Kenapa Pakatan Harapan gelisah?
Oleh
PENULIS agak
hairan dengan pelbagai reaksi yang diberikan oleh Pakatan Harapan yang
diketuai oleh DAP apabila bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad
Muhd. Taib membuat keputusan untuk menyertai semula UMNO - lima tahun
selepas meninggalkan parti keramat orang Melayu itu.
Sebelum ini Muhammad pernah berada
dalam Pas dan dua tahun kemudian menyertai PKR. Kalau kita masih ingat
kemasukan beliau ke dalam PKR telah disambut dengan penuh gembira dua
pemimpin kanan PKR iaitu Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan
Ismail dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ketika itu kedua-dua pemimpin berkenaan begitu
menghargai penyertaan Muhammad. Tiada langsung istilah surat khabar lama
atau baharu, malah pandangan sama turut diberikan oleh
pemimpin-pemimpin pembangkang lain.
Mereka
menganggap kehadiran Muhammad yang merupakan seorang ahli politik cukup
berpengalaman di Selangor akan membantu meningkatkan sokongan rakyat
terhadap parti itu sama ada di kawasan luar bandar mahupun bandar di
negeri tersebut.
Tetapi kini apabila Muhammad
membuat keputusan kembali ke dalam UMNO, segala puji-pujian dan
penghargaan itu hilang entah ke mana. Apa yang ada hanyalah cacian
dengan menyifatkan UMNO menerima ‘surat khabar lama’.
Namun
perlu diingatkan ‘surat khabar lama’ itulah yang sebelum ini digunakan
pembangkang untuk menyerang kembali kerajaan. Muhammad diusung ke sana
ke mari termasuklah dalam kempen-kempen pilihan raya.
Bagaimanapun
kalaulah soal ‘surat khabar lama’ mahu diperkatakan, Pakatan Harapan
lebih teruk apabila sanggup menerima ‘surat khabar yang lebih lama’
untuk dijadikan Pengerusi mereka iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Lebih
menyedihkan, ‘surat khabar yang lebih lama’ itu dulunya amat dibenci
oleh pihak pembangkang khususnya DAP, PKR, dan Pas, tetapi sekarang Dr.
Mahathir telah digunakan habis-habisan bagi menyerang kerajaan.
Malah beliau juga digunakan untuk mendapat sokongan daripada
pengundi-pengundi Melayu termasuklah dalam kawasan Felda. Soalnya,
kenapakah isu ‘surat khabar lama’ ini tidak diperkatakan? Apakah kerana
ia memberi keuntungan kepada politik pembangkang maka segalanya mahu
‘dihalalkan’?
Justeru penulis berpendapat,
pihak yang suka mengumpul ‘surat khabar lama’ ialah pembangkang. Mereka
terima dengan lahapnya segala macam jenis bentuk ‘surat khabar lama’,
terutama sekali yang datang daripada UMNO. Mereka tidak peduli,
sekalipun surat khabar lama itulah yang dulu yang menghentam dan
mencerca mereka, janji matlamat mereka untuk menjatuhkan kerajaan BN dan
UMNO tercapai.
Sudah pasti kembalinya
mereka kepada UMNO itu bersebab, penulis yakin seperti mana kata
Muhammad puncanya adalah beliau akhirnya sedar parti pembangkang
sememangnya tidak mampu berjuang seperti mana perjuangan UMNO dalam
membela Islam, orang Melayu dan negara.
UMNO
seperti mana yang kita tahu, sentiasa membuka pintunya kepada sesiapa
sahaja untuk menjadi ahli. Malah, pemimpin dan ahli UMNO yang keluar
parti, kemudian mahu kembali kerana sedar bahawa tidak ada parti selain
UMNO yang mampu berjuang untuk agama, bangsa dan negara, pastinya kita
alu-alukan.
Katakanlah jika Datuk Seri Mohd.
Shafie Apdal atau pun Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali pun ingin kembali
kepada UMNO, insya-Allah penulis yakin pintu UMNO sentiasa akan terbuka
untuk membuat rundingan ke arah itu. Jadi tidak timbul isu soal surat
khabar lama atau tidak.
Ia memandangkan bagi
UMNO, sesiapa sahaja yang mahu memperjuangkan nasib bangsa d
an agama
pasti akan dialu-alukan. Ini kerana perjuangan itu sama sekali tidak
boleh dilakukan oleh PKR, PAN mahupun PPBM.
Faktanya mereka adalah ‘pak turut’ dalam Pakatan Harapan. Yang berkuasa
dan menentukan segala-galanya bukan ketiga-tiga parti tersebut tetapi
DAP. Inilah menjadi salah satu penyebab kenapa Muhammad yang penulis
kenali mempunyai jiwa Melayu kental akhirnya kembali kepada UMNO.
Selepas
berada dalam dua buah parti, Muhammad semakin sedar siapa ‘taiko’ dalam
pakatan pembangkang dan memahami jika beliau berhasrat untuk
memperjuangkan nasib orang Melayu, ia tidak akan ke mana, justeru
kembali kepada UMNO adalah langkah terbaik.
Penulis juga beranggapan, sebenarnya dengan ‘menyerang’ kemasukan
semula Muhammad ke dalam UMNO adalah satu lagi strategi mengambil alih
isu bagi menutupi segala kepincangan yang berlaku di dalam Pakatan
Harapan.
Jangan lupa ketika ini parti yang
menjadi sandaran pakatan itu untuk menarik sokongan orang Melayu iaitu
PPBM turut berhadapan dengan masalah apabila seorang demi seorang
pemimpinnnya meninggalkan parti tersebut.
Tetapi penulis yakin, isu remeh-temeh yang cuba diprovokasikan itu tidak
dapat mengalih perhatian rakyat daripada melihat kelemahan dan
kepincangan yang sedang berlaku di dalam Pakatan Harapan. Jika pemimpin
Pakatan Harapan menyangka mereka dapat memperbodohkan rakyat seperti
dulu-dulu, maka mereka salah percaturan.
Mana
mungkin mereka mampu menyorokkan bangkai gajah dengan sehelai daun
pisang dan itulah perumpamaan yang tepat kepada pembangkang yang sedang
huru-hara dengan pergolakan dalaman mereka.
Atas sebab itulah mereka khuatir apabila ada pemimpin seperti Muhammad
membuat tindakan meninggalkan pakatan tersebut kerana ini akan
membuktikan bahawa Pakatan Harapan sama sekali tidak boleh disandarkan
harapan oleh rakyat.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.