukan kepada parti.
Peganglah Islam bukan kerana tekanan, tetapi kerana keyakinan.
Dan jika kalian memilih jalan yang berbeza, ketahuilah:
Allah menilai kejujuran, bukan keahlian.
Dengan penuh hormat dan kasih,
Dari saudara seagama
MAHFUZ OMAR
NAIB PRESIDEN
PARTI AMANAH NEGARA
10 FEB 2026
PASIR PUTIH,
KELANTAN DARULNAIM




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.