Tahan sakit demi cantik
Kecantikan luaran
sering berkait dengan kecantikan dalaman, namun yang luaran lebih
mendapat keutamaan kerana itu yang akan dilihat dan menjadi pandangan
pertama orang.
Wanita dan kecantikan sudah begitu sinonim. Tidak dapat dinafikan setiap orang suka melihat yang cantik.
Justeru, ada yang mengambil jalan mudah dengan melakukan rawatan di spa atau butik kecantikan.
Hakikatnya, rawatan kecantikan lebih selamat jika dilakukan oleh doktor yang bertauliah di klinik dan hospital.
Setiap orang sepatutnya menyedari risiko
yang akan dihadapi. Paling penting, ketahui akan rawatan yang hendak
dilakukan dan cari maklumat mengenai rawatan tersebut.
Bercakap mengenai rawatan-rawatan
kecantikan, masalah dan mitos mengenai kecantikan, Perunding
Dermatologis, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Mazlin Mohd. Baseri
berkata, antara yang paling popular ialah rawatan menggunakan kaedah
suntikan botoks bagi menggebu dan menegangkan semula wajah.
Bagaimanapun kata Dr. Mazlin, botoks
sebenarnya adalah rawatan bagi mengurangkan kedutan dengan melumpuhkan
otot pada wajah dan bukan tujuan menegangkan.
Menurutnya, rawatan botoks atau nama saintifiknya toksin botulinum, biasanya digunakan bagi merawat masalah saraf.
Suntikan botoks ini melembutkan kekejangan
otot selepas serangan angin ahmar atau strok, selain bagi mereka yang
mengalami masalah mata berkenyit.
“Suntikan akan diberikan pada bahagian yang
hendak dirawat bagi melumpuhkan otot. Jika disuntik pada mata yang
berkenyit, mata pesakit sudah tidak akan berkenyit lagi. Suntikan yang
salah pada muka boleh menyebabkan muka atau apa-apa bahagian muka
menjadi senget.
“Bagi pesakit strok, suntikan yang dibuat pertama kali akan diulang semula dalam masa enam bulan hingga satu tahun.
“Botoks adalah sejenis toksin dan berbahaya
jika tidak betul cara suntikannya kerana dikhuatiri boleh masuk ke
dalam saluran darah dan menyebabkan pesakit lumpuh.
“Jika hendak mendapatkan suntikan botoks,
pastikan berjumpa dengan doktor yang bertauliah.
Masalahnya, ada orang
yang oleh kerana hendak menjimatkan kos, berjumpa dengan mereka yang
tidak berkelayakan melakukan suntikan dan besar kemungkinan menimbulkan
masalah.
“Satu lagi rawatan kecantikan yang biasa
diambil oleh wanita atau lelaki ialah filler, iaitu bahan yang disuntik
di bawah kulit muka bagi menegang dan mengisi bahagian wajah yang
berlubang.
“Apabila seseorang itu semakin berusia,
lemak di bawah kulit berubah dan terdapat bahagian wajah yang nampak
berlubang. Contohnya, pada bawah pipi di sebelah bibir. Kekosongan
inilah yang akan diisi dengan suntikan filler.
“Filler memang bertujuan untuk kecantikan
iaitu mengisi bahagian yang sudah mula melekuk dan boleh menjadikan
bibir lebih mungil. Kesannya dapat dilihat serta-merta dan kaedah ini
sudah berdekad-dekad digunakan dalam industri estetika,” kata Dr.
Mazlin.
Dia menambah, jika dahulu orang menggunakan
kolagen manusia atau lembu untuk disuntik sebagai filler, tetapi
sekarang mereka menggunakan asid hyaluronic.
Prosedur suntikan filler yang terkini dan lebih canggih ialah dengan menyuntik lemak sendiri di bawah kulit.
Filler lemak disebut sebagai onto logous fat transfer, yang mana pesakit harus melalui proses sedut lemak.
Dr. Mazlin berkata, Kelebihan menggunakan
lemak sendiri ialah tiada alahan, mempunyai faktor menggalakkan
pertumbuhan dan tahan lama.
“Bagaimanapun, kos suntikan ini menelan ribuan ringgit dan hanya boleh dilakukan oleh pakar bedah dan ahli dermatologi.
“Harus dipastikan filler boleh masuk terus
ke dalam saluran darah. Jika tersalah suntik, boleh menyebabkan buta,
saluran darah tersumbat, kulit menjadi hitam, alahan dan jangkitan
kuman,” katanya.
INFO
Botoks adalah prosedur
kosmetik bukan pembedahan, namun tidak sepenuhnya ia selamat. Berikut
sisi negatif suntikan botoks seperti yang dipetik daripada Vemale.
* Menimbulkan alahan
sesetengah orang
menunjukkan reaksi alahan ketika proses suntik botoks seperti
gatal-gatal, asma, kemerahan, pening dan sebagainya.
* Bengkak pada kulit
Salah satu reaksi negatif botoks bengkak pada kulit, terutama jenis kulit sensitif
* Mata kuyu
Kelopak mata biasanya jatuh
dan membuat mata jadi kuyu setelah disuntik botoks. Hal ini terutama
pada mereka yang menyuntik botoks di bahagian dahi, alis, dan sekitar
mata.
* Kerap buang air kecil
Botox membuat saluran air kencing menjadi lebih aktif, sehingga seringkali terasa mahu buang air kecil.
* selesema
Setelah menyuntik botoks, ada sebahagian orang yang mengalami gejala selesema, demam, sakit kepala, badan sakit dan sebagainya
* Jangkitan saluran pernafasan
Sekalipun jarang terjadi,
sukar bernafas dan teras sesak adalah salah satu efek sampingan suntikan
botoks yang pernah dialami sesetengah orang.
Bahaya bahan pemutih kulit
Satu lagi rawatan kecantikan yang menjadi
kegilaan, jelas Dr. Mazlin ialah memutihkan kulit. Kegilaan untuk
memutihkan kulit sudah lama berlaku di dalam masyarakat kita.
Namun, apa yang dikesalkan ialah masyarakat tidak menyedari masalah yang akan timbul kemudian disebabkan memutihkan kulit.
Bahan pemutih kulit katanya, mengandungi
banyak bahan kimia seperti hidrokuinon, tretinoin, asid kojik, arbutin
dan merkuri yang sangat berbahaya.
Merkuri boleh meracuni saraf, manakala
tretinoin pula boleh mencacatkan bayi dalam kandungan, yang sepatutnya
tidak dijual dengan meluas.
Hidrokuinon berkesan tetapi tidak boleh
digunakan dalam jangka masa lama kerana boleh menjadikan kulit nampak
kusam, seperti terbakar. Lama kelamaan kulit akan menjadi gelap.
“Di Malaysia, hidrokuinon merupakan bahan
kimia yang dikawal dan hanya boleh digunakan tidak melebihi empat
peratus. Lebih tinggi peratusan penggunaannya, lagi banyak kesan
sampingan yang akan dialami.
“Kita tidak boleh mengubah orang yang
hendak mendapatkan kulit putih, namun perlu difahami kulit putih tidak
kekal kerana kulit asal akan muncul semula.
“Orang ramai harus mendapatkan maklumat
mengenai produk yang mereka gunakan. Ketahui bahan-bahan yang digunakan,
adakah selamat atau tidak.
“Kementerian Kesihatan juga sudah mengambil langkah untuk mengawal produk-produk yang membahayakan kesihatan,” ujar Dr. Mazlin.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.