Agenda tersirat PKR resahkan Tun M
Oleh
WALAUPUN pada 28
Ogos lalu, Pakatan Harapan yang diketuai DAP menolak sebarang kerjasama
dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tetapi hakikatnya
dalam kalangan mereka memahami betapa pentingnya Pas dalam melaksanakan
agenda politik mereka. Ia bukan kerana Pas akan diberi penghormatan
menerajui pakatan itu atau akan dibenarkan meneruskan agenda Islamnya,
tetapi Pakatan Harapan mahu memperalatkan kelebihan jentera dan
penyokong Pas.
PKR ternyata masih meragui
Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad – insan yang bertanggungjawab
memungkinkan PKR ditubuhkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat
daripada UMNO dan kerajaan. Dalam kalangan pemimpin dan ahli PKR masih
ada di antara mereka mempunyai dendam kesumat terhadap bekas Perdana
Menteri tersebut.
Tambahan pula, mereka melihat walaupun
sedikit sebanyak pengaruh Dr. Mahathir boleh digunakan bagi menarik
sokongan orang Melayu khususnya daripada bekas ahli UMNO tetapi ia belum
mencukupi. Ini memandangkan PPBM sendiri sebuah parti yang lemah dan
sedang berhadapan dengan pelbagai konflik dalaman. Parti itu hanya
bergantung kepada Dr. Mahathir untuk terus hidup.
Pemimpin-pemimpin lain
dalam PPBM termasuklah Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak
berupaya menarik undi orang Melayu.
Selain itu, mereka tidak melihat Dr. Mahathir
benar-benar jujur mahu berada dalam Pakatan Harapan khususnya berkaitan
soal masa depan Anwar yang turut menjadi pemimpin idola kepada DAP. Ia
kerana biarpun Dr. Mahathir menandatangani petisyen untuk membebaskan
Anwar namun beliau sentiasa berdolak-dalik setiap kali bercakap soal apa
yang berlaku kepada Anwar sebelum ini.
Dalam berhadapan pilihan raya pula, PKR
melihat walaupun Dr. Mahathir sudah menjadi alat kepada Pakatan Harapan
bagi menarik sokongan orang Melayu, tetapi PPBM tidak mempunyai jentera
pilihan raya yang teratur. Jumlah ahli PPBM juga tidak diketahui secara
pasti manakala di peringkat akar umbi parti itu lebih bergantung kepada
undi simpati dan sentimen kebencian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Keadaan ini meresahkan PKR yang selama ini
mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya bukan disebabkan kekuatan
sendiri tetapi sebahagian besarnya atas sokongan jentera dan penyokong
Pas.
Sehubungan itu, PKR melihat ada keperluan untuk mereka berusaha
menarik semula Pas ke dalam Pakatan Harapan. Justeru apabila Anwar
bercakap soal kerjasama dengan Pas, ia sebenarnya mempunyai agenda
tersirat.
Ternyata surat Anwar berkaitan kerjasama
dengan Pas meresahkan Dr. Mahathir yang menganggap ia telah
mendatangkan masalah kepada Pakatan Harapan. Hakikatnya sejarah
politik negara sudah membuktikan sepanjang menjadi Perdana Menteri dan
Presiden UMNO, Dr. Mahathir merupakan pemimpin paling keras
menentang Pas.
Mendesak
Boleh dikatakan hampir semua ucapan beliau di
Perhimpunan Agung UMNO mengandungi kecaman terhadap Pas. Justeru
sudah tentulah apabila Anwar dilihat masih berminat dengan Pas, Dr.
Mahathir bagaikan 'cacing kepanasan’. Tambahan pula sebelum ini,
beliau begitu yakin dengan membawa PPBM bergabung dalam Pakatan
Harapan, isu penyertaan Pas tidak akan timbul.
Apa yang lebih meresahkan Dr. Mahathir, jika
Pas berada dalam pakatan tersebut, kerusi mana PPBM mahu bertanding?
Sebab itulah ketika mengulas kenyataan Anwar, bekas Perdana Menteri itu
menegaskan, jika Pas menyertai pakatan berkenaan maknanya terdapat lima
parti di dalamnya. "Mereka (Pas) akan mendesak untuk bertanding semua
kerusi milik mereka, bukan sahaja kerusi mereka menang. Oleh itu, tiada
lagi kerusi untuk yang lain.’’
