https://critoxium.com/shop/

Terkini

Masa untuk menilai semula makna dan peranan profesor


Oleh Zainal Abidin Sanusi

Apabila seorang profesor bersuara tentang sesuatu isu semasa yang bukan bidangnya mudah kedengaran “Itu bukan bidangnya.” Tetapi apabila profesor yang memang pakar dalam isu tersebut memilih diam, masyarakat pula tertanya-tanya di manakah suara ilmuwan ketika ilmunya diperlukan? Persoalan ini membawa kepada pertanyaan lebih besar iaitu apakah sebenarnya makna menjadi profesor hari ini?

Adakah profesorship sekadar pengiktirafan terhadap kepakaran dalam satu bidang yang semakin khusus, atau turut membawa tanggungjawab sebagai ilmuwan yang membantu masyarakat memahami persoalan zamannya? Gelaran profesor tetap penting. Ia mengiktiraf pencapaian akademik, penyelidikan dan kedalaman kepakaran. Namun, kepakaran seharusnya menjadi asas kesarjanaan, bukannya sempadan kesarjanaan.

Pembinaan ilmu – kepakaran bukan tembok

Sejarah kesarjanaan tidak berkembang melalui pemisahan ilmu yang jumud. Tradisi keilmuan Islam melahirkan Ibn Sina yang bergerak antara disiplin perubatan, falsafah, logik, sains tabii dan metafizik. Al-Biruni pula merentasi matematik, astronomi, geografi, sejarah dan kajian masyarakat. Mereka bukan ilmuwan besar kerana mengetahui segala-galanya, tetapi kerana melihat ilmu sebagai sesuatu yang saling berhubung.

Tradisi universiti Barat juga tidak sepenuhnya dibina atas pengasingan ilmu. John Henry Newman dalam The Idea of a University melihat universiti sebagai pertemuan pelbagai cabang pengetahuan yang saling memperluaskan pemikiran.

Clark Kerr kemudian melalui The Uses of the University menggambarkan universiti moden sebagai multiversity – institusi yang fungsi dan hubungannya dengan masyarakat semakin kompleks. Kita juga semakin kerap mendengar komuniversiti yang mengabungkan komuniti dan universiti sebagai sebagai satu entity. Jadi, dari manakah datangnya tanggapan bahawa profesor seharusnya berbicara hanya dalam bidang khususnya?

Sebahagian jawapannya lahir daripada pengkhususan ilmu moden. Benar pengkhususan penting kerana tanpanya sukar mencapai kedalaman ilmu. Namun masalah bermula apabila cara kita menyusun ilmu berubah menjadi cara kita menghadkan pemikiran.

Dunia sebenar tidak mempunyai jabatan akademik. AI bukan sekadar persoalan teknologi. Kemiskinan bukan ekonomi semata-mata. Korupsi bukan hanya undang-undang. Perubahan iklim pula bersilang dengan sains, ekonomi, politik, etika dan tingkah laku manusia.Sedangkan universiti hidup dengan jabatan masing-masing.

Edward O. Wilson, saintis dan pemikir tersohor Harvard serta pemenang dua Hadiah Pulitzer, dalam Consilience: The Unity of Knowledge amat tepat dalam mengingatkan bahawa fragmentasi ilmu melalui jabatan ini bukan gambaran bagaimana dunia sebenarnya tersusun, tetapi sebahagiannya ialah “artifacts of scholarship” yang bermaksud hasil cara manusia membahagikan dan mengorganisasikan pengetahuan.

Wilson lalu mengangkat gagasan consilience – pengetahuan yang terpisah perlu dihubungkan kembali untuk memahami realiti secara lebih menyeluruh.

Lebih menariknya, gagasan ini mempunyai titik temu dengan epistemologi Tauhid dan integrasi ilmu yang menjadi antara asas penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Tauhid melihat ilmu bukan sebagai serpihan yang berdiri sendiri, tetapi suatu kesatuan yang menghubungkan ilmu dengan ilmu, nilai, tujuan dan tanggungjawab terhadap manusia yang berakhir dengan ketuhanan.

Maka, UIAM kini sedang mengangkat kembali epistemologi Tauhid sebagai antara kerangka untuk menangani fragmentasi ilmu kontemporari dan mengembalikan integriti serta reputasi ilmu dan universiti. Di sinilah peranan profesor menjadi persoalan semula.

Jika universiti mahu menyatukan kembali ilmu yang terpisah, profesor sebagai pemegang darjat tertinggi kesarjanaan tidak seharusnya semakin terkurung dalam sempadan disiplin. Pengkhususan diperlukan untuk mencapai kedalaman, tetapi penyatuan ilmu diperlukan untuk memahami keseluruhan. Pakar dalam bidangnya, ilmuwan dalam menghubungkan dengan keseluruhan ilmu.

