“UMNO Kini Lebih Harmoni, Tak Terjejas Kritikan PAS”
SEREMBAN: UMNO tidak terkesan dengan kritikan mana-mana pihak termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung inisiatif Rumah Bangsa yang diperkenalkan parti itu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO kini berada dalam keadaan harmoni dan sedang melalui proses muhasabah diri selepas mengalami kekalahan dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut.
Beliau berkata, parti itu menyedari kekalahan tersebut berlaku atas beberapa faktor termasuk perbalahan dalaman yang tidak ditangani dengan baik sebelum ini dan menjadi pengajaran penting untuk memperbaiki kelemahan serta membina semula kekuatan parti dari dalam.
“UMNO merupakan sebuah parti yang amat harmoni sekarang. Parti ini telah membuat muhasabah diri selepas kita ditolak oleh pengundi pada PRU14 dan PRU15.
“Terpulang kepada orang untuk melabelkan apa sahaja, namun seperti kata orang tua-tua, bahasa menunjukkan bangsa.
“Kalau kita mahu menunjukkan kita daripada kalangan orang yang baik, gunakanlah bahasa yang baik, lebih-lebih lagi dalam bulan puasa ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Bahagian Rembau di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan Biro Politik UMNO turut membincangkan mengenai kesiapsiagaan parti menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.
“Kita akan melihat masa yang sesuai sama ada Melaka dahulu, Johor kemudian, atau sebaliknya ataupun diadakan serentak,” katanya.
Menurutnya, UMNO ketika ini memberi tumpuan kepada proses mesyuarat cawangan yang dijadual berlangsung dari April hingga Mei, diikuti mesyuarat bahagian pada Jun hingga Julai, selain menumpukan perhatian membantu jentera parti di kedua-dua negeri berkenaan.
Mengulas kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU), Mohamad berkata, perkara itu merupakan prerogatif Perdana Menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen.
“Keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara terus kekal stabil,” katanya.
Beliau berkata, situasi geopolitik termasuk konflik di Asia Barat berpotensi memberi kesan kepada ekonomi global terutama berkaitan harga minyak dan gas yang boleh meningkat secara mendadak.-UTUSAN




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.