: Budak tahfiz bukan malaikat...
Oleh Lanh
KEBERADAAN lebih kerap di masjid pada 'usia tua' sekarang ini, memberi
peluang kepada saya berkenalan seterusnya merapati golongan 'agamawan'
seperti ustaz, imam, bilal malah tenaga pengajar dan pelajar tahfiz.
Daripada perhubungan seperti inilah seorang mudir sebuah pusat tahfiz
mempelawa saya menjadi guru bahasa Inggeris dan Matematik. Sehubungan
itu sejak 2006 sehingga kini saya mengajar di pusat tahfiz berkenaan
setiap Ahad dari jam 11.00 pagi hingga ke azan waktu zuhur.
Ertinya sudah lebih 10 tahun saya yang bukan ustaz ini, mengajar di
sebuah pusat tahfiz. Apabila timbul isu panas mengenai pusat dan pelajar
tahfiz sekarang ini, terpanggil untuk saya mencoretkan sesuatu yang
diharapkan dapat sedikit sebanyak menarik perhatian dan menjentik hati
anggota masyarakat daripada serendah-rendah kedudukan sehingga kepada
pemimpin nombor satu negara.
Saya membuka celoteh dengan mengungkapkan kembali ingatan sang ustaz
yang membuka hati saya mengajar di pusat tahfiz. Katanya, kalau kamu tak
mampu menghafal al-Quran (kerana pelbagai faktor termasuk sudah tua),
jadilah orang yang membantu untuk melahirkan hafiz dan hafizah. Kalau
kamu ada duit dan harta yang banyak berilah sumbangan, kalau kamu tak
ada duit 'sedekahkanlah' kudratmu hatta menjadi tukang masak pun tak
apa...janji kamu ada 'saham' dalam melahirkan penghafaz al-Quran; kalau
tak mampu pun doakanlah anak-anak ini tetapi janganlah kamu menjadi
penghalang, pengacau dan perosak...
Katanya lagi, jika kamu tak boleh jadi hafiz, usahakan agar anak kamu
boleh, kalau tak cucu kamu...berdasarkan hujah inilah, saya pada tahun
2006 itu juga memasukkan seorang anak lelaki saya yang ketika itu dalam
tahun 5 ke pusat tahfiz...itu pun pada peringkat percubaan, pada cuti
sekolah. Alahai selepas beberapa hari, anak saya 'cabut'...heboh
saudara-mara bercerita mereka 'berjumpa' anak saya berjalan kaki pulang
ke rumah dengan 'mengendong' bantal putih dan barangan lainnya.
Saya gagal 'menyekolahkan' anak saya di pusat tahfiz, jadi tahniahlah
kepada ibu bapa yang berjaya 'memujuk' anak-anak ke institusi ini!
Sebagai guru, ketika mengajar, sekali sekala saya merenung wajah
anak-anak tahfiz saya. Terasa sejuk di hati...ada sinar di wajah
mereka...insya-Allah mereka menjadi harapan penyelamat agama, bangsa dan
negara pada masa hadapan ketika zaman 'gerhana' yang 'penuh pancaroba'
sekarang ini.
Tetapi sedarlah semua, kanak-kanak adalah kanak-kanak. Tidak kiralah
pelajar tahfiz atau apa...dada-dada mereka daripada pelbagai latar
belakang ini masih kosong...mereka perlu dididik dan dibentuk ke arah
menjadi insan mulia...ya mereka bukan malaikat...benar ketika berada di
majlis-majlis keraian seperti kenduri kahwin dan pertandingan nasyid,
mereka 'bagaikan malaikat' dalam jubah putih bersih; itulah yang sering
dilihat masyarakat.
Tetapi dalam persekitaran tempat belajar dan tinggal (seperti yang saya
lihat dan alami), pelajar-pelajar tahfiz saya macam kanak-kanak lain.
Ramai baik-baik belaka, namun ada yang nakal dan sebagainya, jadi
perlakukan mereka pelbagai...ramai yang penuh 'konsentrasi' (baik-baik
saja kelakukan mereka) namun ada juga yang tidur, ada membaling pemadam
ke arah rakan, ada yang 'memekak', ada yang menendang rakan malah ada
yang meludah ke luar tingkap ketika cikgu (sayalah tu) sedang mengajar!
Jadi kesimpulannya 'apa' wahai pembaca? Ya, kita semualah, terutama ibu
bapa, ustaz, guru (termasuk saya) yang perlu mendidik kanak-kanak ini.
Tegur, bimbing, ajar dan terus ajar dengan ikhlas sehingga mereka
menjadi anggota masyarakat berguna (ya mereka bukan malaikat) manakala
kita terus menabur bakti sehinggalah detik kita masuk kubur!
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.