Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong...
Oleh Lanh
MENGIKUTI
laporan gelagat seorang pemimpin di negara Uncle Sam baru-baru ini,
teringat saya sebuah peribahasa Melayu berbunyi 'hidung tak mancung,
pipi tersorong-sorong' yang didefinisikan 'orang yang gemar ikut campur masalah orang lain; orang yang senang menonjolkan diri'.
Definisi
yang kedua itu dirasakan lebih tepat...terpulanglah kepada pembaca
untuk membuat imaginasi berkenaan isu berkaitan...pada keluaran kali ini
penulis (LanH) ingin mengajak pembaca merenung peristiwa sejarah yang
boleh dijadikan iktibar.
Bagi membicarakan isu ini, penulis
sekali lagi (perkara ini pernah disentuh sebelum ini) merujuk kepada
zaman gerhana Kesultanan Melaka untuk dijadikan teladan - yang baik
dijadikan ikutan yang tidak baik dijadikan sempadan.
Zaman gerhana Melaka kerap dirujuk
kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511) iaitu pemerintah
Melaka terakhir. Merujuk kepada sesetengah pengkaji, mereka mendakwa Sultan
Mahmud tidak mementingkan kesejahteraan rakyatnya. Salah satu
kelemahannya adalah berkenaan perempuan. Semua perempuan berdahi licin
hendak dimilikinya.
Misalnya, Tun Fatimah, anak Bendahara
Melaka yang cantik dicemburui sultan kerana telah berkahwin dengan Tun
Ali. Akibat rasa cemburu dan tidak senang hati dengan tindakan Bendahara
Tun Mutahir tidak mempersembahkan Tun Fatimah terlebih dahulu
kepadanya, Sultan Mahmud murka. Terlebih dahulu Datuk Mandeliar dan Si
Kitol telah menghasut Sultan Mahmud Shah – masuk jarum.. Alahai sultan,
mudahnya terpengaruh. Akhirnya seluruh keluarga Tun Mutahir dibunuh,
yang tinggal hanya Tun Fatimah untuk dijadikan isteri Sultan.
Kemaruk Sultan memuncak apabila
'tergilakan' Puteri Gunung Ledang. Puteri bijak menghelah dengan
mengemukakan tujuh syarat peminangan termasuklah disediakan jambatan
emas menghubungkan puncak gunung itu dengan Melaka, hati nyamuk tujuh
dulang dan semangkuk darah anakanda Sultan, Raja Ahmad. Disebutkan pada
mula Sultan Melaka berhasrat memenuhi syarat itu - cukai ke atas rakyat
ditingkatkan manakala ada menyebut harta mereka seperti emas dirampas.
Namun faktor membabitkan kepentingan diri sendiri (semangkuk darah Raja
Ahmad), Sultan membatalkan hasrat itu.
Kezaliman Sultan sudah keterlaluan,
tetapi adakah orang berani menegur? Jawapan yang zahir adalah tidak
kerana mereka tersangat takut kerana orang kanannya sendiri seperti
Bendahara bukan saja disingkirkan tetapi seluruh keluarganya dibunuh.
Menegur Sultan bermakna mati atau setidak-tidak dihumbankan ke dalam
penjara atau 'dibuang ke luar daerah' (dihukum bunuh tetapi diselamatkan
Bendahara Tun Perak) seperti dialami Laksamana Hang Tuah.
Menegur Sultan (mengkritik pemerintah)
tidak berlaku pada zaman gerhana ini. Apa yang ada terdapat ramai
pengampu dan tukang fitnah serta pengkhianat seperti Si Kitol dan Datuk
Mendeliar. Sultan diberi 'gambaran indah-indah' - tidak mengetahui
situasi sebenar dalam negara yang di ambang untuk jatuh. Ramai yang
berarak menyatakan sokongan kepada Sultan, hakikatnya sokongan inilah
yang membawa rebah. Ya pemerintah sudah nazak tetapi masih ramai rakyat
berarak-arak di jalan raya...
Apabila Portugis menyerang Melaka pada
1511, dilaporkan angkatan perang Melaka terlalu gagah untuk dikalahkan.
Tetapi angkara terlalu ramai pengkhianat (termasuk yang berarak di jalan
raya menyatakan sokongan) yang memberi bantuan sama ada secara
terang-terangan atau sembunyi-sembunyi, akhirnya tewaslah Melaka
menyebabkan Sultan Mahmud terpaksa berpindah randah dan akhirnya mangkat
di Sumatera pada 1528.
Demikianlah berakhirnya sebuah empayar,
peristiwa dalam sejarah kerap berulang-ulang...adakah kita mahu terus
membutakan mata dan memekakkan telinga daripada pengajaran sejarah ini.
Faktor seperti pemerintah 'dikuasai bini', bersikap boros, menindas
rakyat dengan cukai tinggi, membunuh (menyingkir) pesaing termasuk
pembantu kanan adalah fenomena biasa pada zaman gerhana.
Ya, itu 'kisah dulu', sekarang ini
wahai pembaca, fikir-fikirkanlah sejenak sama ada kita kini di zaman
gerhana atau tidak berdasarkan gelagat 'si polan berkenaan' ketika
berada di negara Uncle Sam. Mari kita buat perbandingan kisah Sultan
Melaka yang terakhir dan 'si polan itu'.
Sultan Melaka dalam meminang Puteri
Gunung Ledang sanggup memenuhi semua syarat seperti menyediakan jambatan
emas dari Gunung Ledang ke Melaka dan ini boleh dijayakan dengan
mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat hatta sehingga merampas harta
mereka semata-mata bagi memenuhi nafsu serakah beliau.
Pemimpin terkini dalam usaha
menonjolkan diri termasuk di pentas antarabangsa sanggup
'mempertaruhkan' wang simpanan berdikit-dikit hasil keringat rakyat yang
jumlahnya berbilion-bilion ringgit dalam usahanya 'memenangi hati'
lelaki yang dianggap paling berkuasa di dunia. Dalam mengejar
'ke-glamor'an' dunia, pemimpin seakan-akan terlupa langsung akan
kemiskinan dan derita rakyat yang ramai daripada mereka adalah penerima
skim bantuan.
Jika pemerintah terakhir Melaka
'menjarah' harta benda rakyat termasuk mengenakan cukai yang tinggi,
apakah rakyat sekarang senasib 'orang dulu' kerana dikenakan cukai
barangan dan perkhidmatan yang 'mengenai' semua orang - ya si pengemis
yang mahu makan roti pun kena cukai demikian juga si miskin yang mahu
membayar bil air dan elektrik.
Akhir sekali renung-renunglah sejenak hal
ini...Sultan Melaka akhirnya membatalkan niat menyunting Puteri Gunung
Ledang kerana tidak sanggup 'miliknya' dikorbankan (permintaan semangkok
darah Raja Ahmad) dan dalam kes hari ini, adakah pemimpin sanggup
mengorbankan 'miliknya' yang paling bernilai (seperti anak dan sang
isteri) untuk memuaskan nafsunya sekalipun ada orang menuduhnya hidung
tak mancung, pipi tersorong-sorong atau kera di hutan disusui anak di
riba dibiar kematian?- http://lanh14.blogspot.my




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.