Protes sekatan Trump, bagaimana pula dengan diri kita?
Oleh Lim Hong Siang
Barangkali ramai tidak sedar, bahawa protes terhadap sekatan imigresen
oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang menyasarkan tujuh negara
Islam, mencetuskan pertikaian dalam laman media sosial, di kalangan mereka yang
berbahasa Cina. Penyertaan DAPSY untuk berdemo di depan kedutaan AS khususnya,
dikritik, malah oleh pemimpin parti sendiri, kononnya cuba memikat hati muslim
sehingga sanggup "mencairkan" dasar perjuangan parti sendiri.
Lebih-lebih lagi, pemimpin yang menyertai demo tersebut dikecam kerana
mengamalkan "double standard"
(dwi-piawaian). Pengkritiknya membawa hujah sebegini, bagaimana kita boleh
memprotes sekatan Trump, sedangkan Malaysia sendiri pernah menyekat kemasukan
pemain Israel ke negara kita?
Pengkritik mencabar seterusnya, jika benar peserta demo terhadap
sekatan Trump mahu menegakkan keadilan untuk semua, dan bukan untuk muslim
semata-mata - mengapa mereka membisu apabila McDonald mengenakan sekatan yang
hanya membenarkan kek harijadi "halal" ke dalam premisnya, sedangkan
ia jelas satu diskriminasi terhadap bukan muslim?
Demikianlah pertikaian yang dibangkitkan dalam dunia bukan muslim, yang
berbahasa Cina. Sememangnya, perdebatan ini berlanjutan, dalam perspektif yang
mungkin disetujui dan tidak disetujui umat muslim. Ruang kolum ini sudah tentu
terlalu kecil untuk mendalami perdebatan ini. Secara ringkasnya,
pengkritik-pengkritik ini menganggap sistem politik di Malaysia sedang menindas
dan tidak berlaku adil untuk non-muslim. Mengapa mereka yang memprotes dasar
diskriminasi Trump boleh terpanggil untuk berdemo di depan kedutaan AS,
sedangkan diri mereka berpeluk tubuh apabila berlaku diskriminasi terhadap
golongan non-muslim di Malaysia?
Perkembangan politik tempatan dua dekad kebelakangan menyaksikan
bagaimana kedudukan UMNO-Barisan Nasional semakin tergugat apabila pembangkang
mengambil posisi di "pertengahan". Jikalau dahulu, DAP akan mengasak
BN dari kiri kerana menindas golongan bukan Melayu dan bukan muslim, sementara
PAS menyerang BN dari kanan dengan alasan "kurang Islamik". Kedua-dua
parti pembangkang ini memiliki penyokong tradisi masing-masing, tetapi gagal
mengancam kedudukan BN yang berada di tengah-tengah, meraih sokongan kebanyakan
pengundi.
Tsunami politik 8 Mac 2008 mengubah lanskap politik sebegini. DAP dan
PAS berganjak dari penghujung ektrim masing-masing, untuk mengalih ke
gelanggang pertengahan. Dengan kata lain, DAP melembutkan pendiriannya untuk
menawan hati pengundi Melayu-Muslim, sementara PAS juga memperbarui imejnya
untuk memikat hati pengundi bukan Melayu dan bukan Muslim.
Pembangkang berada di ambang menumbangkan UMNO-BN pada 5 Mei 2013
dengan formula di atas, namun digagalkan sistem pilihan raya yang memenangkan
minoriti. Apabila Pakatan tidak lagi diikat dengan "kuasa", atau
"harapan untuk berkuasa", maka berkecailah gandingan politik ini.
Mereka kembali ke kubu tradisi masing-masing, mendendangkan irama zaman sebelum
Tsunami Politik tercetus.
Ia sedikitpun tidak mengejutkan, kerana jatuh naik politikus ditentukan
undi. Namun, politik bukan pergelutan kuasa politikus semata-mata, ia juga satu
proses perjuangan untuk membebaskan rakyat, atau membawa perubahan. Mengambil
konteks di Malaysia, rakyat perlu dibebaskan dari prejudis perkauman dan agama
yang menebal.
Di sini tersepitnya kita. Sesetengah golongan bukan Melayu melihat
dirinya sebagai mangsa di bawah satu sistem yang mengamalkan dasar bumiputera.
Golongan non-muslim menganggap dirinya terpinggir, kerana Islam berada dalam
kedudukan mendominasi di Malaysia. Di samping itu, Melayu gusar kedudukan
dirinya akan tercabar seandainya bukan Melayu diberi kedudukan yang samarata.
Muslim khuatir martabat Islam dicabar, jikalau terus berganjak untuk memberi laluan
kepada tuntutan bukan muslim.
Sesetengah bukan Melayu dan non-muslim akan tertanya-tanya, mengapa
perlu membela golongan muslim yang didiskrimasi di peringkat antarabangsa,
sedangkan apabila mereka berkuasa di negara sendiri, mereka juga tidak berlaku adil
untuk golongan non-muslim? Keadaan menjadi lebih rumit, apabila tidak ramai
muslim yang tampil memprotes ketidakadilan sedemikian.
Kita sebenarnya berada dalam dilema. Samada dalam kalangan golongan
Melayu atau bukan Melayu, wujudnya puak yang bersikap rasis. Baik muslim atau
non-muslim, tetap akan ada puak yang menaruh dendam dan prejudis terhadap agama
yang lain. Namun, cabaran zaman untuk anak Malaysia pada hari ini adalah,
bagaimana kita memimpin untuk mengubah fikrah sedemikian?
Kita seharusnya berani mengkritik salahlaku puak kaum dan agama
sendiri, lebihkan muhasabah diri, untuk membuktikan bahawa kita tidak
mengamalkan asabiyyah. Apabila seseorang pemimpin kristian menzalimi umat
muslim, penganut kristian seharusnya berani tampil untuk menentang kezaliman
sebegini. Begitu juga sebaliknya. Umat muslim seharusnya lantang bersuara,
apabila terdapat pemimpin muslim yang menyeleweng, atau tidak berlaku adil
terhadap bukan muslim.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.