Di sini keselesaan boleh ‘dibeli’, di sana amal jadi taruhan
Oleh
IBARAT sebuah unit rumah flat dua bilik dengan satu tandas. Penghuninya sudah ramai. Tiba-tiba muncul tetamu yang jumlahnya hampir separuh jumlah keluarga itu. Bagaimana suasananya? Tentunya sesak. Tidur berhimpit, kaki tidak mampu melunjur bimbang terkena kepala rakan dan beratur menunggu giliran untuk ke tandas.
IBARAT sebuah unit rumah flat dua bilik dengan satu tandas. Penghuninya sudah ramai. Tiba-tiba muncul tetamu yang jumlahnya hampir separuh jumlah keluarga itu. Bagaimana suasananya? Tentunya sesak. Tidur berhimpit, kaki tidak mampu melunjur bimbang terkena kepala rakan dan beratur menunggu giliran untuk ke tandas.
Sebagai tuan rumah, apakah
penyelesaiannya? Perlukah membeli katil bertingkat bagi memenuhi
keselesaan tetamu untuk satu atau dua malam? Atau maklumkan kepada
keluarga jangan datang dalam jumlah yang ramai, hadkan kehadiran.
Mungkinkah untuk jangka panjang tuan rumah
melakukan ubah suai unit itu? Hakikatnya unit flat itu tidak mampu
dipecah atau diperluaskan. Mustahil! begitulah juga apabila timbul
kesesakan di khemah penginapan jemaah haji di Mina yang bermula pada 10
Zulhijah yang lalu.
Dalam kepadatan khemah
yang sedia ada, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Tabung Haji di
tanah milik orang bagi memberi keselesaan kepada jemaah yang meningkat
berikutan penambahan kuota.
Kawasan sedia
ada sudah padat dengan khemah. Keluasannya tidak boleh ditambah. Jika
dulu 12 atau 14 orang, kini meningkat kepada 18 orang bagi satu petak
khemah. Membina penempatan kekal bertingkat atau katil bertingkat tidak
berbaloi jika sekadar digunakan lima hari setahun.
Jika
dilakukan semua ini juga akan melibatkan kos. Akhirnya siapa yang mahu
menanggung kos itu? Mahu tidak mahu jemaah perlu reda. Apakah pilihan
yang ada? Mengekalkan kuota lama sekitar 27,000 atau bersedia menerima
tambahan kuota? Bayangkan tahun ini jumlah yang mendapat tawaran
meningkat. Inilah peluang yang ditunggu-tunggu jemaah kerana mereka
tidak sanggup menunggu lebih lama.
Justeru,
redalah dengan kemudahan yang disediakan. Sahutlah tawaran Tabung Haji,
hadirlah dengan penuh ketakwaan dan kesabaran demi satu matlamat iaitu
beribadah, memenuhi tuntutan rukun Islam.
Bagi
mereka yang berada di lapangan, Arafah, Muzdalifah dan Mina, cuba selak
kembali bagaimana cabaran yang terpaksa dihadapi datuk nenek kita yang
pernah ke sana suatu masa dulu. Adakah era mereka lebih baik berbanding
hari ini? Ibadah ini menuntut banyak kesabaran, semangat kerjasama serta
tolak ansur.
Sabar ketika di tandas untuk
mandi, membuang air besar dan kecil malahan ketika berwuduk. Buanglah
tabiat bermewah seperti amalan harian di negara sendiri, contohnya mandi
berkali-kali sehari dan membazir air ketika berwuduk. Buanglah sikap
pentingkan diri sendiri.
Tidak dinafikan di
sana ada pelbagai ragam manusia. Diringkaskan cerita, jika tidak mahu
bersesak seperti dialami jemaah muassasah, ambillah pakej haji terutama
yang memberi penginapan selesa bertaraf lima bintang termasuk
berhampiran tempat melontar. Di sana ada layanan istimewa.
Lihatlah
sepanjang lima hari di Masyair melibatkan Arafah, Muzdalifah dan Mina,
lautan manusia duduk bersama di dalam atau di luar khemah, berlantaikan
tikar atau karpet, berbantalkan beg dan sebagainya. Tidak kira
kedudukan, pangkat semuanya sama, hanya berbalut dua helai kain putih
bagi lelaki. Mereka sama-sama berkongsi bilik dan tandas. Bagi yang
memilih khidmat muassasah, tidak ada layanan VIP atau VVIP walaupun
mereka tergolong dalam golongan itu.
Di Mina,
jemaah perlu belajar bagaimana kesukaran orang lain yang tidak
berkhemah, tidak ada makanan dan minuman yang cukup, menumpang tidur di
sana sini tetapi ibadat diteruskan sehingga ke akhirnya. Ada jemaah yang
tidur di lorong antara khemah disebabkan kepadatan di khemah.
