https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mendidik jiwa murni generasi merdeka


Oleh Dr Mohamad Loqman Ibrahim

Setiap kali tanggal 31 Ogos menjelang, Jalur Gemilang kembali berkibar dan laungan 'Merdeka!' bergema di seluruh negara. Kita mengenang pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang membebaskan tanah air daripada penjajahan.

Namun, selepas 69 tahun merdeka, barangkali dalam keselesaan yang kita nikmati hari ini, kita perlu kembali bertanya, apa lagi kemerdekaan yang harus kita perjuangkan?

Orang zaman dahulu berhadapan dengan bentuk penjajahan yang nyata di depan mata. Hari ini, kita telah hidup dalam dunia yang hampir tiada sempadan. Bentuk penjajahan mulai berubah. Hanya melalui sebuah telefon pintar, pelbagai pemikiran, budaya, ideologi dan maklumat boleh 'menjajah' kehidupan kita tanpa disedari.

Oleh kerana itu, mempertahankan kemerdekaan hari ini bukan lagi sekadar menjaga sempadan dan kedaulatan negara. Ada satu lagi 'sempadan' yang perlu dipertahankan, hal itu pemikiran dan jati diri generasi kita.

Merdeka daripada kejahilan

Islam sejak awal lagi meletakkan ilmu sebagai asas pembinaan manusia dan masyarakat. Wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW juga bermula dengan satu perintah yang cukup besar maknanya: "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan." (Surah al-'Alaq: 1)

Menarik untuk direnungkan, perjalanan membina umat bermula dengan perintah membaca. Seolah-olah ada pesan yang jelas bahawa kekuatan sesebuah masyarakat tidak boleh dipisahkan daripada ilmu dan pendidikan.

Sesebuah negara mungkin telah lama merdeka secara politik, tetapi rakyatnya belum tentu merdeka daripada kejahilan. Kita mungkin bebas bergerak dan bersuara, namun tanpa ilmu, seseorang masih mudah terpengaruh, menerima sesuatu tanpa berfikir dan sukar membezakan antara fakta dengan kepalsuan.

Allah SWT mengingatkan: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" (Surah al-Zumar: 9)

Di sinilah besarnya tanggungjawab seorang pendidik. Tugas mereka bukan sekadar memastikan pelajar lulus peperiksaan bahkan mereka sebenarnya membentuk cara manusia berfikir, menilai dan membuat keputusan.

Hari ini, seorang guru mungkin sedang mengajar seorang murid di kelas. Dua puluh tahun akan datang, murid itu mungkin menjadi doktor, jurutera, usahawan, penyelidik, ahli akademik atau pemimpin negara. Apa yang ditanam hari ini mungkin tidak terus kelihatan hasilnya, tetapi kesannya boleh menentukan wajah negara masa hadapan.

Cabaran penjajahan pemikiran

Cabaran pendidikan juga sudah berubah. Dahulu, antara kesukarannya ialah mendapatkan maklumat. Kini, hampir semuanya berada di hujung jari. Dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI), pelajar boleh mendapatkan jawapan kepada pelbagai persoalan dalam beberapa saat.

Namun, masalah hari ini bukan lagi kekurangan maklumat, tetapi lambakan maklumat. Media sosial menjadikan keadaan semakin rumit apabila sesuatu yang tular dianggap benar. Jumlah perkongsian dan tanda suka pula kadangkala seakan-akan menjadi ukuran kebenaran, sedangkan sesuatu yang popular belum tentu sahih.

Al-Quran sejak awal mengajar prinsip tabayyun. Allah SWT mengingatkan agar berita yang diterima diperiksa terlebih dahulu sebelum kita membuat keputusan. (Surah al-Hujurat: 6)

Prinsip ini semakin penting dalam mendidik generasi digital. Pelajar perlu dibiasakan bertanya: Dari mana maklumat ini datang? Siapa sumbernya? Apakah buktinya? Sejauh mana ia boleh dipercayai?

