https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dr Mahathir ikrar selesaikan ‘tugas akhir’

Oleh

DR Mahathir Mohamad, perdana menteri yang nekad mengubah Malaysia daripada negara berasaskan pertanian kepada ekonomi perindustrian dalam pemerintahannya selama 22 tahun, berjanji malam tadi akan menamatkan tugasnya yang terakhir – menyingkirkan Najib Razak daripada terus berkuasa.

Pemimpin berusia 92 tahun itu beberapa kali berhenti untuk menghela nafasnya pada perhimpunan terakhir "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" ketika beliau berikrar kepada orang ramai untuk menyelesaikan misinya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), yang kelihatan letih apabila tampil berucap pada jam 10.30 malam, adalah penceramah terakhir malam tadi.

Bagaimanapun, orang ramai yang yang berada di sana sejak jam 4 petang, terus menunggu untuk mendengarnya. Mereka bertepuk tangan dan bersorak.

"Terima kasihlah ... tak tau berapa lama lagi, nak habiskan kerja ni saja," katanya kepada orang ramai yang terus melaungkan "Hidup Tun".

Dr Mahathir yang bercakap selama kira-kira 30 minit, memberitahu orang ramai bagaimana pentingnya undi mereka untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan Barisan Nasional (BN)-Umno sekarang.

"Dua hari lalu kami diberitahu yang perhimpunan dibatalkan kerana akan ada kekacauan. Saya tidak lihat huru-hara. Kita bertamadun tidak seperti pencuri," katanya.

"Beliau sangat takut dengan perhimpunan malam ini. Beliau berharap ia tidak akan berlaku. Kami tidak menimbulkan huru-hara, kami hanya mahu menjelaskan mengapa penjenayah perlu dikeluarkan," katanya, merujuk kepada Najib.

Beliau menambah yang Najib sangat takut sehingga tukang masaknya juga diambil.
"Saya tak kisah jika beliau mahu menyerang anak-anak saya, tetapi tukang masak saya juga diganggu," katanya.

Dr Mahathir turut menyerang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"SPRM sangat rajin dan pergi ke Sabah untuk membuat tangkapan, tetapi yang mencuri RM2.6 bilion, tiada tindakan diambil. Jadi, jangan bohong untuk menunjukkan betapa anda bekerja keras," kata pengerusi PH itu.

Beliau kemudian mengulangi perancangan 100 hari pertama kerajaan PH jika mereka berjaya mengambil alih Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

1. Menangkap MO1 dan “ikan-ikan jerung” lain;

2. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan Felda;

3. Menubuhkan sebuah badan bebas yang akan berusaha mengembalikan aset dan wang rakyat yang telah dicuri atau diseleweng melalui rasuah;

4. Menjadikan SPRM sebuah badan bebas yang melapor terus kepada Parlimen; dan

5. Menghapuskan amalan runding terus (direct nego) untuk semua kontrak kerajaan.

Beliau berkata, PH tidak berada di sini untuk mencari sokongan tetapi semata-mata untuk menyokong keperluan rakyat agar negara boleh kembali menjadi model kepada negara lain.

"Percaya kepada kami. Kami tidak takut dan akan meneruskan perjuangan ini," tambah Dr Mahathir.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.