https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mendengar suara rakyat bukan ‘U-turn’

Oleh Adam Fazery

Minggu pertama bulan terakhir 2018 tidak kekeringan berita rakyat. Audiens terus terhibur dan dihiburkan. ICERD, AUKU, Skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) dan banyak lagi.

PGB yang hendak dikuatkuasakan oleh PTPTN mulai Januari 2019 mendapat perhatian ramai. Sekali lagi, Dr Maszlee Malik menjadi sasaran pengkritik. Senarai ini ditambah dengan nama Wan Saiful Wan Jan, pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Komen dan kritikan seperti ini bukan sesuatu yang luar biasa bagi ahli politik, menteri atau organisasi, yang dekat dengan hati rakyat. Ini termasuk PTPTN. Lebih-lebih lagi dalam Malaysia Baharu. Kita perlu sama-sama raikan bicara, wacana dan polemik secara intelektual. Kita perlu terbuka, tetapi hormatilah budaya Malaysia dan keluhuran undang-undang.

Syabas kepada Dr Maszlee, dan anggota Kabinet yang memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan PGB. Saya juga berpandangan ia satu keputusan baik. Pilihan yang baik untuk ke depan, sekali gus menyelesaikan isu PTPTN yang aset atau nilai pinjamannya bernilai berbilion ringgit.
Meneliti komen pembaca media atas talian, memang seronok. Kita dapat tahu isi hati audiens media “online”. Ada pembaca kata kerajaan buat “U-turn” dan keputusan “flip-flop”. Ada juga yang menyambut baik keputusan Kabinet.

Saya tidak fikir ia keputusan U-turn atau flip-flop. Terbukti, kerajaan terus mendengar kehendak rakyat dan peminjam PTPTN dalam kes PGB.

Analisis komen di media online membawa saya kepada rumusan ini – satu lagi kes yang klasik di mana sebahagian daripada mereka yang mengkritik melihat isu ini dari sudut yang sempit, emosional dan perspektif terpencil.

Ketika mengumumkan keputusan Kabinet, kenyataan Dr Maszlee menyebut: “Jemaah Menteri pada mesyuarat hari ini, 7 Disember 2018, telah mengambil maklum keprihatinan, syor dan pandangan yang dikemukakan oleh orang ramai, khususnya mereka yang memperoleh kemudahan pinjaman pengajian daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berhubung pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) mulai Januari 2019.

Beliau seterusnya berkata: “Jemaah Menteri berpandangan segala input yang dikemukakan oleh orang ramai ada asasnya, dan kerajaan Pakatan Harapan yang prihatin dengan suara rakyat, mahu PTPTN menangguhkan pelaksanaan PGB dan mencari satu formula yang terbaik bagi setiap pihak berkepentingan.”

“Sehubungan itu, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan PGB bagi membolehkan PTPTN mengadakan perbincangan dengan kesemua pemegang taruh yang berkaitan.
PTPTN perlu menghargai perjanjian ujrah yang ditandatangani dengan para peminjam sebelum ini dan tidak harus mengenakan skim baru ke atas kesemua peminjam sekali gus, terutama bagi mereka yang telah pun menyatakan komitmen untuk membuat bayaran setiap bulan tanpa melibatkan potongan gaji.

Kalau mengikut beberapa kenyataan Wan Saiful sebelum ini, nampaknya sudah ada perbincangan dengan “stakeholders” sebelum cadangan skim baru ini dibawa ke Kabinet melalui menteri pendidikan.

Malangnya, di peringkat pelaksanaan ada perkara yang tidak kena, ada aspek yang tidak jelas maksud dan memerlukan tambah baik.

Adakah skim baru ini perlu dilaksanakan dengan tergopoh-gopoh? Nasihat saya mudah – tidak perlu. Kalau sudah 6 bulan dinanti untuk mengkaji dan mendapatkan lampu hijau Kabinet, biar kita ambil 6 bulan lagi untuk dapatkan pandangan “stakeholder” mengenai PGB.

Biar semua pihak gembira dan cukup puas. Berikan mereka ruang yang luas untuk berkongsi pandangan.

Sekurang-kurangnya PTPTN sudah bawa formula penyelesaian bagi menunaikan janji Manifesto PH.
Janji mengeluarkan peminjam dari senarai hitam sekatan ke luar negara telah ditunai 6 bulan yang lalu. Kini giliran formula bayaran balik guna PGB secara potongan gaji.

Maka hendak mendakwa zalim dan tidak adil, tidak berapa molek.

Tapi, nampaknya ada bantahan dan rasa tidak puas hati mengenai PGB. PTPTN perlu mengambil kira syor supaya kita tidak sama sekali menafikan kebebasan atau hak peminjam yang sudah pun membuat komitmen untuk membuat bayaran setiap bulan dengan baik dan tanpa gagal.

Kita hargai komitmen mereka. Berikan mereka insentif. Saya yakin PTPTN akan mengambil kira perkara ini.

Dalam ucapan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyebut 5 perkara dalam memastikan PTPTN kekal mampan, iaitu:

• Pembayaran balik dengan cara potongan gaji berjadual antara 2% hingga 15% daripada pendapatan bulanan peminjam, bergantung kepada paras pendapatan peminjam.
Jadual pembayaran balik hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.
• Pelepasan cukai kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja bagi tahun berakhir 2019.
• Layanan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000.
• Potongan pinjaman kepada pelajar daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan kelas pertama.
• Menghapus kira baki hutang kepada peminjam yang berusia 60 tahun dan ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, yang memanfaatkan 350 peminjam dengan kos RM4.2 juta.

Akhir bulan lalu, Kabinet memutuskan untuk menaikkan had minimum gaji bagi tujuan pembayaran balik. Ini bermakna ia hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan.
Selain itu potongan pinjaman kepada penuntut yang mendapat keputusan kelas pertama diluaskan kepada mereka dari kalangan keluarga M40.

Insentif positif terus diberikan oleh Kabinet dari semasa ke semasa dengan mengambil kira suara dan kemahuan rakyat. Tidak perlu layan kritikan mendakwa kerajaan, Dr Maszlee atau PTPTN flip-flop.

Atas tanggungjawab moral, setiap pinjaman, tidak kira yang dibuat secara formal atau tidak formal, harus dibayar balik. Termasuklah pinjaman PTPTN. Untuk menunaikan tanggungjawab moral ini tidak memerlukan keputusan Kabinet. Ia akan menjadi rumit apabila dipolitikkan.

Kerajaan ada tanggungjawab menyediakan kemudahan pinjaman kepada pelajar. Peminjam pula ada tanggungjawab moral untuk tidak tinggalkan beban hutang di belakang mereka.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.