https://critoxium.com/shop/

Terkini

“UMNO Buka Pintu, Hishammuddin Sedia Kembali Berjuang”


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersedia kembali kepada UMNO jika kepimpinan parti ikhlas menarik balik penggantungan.

Hishammuddin berkata, beliau tidak pernah keluar parti selama tiga tahun digantung malah tidak pernah menyerang parti.

Beliau turut menyatakan penghargaan atas kenyataan Presiden UMNO mengenai keputusan pimpinan parti untuk menerima semula mereka yang telah dipecat, digantung atau keluar parti tanpa syarat.

“Bagi diri saya, perkara ini bukan sesuatu yang sukar kerana saya tidak pernah keluar parti. Sepanjang tiga tahun digantung, saya juga tidak pernah menyerang parti.

“Apabila pimpinan telah membuat pendirian, saya rasa penting untuk memaklumkan kepada warga Sembrong dan kepimpinan UMNO Sembrong bahawa perkara ini tidak menimbulkan sebarang masalah untuk saya menerima apa yang dinyatakan oleh Presiden (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi).

“Jadi jika benar pucuk pimpinan parti ikhlas untuk menarik balik penggantungan terhadap diri saya, saya akan kembali berjuang demi parti UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO berkata, usaha itu juga penting bagi merapatkan barisan UMNO di Sembrong dan Johor serta memperkukuh perjuangan parti bersama kepimpinan sedia ada.

Sebelum ini, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannya untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.

Pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu untuk menyertai UMNO.-UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.