Begitu juga yang bermalam di atas jalan. Dalam keadaan yang tidak selesa di luar khemah, mereka menghabiskan masa membaca al-Quran atau solat.
Begitu juga yang bermalam di atas jalan. Dalam keadaan yang tidak selesa di luar khemah, mereka menghabiskan masa membaca al-Quran atau solat.
Jemaah
boleh memberi cadangan untuk penambahbaikan tetapi sejauh mana Tabung
Haji dapat melakukannya? Mesti ada kekangan yang menghalang
penambahbaikan untuk tahun ini terutama di Arafah dan Mina. Maklumlah
ada kuota tambahan yang diterima pada saat akhir.
Tidak
dinafikan kesungguhan atau peranan Tabung Haji dalam menyediakan hotel
atau penginapan serta perkhidmatan lain di Mekah dan Madinah adalah baik
seperti diselak minggu lalu. Itu tidak dinafikan, cuma jarak antara
maktab (penginapan) ke Masjidilharam berbeza. Ada maktab yang memerlukan
jemaah mengatur langkah lebih jauh dalam cuaca yang panas.
Isu
yang menjadi bualan hangat ialah apabila berada di lapangan bagi
memulakan perjalanan ibadah ini. Ia memerlukan kekuatan fizikal dan
mental serta memiliki semangat jihad untuk menunaikan ibadah haji.
Keluhan bermula dalam isu pengangkutan.
Bas
itu memang ada tersedia, cuma masa menunggu dan perjalanan menimbulkan
masalah. Banyak kerenah termasuk sikap pemandu. Sesuatu perlu dilakukan
bagi memperbaiki keadaan ini kerana kesannya adalah terletak di bahu
Tabung Haji. Sistem nombor bas sudah elok tetapi hanya bertahan di
permulaan ke Arafah. Dari Arafah ke Muzdalifah dan Mina mula bertukar
dan tidak tersusun. Ada juga bas sesat sehingga jemaah lewat tiba di
Arafah.
Khemah pula menjadi isu utama. Di
Arafah, khemah baharu menyebabkan ramai yang merungut panas. Khabarnya
berbeza dengan sebelum ini. Ada juga tidak mendapat petak untuk
diduduki. Ini cabaran kepada jemaah yang sudah berusia dan mereka yang
keletihan. Disebabkan panas dan kekurangan tempat, ada jemaah tidur di
luar. Mujur kawasan agak luas yang memudahkan pemilihan lokasi untuk
tidur.
Masalah yang ketara adalah di Mina.
Ada yang tertukar bilik atau petak kerana pelekat nombor bilik tidak
jelas sama ada ditampal pada sebelah dalam atau terlindung. Satu
persatu pintu khemah diselak untuk mencari nombor. Kesilapan petak
berlaku disebabkan kekeliruan ini.
Sesuatu
harus dilakukan supaya keadaan ini tidak berulang atau mencari kaedah
yang boleh mengurangkan kekeliruan. Jemaah yang keletihan menyebabkan
mereka tidak berganjak dari khemah.
Begitu
juga ada dalam kumpulan jemaah sebilik yang lebih gemar berbual kosong,
melayani telefon, tidur dan sebagainya. Ada juga yang tidak menghormati
rakan-rakan lain apabila merokok di dalam khemah. Jemaah boleh menegur
tetapi sikap manusia yang pantang ditegur atau kerana tidak mahu
mengguris hati menyebabkan mereka yang tidak merokok reda sahaja.
Tabung
Haji boleh merancang dengan baik tetapi sampai di sana, keadaan
mungkin berubah. Pihak di sebelah sana tidak mampu mengikut apa yang
dirancangkan. Kemudahan kawasan perkhemahan perlu ditingkatkan terutama
laluan untuk jemaah menuju terowong. Longgokan sampah dan peniaga
jalanan menyebabkan laluan menjadi sempit. Pihak muassasah pula perlu
memastikan kemudahan yang ada dalam keadaan baik sebelum jemaah tiba.
Semua permasalahan itu melibatkan perhatian bersama pihak Kerajaan Arab
Saudi.
Tabung Haji atau kerajaan boleh
mengangkat masalah ke pengetahuan pihak berkuasa di Arab Saudi. Bagi
jemaah pula, mahu tidak mahu, anggaplah ibadah ini satu jihad. Selaklah
kembali sejarah bagaimana perjalanan ibadah ini di zaman Rasulullah SAW
atau sekurang-kurangnya era datuk nenek kita pada masa lalu.
Agaknya
berapa peratuskah kesengsaraan atau kesukaran yang dialami pada masa
lalu dapat dirasai jemaah pada hari ini. Rasanya amat terlalu sedikit
kesukaran yang dirasai. Apa pun masalah yang dihadapi, jemaah nampak
ceria sekembali dari Mina dan berjaya melaksanakan ibadah haji. Semoga
semua lebih 40,000 jemaah Malaysia memperoleh haji mabrur.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.