Pengembangan ilmu memerlukan pertembungan antara disiplin

Jika pembinaan ilmu memerlukan kedalaman, pengembangan ilmu memerlukan pertembungan. Ilmu berkembang apabila andaian dipersoalkan, perspektif berbeza bertemu dan hujah diuji. Ambil isu subsidi sebagai contoh. Ahli ekonomi mungkin melihat kemampuan fiskal dan kecekapan pasaran; sarjana dasar awam meneliti pelaksanaan; ahli sosiologi melihat kesannya terhadap masyarakat; sarjana sains politik pula meneliti legitimasi dan penerimaan rakyat. Pertemuan perspektif itulah yang menghasilkan kefahaman lebih lengkap dan penyelesaian yang lebih lestari.

Sebab itu ungkapan “itu bukan bidang anda” perlu digunakan dengan berhati-hati. Sudah tentu profesor tidak memperolehi autoriti terhadap semua perkara hanya kerana gelarannya. Profesor politik tidak boleh berbicara tentang rawatan kanser seolah-olah pakar perubatan.

Batas epistemik tetap kekal penting.Tetapi batas kepakaran tidak sama dengan batas pemikiran. Seorang profesor sepatutnya mengetahui apa yang diketahuinya, mengakui apa yang tidak diketahuinya, membaca apa yang belum diketahuinya dan bersedia menerima pembetulan. Inilah epistemic humility. Namun, kerendahan intelektual tidak seharusnya menjadi kebisuan intelektual.

Profesor tidak perlu menjadi pakar segala-galanya. Tetapi jika ketakutan bahawa “ini bukan bidang saya” menyebabkan sarjana tidak berani memasuki perbahasan rentas disiplin, kita mungkin menghasilkan semakin ramai pakar tetapi semakin sedikit ilmuwan. Bidang menentukan kedalaman dari mana kita bercakap. Tetapi ia tidak seharusnya menentukan keluasan cabaran dunia yang boleh kita fikirkan.

Pengamalan ilmu – Kalau sekadar tahu, bagaimana dengan AI?

Persoalan ini menjadi lebih mendesak dalam zaman AI. Jika nilai profesor hanya terletak pada kemampuan menguasai banyak pengetahuan, menelusuri literatur, merumus teori, membandingkan pandangan dan menghasilkan tulisan akademik, sebahagian fungsi tersebut semakin mampu dilakukan AI pada skala dan kepantasan yang sukar ditandingi manusia.

Sudah tentu AI bukan profesor. Tetapi justeru itu kita perlu bertanya apakah yang menjadikan profesor lebih daripada sistem yang sangat cekap mengendalikan pengetahuan? Jawapannya terletak pada perbezaan antara menguasai ilmu dengan menjadi ilmuwan.

Ilmuwan bukan sekadar mengetahui. Ilmuwan menentukan persoalan apa yang penting, andaian mana yang perlu dicabar, bila sesuatu perlu disuarakan dan apakah akibat ilmu terhadap manusia. Di sinilah terletaknya hikmah, pertimbangan moral, pengalaman, keberanian intelektual dan tanggungjawab sosial.

AI boleh merumus ribuan tulisan dan menghasilkan pelbagai sisi sesuatu hujah. Tetapi ilmuwan perlu menimbang mengapa sesuatu persoalan penting, mengambil pendirian apabila perlu dan bertanggungjawab terhadap pendiriannya.Ruang ini amat terhad kalau profesor hanya hidup dalam kepompong bidang masing-masing.

Kini muncul paradoks yang semakin jelas. Ada profesor yang berani berbicara tentang isu di luar bidang khususnya tetapi dengan pemembacaan, analisa dan berhujah secara bertanggungjawab. Ada profesor yang memang bidang kepakarannya tetapi memilih diam.

Ada profesor yang ilmunya kekal selamat dalam kuliah dan jurnal. Ada pula yang tidak bergelar profesor tetapi membaca dengan mendalam, berfikir secara kritis dan membantu masyarakat memahami persoalan semasa. Jadi, siapakah sebenarnya sedang menjalankan fungsi seorang ilmuwan atau intelektual awam?

Persoalan ini semakin penting ketika masyarakat dibanjiri maklumat, pertarungan naratif dan politik yang turut memasuki ruang universiti. Profesor tidak perlu menjadi komentator segala perkara. Tetapi masyarakat berhak mengharapkan kesarjanaan membantu menjernihkan kekeliruan, bukan sekadar memerhatikannya dari kejauhan. Mungkin sudah tiba masanya kita menilai semula makna dan peranan profesor di dalam masyarakat kita.

Kedalaman ilmu memerlukan disiplin. Pengembangan ilmu memerlukan pertembungan disiplin. Pengamalan ilmu pula memerlukan keberanian membawa kesarjanaan kepada masyarakat. Universiti memberikan gelaran profesor.

Tetapi orang awam akhirnya menentukan makna dan nilai gelaran itu melalui apa yang dilakukan oleh seorang profesor dengan ilmunya bukan di dalam kampus tetapi di tengah-tengah gelanggang masyarakat.

Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Felo Sejahtera, RCE Tongyeong Sejahtera Forest, Korea Selatan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.