https://critoxium.com/shop/

Terkini

Membaca sebuah novel Tekad Budaya



Oleh Dinsman

Alhamdulillah, sahabat saya novelis yang novelnya pernah terpilih menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia itu selesai lagi menghasilkan novel terbarunya. Diam-diam dalam keuzurannya dia gigih berkarya. Dan saya berterima kasih dipilih untuk membaca manuskrip itu sebelum ia dicetak dan diterbitkan.

Wow, ini novel Tekad Budaya! Ia mengangkat fahaman Tekad Budaya ke dalam naratif novelnya. Suatu yang baru. Walau selalu bercakap dan malah berkempen menyebarkan fahaman Tekad Budaya, tidak pernah saya terfikir ia boleh diolah ke dalam naratif sebuah novel seperti ini. Tentunya saya sangat gembira dengan penghasilan novel ini.

Maaf kalau saya tidak sebut dulu siapa nama novelis produdktif ini. Sebab, novel ini belum diterbitkan secara rasmi. Tetapi apabila sebuah karya itu telah dibaca oleh orang lain, walaupun seorang, saya kira karya itu sebenarnya sudahpun ‘terbit’; dan bolehlah dibicarakan kepada umum. Namun saya berasa kurang selesa untuk mengumumkan siapa penulisnya, di peringkat ini. Bimbang kalau ia mengganggu proses penerbitan rasminya.

Dari segi persoalan dan tema, novel ini mungkin lanjutan kepada novelnya yang menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia itu. Kapitalisme vs Kemanusiaan. Dulu setingnya di Melaka, kali ini setingnya di Kuala Lumpur, dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri menjadi pusat tumpuan atau tapak kuasa Kapitalisme itu. Analisis dan pendedahan mekanisme rasuah yang menjadi jentera jahatnya Kapitalisme pun di sini dibuat dengan lebih terperinci, berbandiung novelnya sebelum ini.

Seperti disebut tadi, paling menariknya novel ini (sekurang-kurangnya kepada saya), ialah fahaman Tekad Budaya yang melatari naratifnya. Bagaimana itu?

Ia mengangkat peranan seni-budaya dan seniman-budayawan ke taraf yang sama-sama menyumbang kepada kehidupan masyarakat, seimbang dengan peranan dan sumbangan politik dan agama. Novel ini cuba mengaplikasi atau menerapkan fahaman itu ke dalam kehidupan masyarakat kota Kuala Lumpur, yang menjadi inti atau isi kandungan novel.

Pengarang mengangkat peranan seorang aktivis seni-budaya, dari kehidupan realiti ke dalam kehidupan imaginasi ciptaannya, yakni novelnya. Diceritakannya semula aktiviti yang dijalankan oleh seorang aktivis bersama kumpulan seni-budayanya, yang melibatkan perjuangan penduduk kampung di sebuah perkampungan tradisional yang masih wujud di ibukota Kuala Lumpur.

Kemuncak daripada beberapa aktiviti seni-budaya tersebut ialah sebuah pementasan teater. Diceritakannya perjalanan pementasan teater tersebut secara agak terperinci, yang memberikan impak atau kesan agak besar kepada pengambilan keputusan pihak pentadbiran bandaraya Kuala Lumpur.

Timbul satu persoalan di sini: Apabila pengarang menceritakan semula atau mengangkat karya orang lain berserta aktiviti di sekitar penghasilan karya tersebut (di sini ialah teater dan aktiviti proses penciptaannya) ke dalam novelnya dan menjadi sebahagian daripada naratif novel itu, apakah dia bebas bercerita melayani fantasi dan imaginasinya berdasarkan sumber realiti ideanya itu walau berlaku penyelewengan/penyimpangan/kelainan (berbanding karya dan peristiwa sebenar) dalam penceritaan itu, atau dia tidak sewajarnya membuat sebarang perubahan kepada karya dan peristiwa sebenar dari alam realiti yang menjadi sumber kreativitinya berkenaan, secara sedar mahupun tidak?

Novel ialah sebuah fiksyen. Itu memang kita tahu. Dan kita juga sedar wujudnya apa yang dikatakan unsur intertekstualiti dalam penghasilan karya fiksyen. Dan saya pun tidak membangkitkan isu penciplakan di sini.

Jadi apakah persoalan sebenarnya yang cuba saya timbulkan di sini? Persoalan yang sebenarnya barangkali hanyalah keterujaan saya! Saya gembira mendapati fahaman Tekad Budaya telah diangkat oleh seorang novelis penting Malaysia menjadi latar falsafah naratif novel terbarunya, dan saya gembira mendapati teater saya “Teater Atas Pokok” berserta peristiwa proses penciptaannya turut mengisi naratif novel ini, walau terdapat beberapa penyimpangan/kelainan. 

Bahkan nama dan cerita saya serta kumpulan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) juga banyak disebut dalam novel ini; begitu juga aktiviti yang digerakkan oleh Paksi di Madrasah Seni di Jalan Gombak, dan sebagainya, menyebabkan saya pun berasa agak kurang selesa. Tetapi segera saya memberitahu diri, bahawa ini adalah karya kreatif seorang penulis dan dia berhak sepenuhnya apa saja ke atas karyanya; dan saya langsung tidak berhak apa-apa.

Dalam masa sama hal ini mengingatkan saya akan novel-novel Sutung Umar Rs (Allah merahmati ruhnya) – Api Cinta, Seluang Lepas Melaut, Meski Jauh Dibatasi Bumi. Novel-novel yang menceritakan semula peristiwa-peristiwa penting yang dipilih pengarangnya dari pengalaman sebenar yang dilalui dalam hidupnya, bersama watak-watak dari alam realiti, sesuai dengan keperluan dan maksud penulisan novel berkenaan.

Pengarang novel yang sedang kita bicarakan ini juga nampaknya mengambil pendekatan yang serupa, atau hampir serupa. Bezanya pengarang ini membawa mesej Tekad Budaya, di samping melanjutkan wacana Kemanusiaan vs Kapitalisme dan rasuah, yang pernah dikemukakannya dalam novelnya terbitan ITBM tahun 2014.

Di satu aspek dia mengangkat fakta dan alam realiti ke dalam naratif novelnya, dan di satu aspek yang lain dia mengolah realiti fiksyen dengan lojika yang berbeza. Keberkesanan mesej yang dicipta dari aktiviti dan karya seni-budaya dalam cerita novel itu terhadap pentadbiran Kotaraya (atau DBKL), adalah suatu keadaan yang dibina oleh pengarang berdasarkan mesej dari fahaman Tekad Budaya.

Novel ini juga mengambil puisi Usman Awang “Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar”, yang diolah semula ke dalam naratifnya, sesuai dengan plot penceritaannya walaupun agak ganjil sedikit. Tiba-tiba burung-burung yang berumah di atas pokok beringin tua itu bermesyuarat dan memutuskan mereka perlu menghantar surat kepada pejabat Walikota (atau Datuk Bandar Kuala Lumpur), membantah rancangan DBKL hendak menebang pokok tersebut. Burung merpati ditugaskan membawa surat itu ke pejabat Datuk Walikota.

Demikianlah lebih kurang yang ingin saya nyatakan mengenai sebuah novel Tekad Budaya, hasil karya seorang sahabat saya, yang belum lagi diterbitkan secara rasmi. 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.