https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mahfuz: Jika Mahu Keluar Kerajaan Perpaduan, Keluarlah Dengan Bermaruah


POKOK SENA,— Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar, menggesa semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan supaya menghormati semangat kerjasama dan menjaga kestabilan politik sehingga tamat penggal pentadbiran.

Beliau berkata, kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, selepas penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada 13 September bahawa UMNO akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga hujung penggal perlu dihormati kerana ia merupakan janji yang dibuat ketika kerajaan berkenaan dibentuk.

Menurut Mahfuz, kestabilan politik perlu dipelihara dan negara tidak seharusnya berdepan ketidaktentuan politik yang tidak perlu.

Bagaimanapun, katanya, kesetiaan kepada Kerajaan Perpaduan bukan sekadar berkaitan kedudukan dalam Kabinet, sebaliknya turut melibatkan soal kepercayaan, kestabilan dan semangat kerjasama antara parti yang membentuk kerajaan.

“UMNO mempunyai hak untuk menentukan strategi politik di peringkat negeri. Tetapi hak berpolitik datang bersama tanggungjawab berkerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mahfuz berkata, percanggahan boleh timbul sekiranya sesebuah parti menyatakan komitmen untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, namun pada masa sama mengambil langkah politik yang boleh ditafsirkan sebagai menjalin kerjasama dengan pihak yang mahu mengambil alih kerajaan sedia ada.

Beliau berkata, prinsip kerjasama seharusnya tidak berubah hanya kerana melibatkan perbezaan antara politik di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Kalau di Putrajaya kita membina rumah bersama, mengapa di negeri tertentu UMNO pula bekerjasama dengan pihak yang mahu mengambil alih rumah yang kita diami bersama?” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz menegaskan bahawa perbezaan strategi pilihan raya dan pandangan politik merupakan perkara biasa, namun ia tidak seharusnya menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar sesebuah parti terhadap Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada UMNO benar-benar berhasrat mempertahankan Kerajaan Perpaduan sehingga hujung penggal atau sedang menyediakan laluan politik yang berbeza selepas itu.

Menggunakan analogi sebuah rumah, Mahfuz berkata parti-parti dalam kerajaan boleh mempunyai perbezaan pendapat dan kepentingan, tetapi tidak seharusnya mengambil tindakan yang boleh menjejaskan asas kerajaan yang dibina bersama.

Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya mana-mana parti akhirnya merasakan Kerajaan Perpaduan tidak lagi selari dengan hala tuju politik mereka, keputusan untuk berundur perlu dibuat secara terhormat melalui perbincangan dan peralihan yang teratur.

“Jangan minta Perdana Menteri memecat kita. Cabarlah diri sendiri untuk membuat keputusan dan menanggung akibat daripada keputusan itu,” katanya.

Menurut Mahfuz, maruah politik bukan terletak pada siapa yang mengeluarkan seseorang daripada kerajaan, sebaliknya pada keberanian membuat keputusan sendiri berdasarkan prinsip serta kesediaan menanggung akibat daripada keputusan tersebut.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa kenyataannya bukan bertujuan meminta UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan.

“Saya tidak meminta UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan. Saya mahu UMNO belajar bagaimana untuk kekal dengan baik,” katanya.

Mahfuz berkata, kerajaan dibina berdasarkan sokongan angka, tetapi kelangsungannya bergantung kepada kepercayaan antara parti yang membentuknya.

Katanya, kestabilan dan hala tuju politik yang jelas juga penting bagi memastikan keyakinan terhadap ekonomi dan pentadbiran negara terus terpelihara.

“Jangan hanya setia kepada perjanjian. Setialah juga kepada semangat perjanjian.

“Kalau mahu bersama, bersama dengan amanah. Kalau mahu berbeza, berbeza dengan tertib. Kalau mahu keluar, keluarlah dengan bermaruah.

“Jangan kekal sambil menggoncang. Jangan keluar sambil meruntuhkan,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.