PAS tunggang agama atau peralat agama atau eksploitasi agama?
Oleh Fathi Aris Omar
Coretan lama saya pada 10 November 2014. Jemput baca 👇👇 Baca dengan tenang. Fikir sikit, bincang dengan kawan, insya-Allah faham.
Ilmu pengetahuan, atau maklumat jenis apa pun, membawa dampak yang "sama" pada akal.
Pengetahuan agama atau pengetahuan bukan agama -- di sisi akal -- membawa kesan yang sama, pada awalnya.
Tetapi apabila kita membuat tanggapan berbeza terhadap ilmu-ilmu, maka kesannya akan berlainan.
Jika kita anggap ilmu agama itu paling pasti dan sahih, tiada pilihan lain kecuali yakin dan beriman, maka kesan ilmu ini pada akal dan psikologi kita tentulah lebih kuat.
Apatah lagi ilmu itu bertukar keyakinan, atau akidah, yang menebal dan sebati dengan diri kita. Ia menjadi "second nature" (kebiasaan) akibat kuatnya bersemadi ilmu dengan jasad.
Ia mengubah cara kita pandang dunia ini; ia mengubah tindak balas tubuh kita apabila sesuatu yang bertentangan (pada tanggapan kita) dengan ilmu agama kita. "Ilmu" di sini maksudnya tanggapan mendalam yang membawa kesan pada jasad.
Sewaktu "ilmu agama" kita itu sudah sebati dengan jasad, kita terlupa bahawa ilmu, apa sahaja ilmu, pada asalnya di luar jasad dan di luar skema pengetahuan kita.
Kita mengambilnya menjadi sebahagian diri kita. Kita terlupa asal-usul pembudayaan ilmu ke atas jasad kita.
Contoh paling mudah, kesan pembudayaan ilmu agama pada akal dan psikologi kita, seperti cita rasa dan selera lidah kita, yang diasakkan dalam fikiran kita sejak hari-hari pertama kita dilahirkan.
Akibat kelupaan itu, kita berasa "ilmu agama" itu azali ciptaannya pada jasad kita, seperti tangan, telinga dan bulu roma kita.
Sebab itu, orang Melayu menjadi terlalu sensitif, hypersensitive, pada agama sehingga di peringkat tidak mampu memikir kembali susur galur proses pembudayaan agama ke atas dirinya.
Roland Barthes meringkaskan dengan padat sekali kesan psikologi itu:
"Myth consists in overturning culture into nature or, at least, the social, the cultural, the ideological, the historical into the 'natural'."
(lihat bukunya 'Image, Music, Text').
Akibatnya, ilmu agama membawa kesan lali atau pembiusan pada akal kita.
(ii)
Atas sifatnya sebagai ilmu yang tumbuh dan hidup dalam masyarakat manusia, agama itu tidaklah berkecuali atau tidak berkepentingan.
Malah, ia sentiasa muncul bersama, dan sarat pula, tafsir manusia. Maksudnya, manusia dalam budayanya.
Tetapi orang Islam selalu tidak nampak hal ini. Mereka anggap pengetahuan agama itu "objektif", "tanpa nilai" dan "berkecuali" seperti seketul batu.
Jika kita berikan seketul batu ini kepada adik kita, kemudian anak kita, kemudian emak kita menyerahkan ketulan itu kepada jiran kita, batu tetaplah batu itu.
Seperti batu di tangan kita disampaikan kepada jiran tanpa sebarang perubahan. Namun, dalam bidang kajian ilmu dan budaya, tanggapan seperti ini salah; malah salah besar!
Tetapi orang Islam selalunya (bukan semua), khususnya yang kurang berfikir, tidak dapat menerima hakikat adanya faktor manusia dalam pengetahuannya tentang Tuhan dan Akhirat.
Agama, walau sudah memasuki wilayah geografi yang luas dan zaman yang panjang, masih lagi diduga kekal dan tidak berubah-ubah.
Seolah-olah tersimpan piawai dalam wahyu dan kemudiannya dipindahkan dengan lancar dalam kefahaman dan kebudayaan manusia tanpa sebarang 'retak' (rupture) sedikit pun.
Dan, seolah-olah manusia mampu mencapai hakikat wahyu sedalam-dalamnya seperti kemutlakan makna asli Tuhan, atau dalam debat sastera semasa disebut mencapai 'makna asal pengarang'
Untuk mengekalkan dan memberikan legitimasi ke atas aliran "ketulenan" agama, campur tangan tafsir manusia ini sengaja dighaibkan daripada wacana agama walaupun setiap kuliah agama menyedari wujudnya pelbagai mazhab teologi dan pemikiran, apatah lagi fekah, sepanjang rentang sejarahnya.
(iii)
Ilmu, wacana dan institusi sosial - selain kuasa dan modal - menjadi sebahagian unsur dalam jaringan dominasi, atau setidak-tidaknya hegemoni.
Dengan takrif paling sederhana, hegemoni itu boleh dilihat sebagai penundukan akal, jiwa dan jasad melalui kaedah memujuk atau meyakinkan.
Hegemoni, berbeza dengan kuasa rasmi, tidak memerlukan kekerasan atau paksaan.
Tetapi hegemoni ini, akibat sifatnya yang lembut, mengasyikkan dan tersembunyi, juga penghalang terbesar usaha kita menyeru ke arah semakan kembali kefahaman-kefahaman kita tentang agama.
Agama sebagai hegemoni ilmu, wacana dan institusi sosial harus dibuka seluas-luasnya untuk disemak. Maksud saya, kefahaman kita atas agama dan himpunan pengetahuan agama.
Atas sifatnya yang ada tumpang tindih dengan politik, modal dan tradisi (di luar agama), maka agama harus selalu disemak dan dibahas.
Semakan bertujuan:
- mendorong pemahaman kritis dan reflektif terhadap asas-asas anutan agama tersedia ada (kukuh)
- yang bergerak dalam masyarakat, yang seolah-olah muncul secara semula jadi, dan
+ akibatnya tidak dipermasalahkan atau dipertikaikan lagi.
Atas sifatnya yang berinteraksi atau terjaring dengan kepentingan modal, kuasa dan tradisi, semakan kefahaman agama dan himpunan pengetahuan agama bertujuan:
- membongkar selimut ideologi atau selubung wacana dalam hubungan kepentingan itu (juga, konteks dan sejarahnya)
- yang tidak selalu telus, dan malah sering mengendong dakwaan "kekudusan" agama.
TAMBAHAN Huraian ini asalnya untuk buku saya Agong Tanpa Tengkolok (terbit hujung 2014), himpunan artikel tentang hubungan kuasa dalam budaya, politik dan agama.
Kebanyakan analisa ini dipengaruhi teori wacana, kajian media dan kajian budaya. Sesiapa yang biasa dengan tema-tema ini lebih mudah faham maksud tulisan di atas.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.