https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tunggang Agama : Kenapa kami kata parti Pas tunggang agama?


Oleh Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi

Tunggang agama maksudnya mempergunakan agama secara salah untuk mengabsahkan sesuatu kenyataan atau tindakan politik kepartian.

Mempergunakan agama secara salah maksudnya menafsirkan ajaran atau nas agama mengikut selera politik kepartian tanpa mengambil kira disiplin dan tradisi dalam mentafsirkan nas.

Contohnya kenyataan bahawa masuk atau undi parti Pas masuk syurga.

Ini bukan kenyataan yang kami reka tetapi kenyataan yang diucap dan didoktrin semenjak sekian lama, bukan sehari dua ini dalam muktamar parti Pas.

Kenyataan ini kami dengar semenjak tahun 80-an ketika parti Pas mengkafirkan Umno kerana tidak mahu melaksanakan hudud.

Mana sanad kenyataan itu?

Siapa nak riwayatkan kenyataan aku ini silakan.

Aku dengar sendiri dalam kempen pilihanraya yang aku sertai di Parlimen Padang Besar dalam PRU tahun 2018 di halaman rumah seorang penyokong Umno di sebuah kawasan Felda di Perlis, jurukempen parti Pas ketika itu menyebut kepada aku dengan wajah sedih, "Tuan rumah ini kata, dia rela masuk neraka kerana undi Umno".

Aku tanya juru kempen itu, "Kenapa tuan rumah ini kata begitu?"

Juru kempen itu jawab, "Sebab saya bagi tahu dia, undilah parti Pas, parti Islam, Insya Allah kita akan masuk syurga".

Itu kisah real yang aku lalui sendiri ketika sedar, sihat dan waras, bukan fantasi atau mimpi.

Itulah aplikasi maksud tunggang agama iaitu menjanjikan syurga (balasan yang ditetapkan oleh agama) terhadap tindakan mengundi parti Pas dalam pilihanraya.

Itulah penggunaan agama atau ajaran agama secara salah dalam parti Pas yang didoktrinkan oleh pemimpinnya sehingga menjadi pegangan dan kefahaman pengikut parti Pas.

Kenapa salah?

Sebab menurut ajaran agama yang sebenar, masuk syurga tidak diikat dengan tindakan masuk atau mengundi parti tertentu tetapi diikat dengan iman dan amal saleh yang merentasi kecenderungan politik kepartian.

Sehari dua ini pula kenyataan itu diulang lagi tetapi agak berlapik apabila dikaitkan dengan amal saleh dan beramal dengan Islam secara syumul.

Tetapi kata kuncinya masih sama iaitu masuk parti Pas, sokong parti Pas atau undi parti Pas dalam pilihanraya.

Kenapa beramal dengan Islam mahu dikaitkan juga dengan parti Pas?

Sedangkan tidak ada ajaran agama yang bersifat usul atau furu' yang mengaitkan janji syurga dengan parti, kelompok, kumpulan, bangsa atau keturunan tertentu.

Ajaran agama dan janji akhirat bersih daripada sebarang ikatan dengan parti politik.

Dalam Quran, golongan tertentu yang secara jelas Tuhan janjikan keredaan dan syurga antaranya ialah Muhajirin dan Ansar.

Dalam sunnah pula, golongan yang Tuhan janjikan keampunan berterusan ialah golongan Ahli Badar.

Tak ada janji syurga atau keampunan berterusan untuk golongan yang masuk parti politik tertentu meskipun yang berlabel Islam.

Jadi apabila parti politik tertentu menjanjikan syurga lewat partinya, sedangkan hal itu tidak ada dalam sumber agama, itulah maksud tunggang agama.

Pemimpin parti Pas buat silap apabila hal janji masuk syurga disebut dalam muktamar parti itu meskipun dilapik dengan amal saleh.

Luka lama yang sedang berdarah kini parah kembali.#

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.