https://critoxium.com/shop/

Terkini

“Amanah Tegur Hadi Awang: Islam Tak Ajar Hina Pihak Berbeza Politik”


PETALING JAYA: Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyindir usaha dialog parti politik Melayu Islam yang diusahakan UMNO menunjukkan sikap sebenar Pas gemar melabel, menghina dan meragui keikhlasan pihak lain semata-mata atas berbeza pandangan politik.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan tindakan itu membuktikan Pas tidak pernah berminat kepada masa depan Melayu dan Islam, sebaliknya hanya mementingkan politik sendiri

“Ia jelas menunjukkan Pas gemar melabel, menghina dan meragui keikhlasan pihak lain semata-mata kerana berbeza pandangan politik.

“Dalam kenyataan tersebut, pelbagai tuduhan dan metafora digunakan seperti bisikan syaitan dan hantu raya, malah mempertikaikan amalan pihak lain seolah-olah hanya Pas sahaja yang membawa Islam, manakala pihak lain dianggap tersasar atau dipengaruhi unsur menyesatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Pas tidak bersedia untuk menyertai gagasan Rumah Bangsa yang ditawarkan UMNO kerana menyifatkan platform tersebut seolah-olah berada di bawah bumbung yang tidak selamat.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, keadaan itu diibaratkan seperti berteduh di bawah payung buruk yang sudah rosak dan tidak mampu menahan hujan lebat selain mempunyai besi-besi tajam yang boleh membahayakan.

Mujahid berkata, pendekatan sedemikian bukan sahaja tidak matang, malah sangat berbahaya kerana menjadikan agama sebagai alat untuk menghukum dan merendahkan pihak lain.

“Islam tidak pernah mengajar umatnya meragui iman orang lain semata-mata kerana perbezaan politik.

“Tradisi Islam di negara ini sejak dahulu menekankan hikmah, kesederhanaan dan adab dalam berbeza pandangan, bukan budaya melabel dan merendah-rendahkan sesama sendiri,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan menghina serta menolak usaha ini hanya akan mengeruhkan keadaan dan menajamkan lagi perpecahan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia.

“Kami menyeru orang Melayu dan umat Islam supaya menolak politik yang memonopoli agama untuk menyerang dan merendahkan pihak lain.

“Malaysia memerlukan politik yang rahmah, beradab dan menyatukan, bukannya politik yang memecah-belahkan masyarakat dengan retorik agama sempit dan penuh prasangka,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.