Ada apa bayi pelarian Syria lahir di Greece!
Oleh Dinsman
Saya tertarik dengan pendekatan yang diambil oleh
majalah TIME keluaran double 26 Dis
2016 – 2 Jan 2017, yang melaporkan pelarian Syria dengan fokus kepada cerita
empat orang bayi yang baru dilahirkan di kem pelarian di Greece.
Mereka adalah bayi yang dikatakan tak siapa tahu
apa dan bagaimana masa depan mereka, negara manakah yang akan menjadi negara
mereka, dan bahasa apakah yang akan menjadi bahasa pertuturan mereka. Mereka
adalah anak-anak peperangan dan anak-anak pelarian, tanpa kampung halaman.
Time menjejaki empat orang
ibu yang akan melahirkan anak, sejak September 2016. Bayi-bayi tersebut ialah
Heln, lahir 13 Sept; Hamida 30 Sept; Faraj 2 Okt; dan Rahaf 1 Nov.
Dengan keluaran ini Time juga melancarkan satu projek multimedia yang dinamakan ‘Finding Home’ (Mencari Rumah), dimana
mereka akan mengikuti empat orang ibu dan bayi tersebut, selama setahun
sepanjang 2017. Apakah nasib yang akan dialami oleh bayi-bayi ini. Semuanya
akan dirakamkan oleh tim wartawan Time.
Laporan bergambar 14 mukasurat itu diberi judul “Children of no nation” (Kanak-kanak
tanpa negara). Ia dimulakan dengan cerita Suad Iessa, 25 tahun, yang sarat
mengandung 9 bulan, masuk ke hospital Ippokrateio di Greece, untuk ultrasound. Sebelum ini Suad membawa
kandungannya sama-sama mengalami pelarian selama enam bulan, dan tinggal di kem
pelarian selama tiga bulan.
Ultrasound menunjukkan Suad
bermasalah, tetapi dia tidak faham apa-apa yang dibincangkan oleh doktor dan
para pembantunya. Suaminya Thaer Sannaa, seorang peniaga berjaya sebelum ini,
boleh faham sedikit bahasa Inggeris. Suad dalam situasi kritikal dan perlu
pembedahan. Semua ini diceritakan dengan terperinci, hingga Hamida selamat
dilahirkan. Hamida adalah anak ketiga bagi Suad dan Thaer.
Berasal dari Idlib, Syria, kembara Suad dan
keluarganya – dengan kereta, boat dan berjalan kaki – mengambil masa empat
bulan setengah, dan menelan belanja US$5,600 untuk bayaran kepada pihak
tertentu.
Rahaf pula, lahir pada 1 Nov, ialah anak sulung
kepada ibu muda Nour, 22 tahun (bersama suaminya Yousef), iaitu hasil sebuah
perkahwinan yang dilangsungkan dalam suasana krisis yang ditimbulkan oleh ISIS,
di sebuah pekan kecil Deir ez-Zor. Sebaik selesai sahaja perkahwinan itu maka
bermulalah kembara pelarian pasangan muda ini.
Sampai di Greece akhir Februari, Nour sedar dia
sudah mengandung. Impiannya bahawa ibunya akan bersamanya mengasuh bayi
pertamanya, kekal menjadi impian ketika dia meneruskan hidup di dalam khemah di
tapak bekas gudang tembakau yang dijadikan kem pelarian Oreokastro. Ada 250
khemah didirikan dalam ruang seluas dua padang bola itu, untuk kira-kira 800
orang pelarian.
Tidak ada taman permainan untuk kanak-kanak
berlari, dan tidak ada sekolah formal. Hanya sebuah khemah dijadikan bilik
darjah oleh beberapa orang sukarelawan.
Nasib baiklah ada talian Internet. Dapatlah
sesekali Nour menerima berita mengenai ibunya, melalui mesej di telefon. Namun
berita yang dihantarnya memberitahu ibunya yang dia sudah selamat melahirkan,
tidak mendapat respon.
Melalui tulisan yang memfokus kepada empat orang
bayi berserta ibu mereka ini, Time
melaporkan krisis di Syria, yang telah mengakibatkan hampir 5 juta rakyatnya menjadi
pelarian.
Greece sekarang sebuah negara Eropah yang miskin.
Terdapat 60,000 orang pelarian sedang menunggu nasib di situ. Keadaan kem
pelariannya agak primitif. Tidak ada air untuk membasuh, elektrik tidak
mencukupi, dan tidak ada pemanas dalam cuaca yang sangat sejuk. Tetapi apakah
pilihan yang ada; walaupun kebanyakan pelarian Syria itu, mengikut Time, adalah golongan menengah dan
berpelajaran.
Tidak ada pilihan untuk pelarian. Dalam suasana
serba kekurangan itulah lebih seribu pelarian Syria di Greece melahirkan anak
pada tahun 2016.
Makanya bagi Illham, 23 tahun, ibu kepada empat
orang anak, yang tinggal di kem yang sama dengan Nour, melahirkan anaknya yang
kelima ini adalah sebuah percutian daripada kehidupan di kem pelarian. “Di
hospital ada orang yang bekerja mencuci. Saya hanya perlu menjaga bayi seorang.
Dalam bilik pula ada bilik mandi, macam di spa,” katanya.
Namun satu perkara yang dia komplen, “Di Syria
bila lahir seorang bayi kita sembelih kambing dan makan daging. Di sini kita
hanya boleh sembelih roti croissant.”
Pelarian Syria mula masuk ke Greece tahun 2014.
Masa itu mereka tinggal tak lama di Greece, kerana banyak negara Eropah bersedia
mengambil mereka. Tetapi apabila berlaku 2,000 pelarian membanjiri Eropah dalam
sehari, melalui Turkey, sikap Eropah terhadap pelarian mulai berbeza. Sekarang
banyak negara sudah menutup pintu sempadan mereka daripada pelarian.
Penulis artikel ini, Aryn Baker, cuba melihat
masalah yang menanti ibubapa bayi-bayi pelarian tersebut. Misalnya Suad dan
Thaer dikatakan risau dengan masalah persekolahan anak-anak mereka, terutamanya
masalah bahasa. Apakah bahasa yang perlu diajarkan kepada anak-anak mereka?
Kalau diajarkan bahasa Greek, bagaimana nanti kalau mereka berhijrah ke negara
lain?
“Bagaimana kalau kami hijrah ke German?” tanya Thaer.
Nour pula dikatakan bermasalah dengan telinga bayi
perempuannya. Adat di Syria, bayi perempuan berumur tiga hari ditebuk
telinganya dengan sejenis alat daripada emas. Sekarang di Greece, mana dia nak
dapat emas? Lalu apa yang patut dibuatnya dengan telinga bayinya?
Illham pula risaukan bayi lelakinya Faraj, yang
perlu ‘masuk jawi’ – suatu kewajipan bagi penganut agama Islam. Amalan adat itu
memang tidak ada di Greece. Klinik swasta yang boleh melakukannya mengenakan
bayaran sehingga US$1,700. Jadi, bagaimana?
Bukanlah jawapan kepada persoalan-persoalan itu
yang menarik perhatian saya. Menariknya ialah sikap dan pemikiran kewartawanan
pihak majalah Time yang membuat
keputusan melaksanakan program Finding
Home selama setahun itu. Manakala tulisan bergambar 14 mukasurat ini hanya
laporan awalnya sahaja.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.