Menentang wajah penguasa korup
Oleh Lim Hong Siang
Tulisan sulung saudara Ahmad Lutfi Setelah
26 bulan tidak menulis, mencungkil ingatan saya ketika bertemu dengan
seorang bekas pemimpin tempatan PAS di Melaka pada akhir Julai 2015. Beliau melepaskan
semua jawatan parti lamanya dan menyertai Gerakan Harapan Baru pada ketika itu.
Usianya 50 tahun, dan beliau menyertai PAS sejak umur 14 tahun. Dengan
kata lain, beliau meninggalkan sebuah wadah yang telah diperjuangkannya selama
36 tahun. "Berat?" tanya saya. Beliau mengangguk. Jelas, ia satu
keputusan yang amat sukar untuk dirinya.
Beliau mengenali saya kerana kolum Siang Malam dalam Harakah sebelum ini. Saya pun sudah
berhenti, kata saya, setelah Ahmad Lutfi dibeku dan dialih ke bahagian lain dalam
pejabatnya. Saya sedar bahawa keuzuran Ahmad Lutfi harus diambil kira dalam hal
ini, tetapi veteran yang mencurahkan segala tenaganya, memaut jiwanya dengan Harakah ini seharusnya dilayan dengan
cara yang lebih terhormat pada saat-saat pengundurannya, bagi saya.
Segala-galanya melabuh tirai pada akhir tahun 2016. Betapa panjang
nostalgia sekalipun Ahmad Lutfi bersama PAS terpaksa dilipat dan dibungkus,
sungguhpun beliau tidak sanggup meninggalkan PAS. Meskipun saya bukan anggota
PAS, tetapi menulis di Harakah, dan pengalaman dalam media dan gerakan sosial
selama ini, menjalinkan persahabatan saya dengan ramai pemimpin dan anggota
PAS.
Tiada dendam yang disimpan. Saya yakin, ramai lagi anggota PAS yang
berkongsi perjuangan yang sama, meskipun tetap mempertahankan Presiden PAS Tuan
Guru Haji Hadi Awang. Saya juga mengakui bahawa adanya kelemahan-kelemahan
dalam wacana kita ketika merungkaikan perjuangan politik, sehingga mencetuskan
pertikaian yang akhirnya tidak menemui muafakat.
Misalnya, kita mengecam TGHH apabila kelihatan mesra dengan Najib, yang
dicalar dengan skandal 1MDB. Namun pemimpin Pakatan Harapan seperti Lim Kit
Siang juga pernah melontarkan tawaran untuk bekerjasama dengan Najib,
sungguhpun veteran DAP ini meletakkan satu syarat yang mana mustahil untuk
dipersetujui Najib. Cuma ia agak mengelirukan dan diambil kesempatan oleh
penyokong PAS untuk menuduh bahawa penyokong Pakatan Harapan itu "double standard".
Malah kedua-dua pihak berada dalam dilema, sementara Pakatan Harapan
menuduh PAS menjadi talian hayat untuk menyelamatkan Najib, PAS pula menuduh
Pakatan Harapan melanjutkan pengaruh Mahathir. Perdebatan dengan cemuhan,
sindiran, label dan sebagainya gagal melonjakkan kita ke mana, dan akhirnya
mengecewakan ramai penyokong tradisional pembangkang.
Tidak kurang yang keliru dengan halatuju PAS sekarang, memilih untuk
mengundur diri dari gerakan sosial dan politik. Saya faham perasaan sedemikian.
Seseorang yang mencurahkan masa dan tenaganya berdekad-dekad untuk melawan
regim dan diktator, akhirnya pasrah apabila melihat perbalahan sesama diri
dalam wadah perjuangan yang sama. Kalau disimpulkan secara ringkas, kecewa
dengan PAS, tetapi belum yakin dengan Amanah. "Harum manis" yang
diuar-uarkan sebelum ini, gugur sebelum kita sempat merasai manisnya.
Namun demikian, esok tetap menjelma tanpa kita melakukan apa-apa.
Seandainya kita tidak melakukan sesuatu untuk menentukan masa depan kita, masa
depan kita akan ditentukan orang lain. Masa depan kita tidak akan menjadi baik,
hanya dengan kita melakukan kebaikan, atau kita tidak melakukan kejahatan,
apatah lagi tidak melakukan apa-apa. Masa depan kita akan terus menjunam
seandainya kita gagal menghalang kejahatan yang dilakukan orang lain.
Secara jujur, saya bukanlah seorang yang optimis. Tetapi pesimis saya
ada batasnya. Pegangan harus digenggam. Kita boleh hilang harapan, tetapi kita
tidak boleh hilang kepercayaan. Kepercayaan itu terjelma dalam pelbagai bentuk,
sama ada agama yang dianuti, mahupun satu nilai yang didukung. Jangan sesekali
kita bersikap sinis sehingga berpeluk tubuh dan melepas tangan.
Sejarah tidak bergerak dalam garis lurus. Ada kalanya kita mara dua
langkah ke depan dan kemudian undur selangkah ke belakang, malah ada kalanya
kita terus mundur. Apapun berlaku, kita perlu mengiktiraf, bahawa perjuangan
selama ini, termasuk ketika bersama PAS, kita mengecapi hasil-hasil yang tidak
dijangka. Tiada yang percaya ISA boleh dimansuhkan, tetapi akhirnya akta zalim
ini luput jasadnya, sungguhpun rohnya dijelmakan dalam bentuk akta baru.
Makna perjuangan tidak terbatas dengan menang atau kalah. Menang-kalah
itu lebih diambil berat oleh pemimpin. Erti perjuangan untuk rakyat marhean
adalah apabila kita semua sedar bahawa kita berhak menuntut perubahan dan kita
berdaya untuk melaksanakan perubahan. Rakyat harus sedar bahawa kita berkongsi
nasib yang sama di atas bumi yang dipijak. Kita tidak harus diperdaya dan
diperbodohkan pemimpin sewenang-wenangnya. Jikalau kita berani lawan diktator
dan rejim yang korup, mengapa takut kepada pemimpin yang menyeleweng?




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.