Kenyataan itu membuktikan Dr. Mahathir
memahami PPBM akan ditinggalkan jika Pas bergabung dalam Pakatan
Harapan, sekali gus menyebabkan usaha beliau yang sanggup 'menyembah’
DAP dan berbaik-baik dengan Anwar hanyalah sia-sia. Bagaimanapun dalam
menentang hasrat Anwar itu, Dr. Mahathir terlupa bahawa beliau hanyalah
bertaraf pengerusi dalam Pakatan Harapan dan tidak mempunyai apa-apa
kuasa untuk menentukan hala tuju pakatan tersebut.
Atas sebab itulah Timbalan Presiden PKR,
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cuba memberi isyarat kepada pemimpin
politik berusia 93 tahun itu supaya 'sedar diri’ dengan menegaskan,
"Saya nak ingatkan Tun M, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Ketua Umum
kepada Pakatan Harapan. Beliau juga Ketua Umum PKR. Maka beliau berhak
memberikan pandangan serta cadangan dalam apa juga perkara membabitkan
hala tuju PKR dan Pakatan Harapan.’’
Penegasan Mohamed Azmin itu dilihat oleh
ramai pemerhati politik bahawa PKR tidak mahu Dr. Mahathir yang bak kata
orang 'cap jari pun belum kering’ apabila menyertai Pakatan Harapan
cuba menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh
parti-parti dalam pakatan tersebut.
Persoalannya apakah langkah Dr. Mahathir
seterusnya? Adakah beliau akan meminta sokongan DAP dan PAN bagi
menentang hasrat PKR itu? Manakala bagi PKR pula sanggupkah mereka
'mengorbankan’ DAP semata-mata untuk bekerjasama dengan Pas? Timbul juga
persoalan apa pula pendirian Pas?
Sebenarnya terlalu banyak andaian yang boleh
dibuat, tetapi apa yang pasti Dr. Mahathir semakin berasa tidak tenteram
dengan usaha PKR untuk terus mahu bekerjasama dengan Pas. DAP pula
seperti biasa hanya mendiamkan diri. Ini kerana mereka tahu dalam apapun
situasi mereka tetap untung. Bagi Pas pula, mereka sudah membuat
keputusan tidak akan bekerjasama dengan PKR mahupun Pakatan Harapan
kecualilah mereka bersedia untuk kembali menjadi 'pak turut’ yang hanya
akan menguntungkan DAP.
Kini Dr. Mahathir dan Anwar 'bertembung
lagi’. Sandiwara politik yang cuba dimainkan oleh Dr. Mahathir dengan
sanggup 'melutut’ kepada DAP dan PKR mula memakan diri. Beliau terlupa
bahawa Pakatan Harapan bukanlah seperti UMNO dan BN. Jika di dalam UMNO
dan BN segala keputusan akan dibuat bersandarkan kepada kepentingan
parti, rakyat dan negara tetapi dalam pakatan itu masing-masing
mempunyai agenda tersendiri dan bersedia 'memperalatkan’ antara satu
sama lain bagi memenuhi agenda berkenaan.
PKR dan DAP mahu menumbangkan kerajaan BN,
PAN mahu membalas dendam kepada pemimpin Pas manakala atas agenda
peribadi Dr. Mahathir menubuhkan PPBM semata-mata mahu menjatuhkan
Najib. Dalam keadaan agenda berbeza ini, Dr. Mahathir perlu faham kenapa
Anwar melakukan 'pusingan U’ untuk berbaik-baik dengan Pas. Lagipun
bukankah politik 'pusingan U’ itu dipelopori oleh Dr. Mahathir sendiri?
Oleh itu Dr. Mahathir tidak sepatutnya merasa
resah dengan agenda tersirat PKR. Sebaliknya terimalah hakikat itulah
pakatan pembangkang yang sentiasa mengamalkan pendekatan politik
'matlamat menghalalkan cara’ seperti mana langkah beliau mengkhianati
perjuangan UMNO semata-mata mahu melunaskan dendam politik kepada
Perdana Menteri.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.