Dalam era AI, mendapatkan jawapan semakin mudah, tetapi menilai jawapan menjadi semakin penting. Pendidik bukan lagi sekadar menyampaikan jawapan. Mereka perlu melahirkan generasi yang tahu bertanya, menyemak, membandingkan dan membuat pertimbangan berasaskan ilmu.

Inilah antara makna memerdekakan pemikiran.

Kepintaran sahaja belum mencukupi

Namun, kemerdekaan pemikiran tidak bermaksud kebebasan tanpa batas dan nilai. Kita tentu mahu pendidikan melahirkan generasi yang pintar, berilmu dan berkemahiran. Tetapi kepintaran semata-mata belum cukup untuk membina sebuah negara yang baik.

Kita memerlukan jurutera yang hebat tetapi berintegriti, doktor yang cekap tetapi memiliki nilai kemanusiaan, usahawan yang berjaya tetapi beretika, serta pemimpin yang bijaksana dan sedar bahawa kepimpinan ialah amanah.

Rasulullah SAW mengingatkan bahawa setiap manusia ialah pemimpin dan setiap orang akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah jagaannya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Mafhum hadis ini sangat dekat dengan kehidupan kita. Guru memikul amanah terhadap pelajarnya, ibu bapa terhadap anak-anak, pemimpin terhadap masyarakat dan setiap warganegara mempunyai tanggungjawab terhadap tanah airnya.

Justeru, kemerdekaan bukan sekadar hak yang diwarisi dan dinikmati, tetapi amanah yang perlu dijaga dan diwariskan.

Negara berubah apabila manusia berubah

Kita sering bercakap tentang hasrat melihat Malaysia menjadi negara yang lebih maju, berintegriti, berdaya saing dan dihormati dunia. Namun, perubahan tidak berlaku dengan slogan semata-mata. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah al-Ra'd: 11)

Perubahan negara bermula dengan perubahan manusia, dan pendidikan merupakan antara ruang terpenting untuk perubahan itu berlaku.

Sebab itu, kita perlu bergerak daripada sekadar bertanya, "Apakah yang pelajar perlu tahu?" kepada persoalan yang lebih besar: "Manusia bagaimana yang mahu kita lahirkan?"

Kita bukan sekadar mahu generasi yang mampu bekerja, tetapi generasi yang mampu berfikir dan menyelesaikan masalah. Bukan sekadar mahir menggunakan teknologi, tetapi tahu menggunakannya secara bijaksana dan bertanggungjawab. Bukan sekadar mengejar kejayaan diri, tetapi sedar bahawa ilmu dan kejayaan turut membawa tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

Pendidik, pejuang kemerdekaan masa kini

Tugas seorang pendidik mungkin kelihatan biasa seperti masuk ke kelas, mengajar, menyediakan bahan pembelajaran, menyemak tugasan dan membuat penilaian. Namun di sebalik rutin itu, sebenarnya sedang berlangsung satu proses yang jauh lebih besar iaitu membina masa depan sebuah negara.

Setiap hari, seorang anak muda bukan sekadar mempelajari ilmu. Bahkan, mereka turut belajar tentang disiplin, tanggungjawab, kerjasama, perbezaan pandangan, kejayaan dan kegagalan. Sedikit demi sedikit, pemikiran, karakter dan jati diri mereka dibentuk.

Jika generasi terdahulu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan, pendidik hari ini memikul perjuangan yang tidak kurang pentingnya yakni memastikan generasi seterusnya mampu menjaga dan mengisi kemerdekaan itu.

Maka apabila laungan 'Merdeka!' bergema pada 31 Ogos ini, kita bukan sahaja perlu mengenang mereka yang telah memerdekakan tanah air. Kita juga perlu bertanya:

Siapakah yang akan memastikan pemikiran generasi seterusnya terus merdeka?

Sebahagian daripada jawapannya berada di tangan para pendidik.

Kerana mempertahankan sebuah negara yang merdeka bukan hanya berlaku di sempadannya. Ia juga bermula di tempat generasi hari ini dididik, pemikirannya dibentuk dan jati dirinya dibina.

Penulis Pensyarah Kanan Pengajian Islam, Quran dan Bahasa Arab Universiti Kuala Lumpur, Royal College of Medicine Perak

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.