Hulurkan bantuan, ringankan beban mangsa banjir
SESUNGGUHNYA
tragedi banjir besar dan tanah runtuh serta kejadian-kejadian
berkaitannya ketika ini terutama di Pulau Pinang dan beberapa negeri
adalah ujian daripada Allah S.W.T kepada para hamba-Nya dan berharap ia
diterima dengan sabar dan redha.
Pihak kami merakamkan takziah kepada semua mangsa yang terjejas
oleh bencana banjir besar yang melanda itu. Kami menghulurkan rasa
simpati dan solidariti bersama seluruh mangsa banjir yang terlibat.
Di dalam situasi begini, kami berharap agar semua pihak berganding
bahu meringankan beban mangsa banjir terutama di Pulau Pinang serta
mengenepikan fahaman politik untuk memastikan agar segala bentuk bantuan
dapat disalurkan dengan berkesan dan sampai kepada sasaran.
Berikutan bencana banjir ini, kami akan menggerakkan seluruh
jentera yang bernaung di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
terutamanya Jabatan Amal Malaysia (JAM) untuk turut sama membantu mangsa
banjir buat ketika ini terfokus di Pulau Pinang.
Untuk mengetahui perkembangan terkini keadaan banjir di Pulau
Pinang, saya sendiri mewakili DPPM telah mengunjungi Parlimen Tasek
Gelugor, Pulau Pinang bersama Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz
Mohamad Fauzi Yusoff dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz
Afnan Hamimi Taib Azamudden untuk menziarahi mangsa yang ditempatkan di
pusat pemindahan banjir. Juga melawat kawasan yang dilanda banjir serta
menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terlibat untuk meringankan beban
mereka.
Buat masa sekarang, DPPM melalui JAM telah menggerakkan jenteranya
di Pulau Pinang dan negeri berdekatan dalam misi kemanusiaan membantu
mangsa banjir di Pulau Pinang. Jabatan Amal Malaysia telah menyusun 3
fasa dalam melancarkan perjalanan operasi iaitu menyelamatkan mangsa
banjir, menempatkan mangsa banjir di pusat pemindahan dan membersihkan
kediaman serta kawasan persekitaran. Untuk menjayakan misi tersebut,
DPPM melalui JAM akan menerima arahan Khidmat Malaysia dan akan
bekerjasama dengan semua agensi kerajaan yang terlibat agar misi
kemanusiaan tersebut mencapai sasaran serta objektif yang ditetapkan.
DPPM berharap agar rakyat Pulau Pinang terutamanya mangsa banjir
agar bersabar di atas musibah yang melanda dan mematuhi arahan pihak
berkuasa dan agensi yang terlibat bagi memastikan segala misi sama ada
menyelamat mahupun bantuan dapat dijalankan dengan sempurna demi manfaat
semua pihak.
DPPM dengan ini mengajak seluruh rakyat Malaysia berdoa agar
keadaan banjir semakin baik dan pulih supaya semuanya kembali seperti
sediakala. Kepada Allah jua kita berserah dan kepada Allah jua kita
memohon.
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.