Agenda reformasi Kerajaan MADANI terus berkembang
Oleh Zanariah Abd Mutalib
JIKA dahulu, reformasi hanya dilihat sebagai satu slogan sering dilaungkan di pentas ceramah dan jalanan sebagai satu tuntutan, namun frasa itu kini menjadi satu agenda penting di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, yang membawa titik perubahan signifikan bagi rakyat dan negara.
Mungkin ada segelintir pihak memilih untuk menutup mata terhadap pelbagai reformasi dilaksanakan, sedangkan komitmen itu sentiasa tegas disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan terbukti diterjemahkan melalui pelaksanaan.
Dalam tempoh empat tahun pentadbirannya, agenda reformasi dibawa Kerajaan MADANI terus menunjukkan perkembangan menerusi pelaksanaan beberapa pembaharuan institusi, tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan awam, walaupun terdapat beberapa agenda yang masih memerlukan masa untuk disempurnakan.
Daripada memperluas kuasa Jabatan Audit Negara (JAN), mengembalikan autonomi Parlimen, memperkukuh disiplin kewangan awam hingga merombak sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, agenda reformasi kini menyentuh pelbagai lapisan pentadbiran negara.
Walaupun tidak semua pembaharuan dapat dilaksanakan dalam tempoh singkat, perkembangan itu memperlihatkan komitmen kerajaan untuk membawa perubahan secara berperingkat, termasuk terhadap beberapa institusi yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi dan tadbir urus negara.
Perluasan kuasa JAN dilaksanakan melalui pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62), membolehkan JAN mengaudit semua 1,856 syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sekali gus memperkukuh mekanisme semak dan imbang terhadap pengurusan wang serta kepentingan awam.
Pendekatan baharu follow the public money audit diperkenalkan supaya pengauditan dilakukan dengan menelusuri penggunaan wang awam secara lebih menyeluruh, termasuk terhadap syarikat menerima jaminan kewangan kerajaan.
Langkah itu juga memberi ruang kepada JAN untuk mengesan serta menilai risiko jenayah perakaunan dengan lebih berkesan dan bersasar, selain memperkukuh kedudukan institusi audit sebagai mekanisme penting dalam memastikan akauntabiliti kerajaan.
Dalam reformasi institusi, Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA) menjadi antara perkembangan penting selepas Perkhidmatan Parlimen bakal memperoleh kuasa autonomi dalam menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen selepas 33 tahun.
Kelulusan PSA adalah pencapaian besar dalam usaha memperkukuh reformasi institusi, dengan matlamat memastikan Parlimen dapat berfungsi sebagai institusi benar-benar bebas dan berdaulat.
Perkhidmatan Parlimen yang mula diperkenalkan pada 1963 sebelum dimansuhkan pada 1992, menjadikan usaha mengembalikannya antara langkah yang mempunyai nilai sejarah dalam proses memperkukuh institusi demokrasi negara.
Dari aspek pengurusan kewangan negara, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) menyediakan kerangka perundangan bagi meningkatkan tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan awam serta risiko fiskal.
Ia meliputi aspek hasil, perbelanjaan, pinjaman dan hutang, selain menggariskan keperluan berkaitan pelaporan dokumen belanjawan tahunan serta penerbitan dokumen lain berkaitan.
Pada peringkat perkhidmatan awam, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) menjadi antara penggerak utama dalam menyelaras dan mempercepat inisiatif reformasi pentadbiran merentasi kementerian serta agensi kerajaan.
STAR memberi tumpuan kepada penambahbaikan proses kerja dan penghapusan kerenah birokrasi, termasuk mengenal pasti peraturan serta prosedur lapuk yang boleh dipermudah bagi melancarkan urusan rakyat, komuniti perniagaan dan pelabur.
Menerusi inisiatif seperti Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi yang diperluas ke semua agensi kerajaan, STAR bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
Menelusuri beberapa kejayaan ini, perjalanan reformasi dijanjikan belum selesai apabila beberapa agenda besar sedang menanti untuk dimuktamadkan, termasuk cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Rang Undang-Undang (RUU) mengenainya bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menetapkan tempoh maksimum perkhidmatan seseorang Perdana Menteri kepada 10 tahun, sama ada secara berturut-turut atau tidak.
RUU itu sudah pun dibentangkan di Dewan Rakyat pada Februari lalu, namun tidak berjaya mendapat kelulusan kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen dan kerajaan dijangka membentangkan RUU itu sekali lagi.
Pembaharuan aspek pendidikan
Pada masa sama, kerajaan meneruskan usaha memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dengan prosiding bacaan kali kedua dan ketiga RUU Perlembagaan berkenaan dijangka diteruskan pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.
Langkah itu akan melalui proses perbahasan dan membuat keputusan di Dewan Rakyat selepas draf cadangan RUU berkenaan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja, membuktikan reformasi institusi berkenaan menjalani proses perundangan teliti.
Tidak ketinggalan, pembaharuan dalam aspek pendidikan tinggi melalui pengumuman pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 oleh Perdana Menteri baru-baru ini, yang akan membuka ruang kepada reformasi lebih besar, terutama dalam memberikan kebebasan lebih luas kepada mahasiswa untuk bersuara, dari segi pemikiran dan pembabitan dalam masyarakat.
Seiring langkah itu, jawatankuasa bebas akan ditubuhkan untuk meneliti pembentukan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal, yang akan mengambil kira keperluan pendidikan tinggi semasa dan masa depan.
Satu lagi perkembangan yang menarik perhatian adalah penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM), yang merealisasikan idea yang sudah dibangkitkan sejak 1973 tetapi mengambil masa puluhan tahun sebelum akhirnya dilaksanakan.
Dewan Rakyat meluluskan RUU Majlis Media Malaysia 2024 pada 26 Februari 2025 sebelum ia diwartakan pada 13 Jun dan berkuat kuasa sehari kemudian, sekali gus menandakan langkah baharu dalam memperkukuh tadbir urus industri media.
Penubuhan MMM juga mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memperkukuh kebebasan pengamal media dan profesion kewartawanan di negara ini, selain mewujudkan mekanisme kendiri yang lebih tersusun dalam industri.
Dengan pelbagai pembaharuan yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan, agenda reformasi Kerajaan MADANI bukan hanya sekadar slogan politik, sebaliknya diterjemah melalui perubahan kepada institusi, undang-undang dan sistem penyampaian yang memberi kesan kepada cara negara ditadbir.
Apa yang penting, ukuran sebenar kejayaan reformasi bukan hanya berapa banyak undang-undang diluluskan atau institusi diwujudkan tetapi akhirnya, sejauh mana perubahan itu mampu menghasilkan pentadbiran yang lebih telus, berakauntabiliti, cekap dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Penulis adalah Wartawan BH



Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.