Amerika Dapat Pelaburan Tapi Malaysia Dapat Apa ?
Pada
pertemuan rasmi kurang 10 minit di antara delegasi Dato' Sri Najib
Razak dan Presiden Donald J Trump di White House 12 September lalu, ayat
kedua dan ketiga yang diucap Perdana Menteri Malaysia ialah:
"I
want to say that we come here with a strong value proposition to put on
the table. Number one, we want to help you in terms of strengthening
the U.S. economy."
("Saya
ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai
yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan
ekonomi AS.")
Beliau
seterusnya berkata bahawa MAS akan menambah jumlah kapal terbang Boeing
yang akan dibeli. Pembelian tambahan ini dijangka bernilai sekitar USD
10 bilion (RM 42 bilion) dalam masa 5 tahun akan datang.
Dato'
Sri Najib turut berkata KWSP akan melabur USD 4 bilion (RM 16.8 bilion)
ke dalam ekonomi AS, manakala Khazanah juga akan meningkatkan jumlah
pelaburan di AS dari USD 400 juta yang ada sekarang.
Ini bermakna Malaysia akan memasukkan hampir RM 60 bilion ke dalam ekonomi AS untuk lima tahun akan datang.
Tetapi
di dalam pertemuan tersebut, kita tidak mendengar sepatah perkataan pun
dari Presiden Trump tentang apa yang akan dimasukkan AS ke dalam
ekonomi Malaysia.
Jika
dirujuk nilai perdagangan Malaysia-AS dari 2013 ke 2016 (Jadual 1),
jelas pihak yang menerima manfaat langsung paling besar dari pertemuan
ini adalah AS, di mana ekonomi AS akan menyaksikan pertambahan purata
ekspot ke Malaysia bernilai lebih kurang RM 8.4 bilion setahun untuk 5
tahun akan datang dengan pembelian kapal terbang Boeing tersebut.
Jadual 1: US Census on Foreign Trade (https://www.census.gov/foreign-trade/balance/c5570.html)
Namun
sehingga kini tidak jelas apa manfaat langsung yang akan dinikmati
ekonomi Malaysia dari pertemuan Dato' Sri Najib dan Presiden Trump ini.
Di
dalam suatu laporan Bernama bertarikh 14 September 2017, ada disebut
bahawa "kedua-dua negara komited mengkaji semula kerangka
pengawalseliaan dengan tujuan memudahkan pelaburan di dalam ekonomi
negara masing-masing" ("The two countries also committed to review
regulatory frameworks with the aim of facilitating investment in their
respective economies").
Mengikut
dakwaan Jabatan Kehakiman (DoJ) AS, nilai aset yang terlibat dalam kes
1MDB di AS mencecah hampir USD 1.7 bilion. Maka, adalah cukup bermakna
untuk rakyat dan ekonomi negara jika kerangka pengawalseliaan ini dikaji
semula untuk membolehkan segala "pelaburan" di AS yang didakwa
menggunakan wang haram diseleweng dari 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) akan diekspot - yakni dipulangkan - kembali ke Malaysia.
Oleh
itu, Perdana Menteri Dato' Sri Najib perlu segera menjelaskan apakah
beliau ada berbincang dengan Presiden Trump berkaitan pemulangan
aset-aset bernilai USD 1.7 bilion ini ke Malaysia.
Walaupun
pemulangan aset bernilai USD 1.7 bilion dari AS tidak menyamai hampir
USD 60 bilion yang akan dimasukkan Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya
maruah negara dapat ditebus.
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
25 September 2017




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.