Usah apologetik, jangan tuding jari
Orang UMNO tidak perlu berasa
segan-silu atau rasa bersalah jika ada pihak cuba memperlekeh, mencemuh
kononnya parti ini sudah jumud dan tidak relevan lagi.
Bahawa kononnya orang muda tidak lagi rapat
dengan UMNO. Juga, adu-domba kalangan orang
bandar enggan mendekati
parti keramat itu, malahan kononnya UMNO ‘tidak jaga orang kampung’.
Hakikatnya,
jangan sesekali lupa. Parti mana yang mengusulkan
kementerian-kementerian strategik untuk kepentingan Melayu dan
bumiputera? Siapakah yang memartabatkan institusi-institusi Melayu serta
bumiputera seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM)?
Begitulah juga nasib penjawat awam yang jumlahnya kini lebih 1.5 juta
orang terus dibela. Parti manakah yang mempermuliakan Raja-Raja Melayu
dan memperteguhkan syiar Islam? Dan di manakah parti yang terus menjadi
sandaran untuk orang-orang Melayu menumpang teduh, membawa hati demi
menghitung masa depan keturunan anak cucu mereka?
Kepada ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Haron, UMNO telah banyak membuat perkara yang betul.
“Contohnya,
ada kenyataan yang saya terbaca iaitu apabila orang muda tidak berada
dalam aliran arus perdana, ini semua kononnya salah UMNO kerana tak
beri ruang pada orang muda.
“Tidak ada dalam
sejarah UMNO nafikan orang muda. Bahkan UMNOlah yang sediakan
pemimpin-pemimpin muda untuk perjuangan idealisme, UMNO yang pertama
berbuat demikian.
“Walau sebanyak manapun
kejayaan yang diraih UMNO, hatta segunung pun rekod yang mampu dicipta,
walau setinggi mana pun pengiktirafan yang telah diterimanya, orang UMNO
tidak boleh sekali-kali berasa complacent dan duduk bersimpuh.
“Keluarlah
dan perjelaskan bahawa kita telah membuat semua perkara yang betul
ini,” kata beliau kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO Melaka itu menarik perhatian ini kerana musuh
dalaman mahupun luaran termasuklah orang yang menyelar UMNO tadi, akan
terus mengintai-intai, cuba menerobos apa jua celah dan ruang untuk
menjatuh-jatuhkan perjuangan UMNO.
Pada
perhimpunan agung parti yang terakhir sebelum pilihan raya umum nanti,
tegas Idris, UMNO mesti berada dalam keadaan seluruh pemimpin di segenap
peringkatnya dari MT, perhubungan negeri, bahagian dan cawangan tidak
boleh menuding jari lagi.
“Cukup-cukuplah. Kita kini sampai ke peringkat bermuhasabah diri dan menilai kerangka serta melengkapi parti untuk menang.
“Kalau
masih menuding jari, risikonya perbalahan tidak dapat dibendung dan
jika dibenarkan, akan menjadi parah menjelang Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU-14).
“Berhentilah tuding jari dan
lebih-lebih lagi buat tuduhan dan buka cerita fitnah sehingga
mencetuskan friendly fire - menyalakan api kebencian yang akhirnya
tembak ke kaki sendiri dan baling batu ke rumah kaca.
“Itu
tidak boleh berlaku lagi. Tidak boleh lagi di sekeliling pemimpin UMNO
menuduh orang itu ini hanya untuk meraih populariti atau mahu dapat
perhatian menjelang PRU,” kata Idris.
Siapa
sahaja yang dipilih sebagai calon oleh pucuk pimpinan nanti, kata
beliau, itu adalah muktamad dan mereka mesti berlapang dada untuk
kebaikan seluruh umat Melayu.
Mengingatkan
sekali lagi supaya ahli UMNO tidak usah apologetik, Idris menarik
perhatian sekiranya orang muda tidak rapat dengan UMNO, masakan apabila
Institut Onn Jaafar (IOJ) menganjurkan Malaysians United Run (MUR) 2017
di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 18 November lalu, lebih 40,000
orang muda dan belia menyertainya.
“Naib
Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein selaku penaung IOJ yang mencetuskan program ini disukai orang
muda. Bahkan larian lima kilometer ini diiktiraf sebagai Penyertaan
Terbesar Belia Dalam Larian BrandLaureate.
“Baru-baru
ini juga dalam program Gen Y Green The City Melaka 2017, lebih 80,000
orang muda menyertainya di Dataran 1Malaysia, Klebang, Melaka
memperlihatkan mereka tetap mahu mendekati Presiden UMNO, Datuk Seri
Najib Tun Razak yang bukan sahaja menyempurnakan perasmian program
tetapi turut mengabadikan kapsul masa yang akan dibuka pada tahun 2050
nanti.
“Ramai yang datang, kenapa? Kerana mereka masih minat dengan UMNO,” kata Idris.
“Maka,
jangan rasa bersalah kerana ‘akibat kealpaan kita’ sebab UMNO tidak
pernah alpa dalam memberi perhatian kepada sudut-sudut terpencil ini
sehinggakan UMNO sendirilah yang mewujudkan Puteri UMNO sebagai
tetingkap untuk menarik wanita muda menyertai parti,” kata beliau.
Idris mahu ahli UMNO bersiap-siaga dan memasuki gelanggang PRU-14 dengan ‘saya bermentalitikan kemenangan’.
Ini
kerana Pakatan Harapan yang dikepalai DAP, kata beliau, berada dalam
keadaan tidak berstruktur. Tidak dapat buat keputusan siapa yang bakal
menjadi ketua seandainya menang nanti. Mereka berterabur tidak dapat
uruskan parti dengan cekap.
“Parti ini tidur
sebantal dan sekatil tetapi mimpi berbeza-beza. Satu parti nak bebaskan
Anwar Ibrahim sahaja matlamatnya. Satu lagi nak turunkan Perdana Menteri
manakala yang satu lagi tu nak angkat satu kaum sahaja.
“Tidak
lupa juga satu lagi parti yang dulunya mengatakan Islam sebagai
idealisme perjuangan mereka tetapi hari ini sanggup bersekongkol dengan
parti sekutunya untuk menafikan Islam dalam perjuangan memperkasakan
mahkamah syariah,” kata beliau.
Kata Idris:
“Tetapi UMNO ada kelebihan. Sistem kita tidak pernah gagal berfungsi
saban tahun. Usul-usul yang dibawa oleh bahagian, peringkat perhubungan
negeri dan kebangsaan ada sahaja yang pro dan tetap ada membangkang.
Sistem ini berjalan lancar dengan 21,000 cawangan dan 191 bahagian
mengadakan mesyuarat.
“UMNO ada kemahiran
atau skills, bahkan PKR dan PAN menciplak dan mengimport kemahiran ini
dari UMNO. Kita ada 7S iaitu structure, strategy, system, staff, skills,
style dan self value. Ini yang membezakan UMNO dengan parti-parti
pembangkang yang lain.”
Apa yang diperhatikan
dari senario politik semasa tanah air, benarlah cendekiawan menyebut:
“For evil to triumph, good men do nothing (kerana kejahatan untuk
menang, orang baik tidak melakukan apa-apa)”.
Malah, menurut para ilmuan, kata-kata itu disesuaikan daripada beberapa hadis antaranya oleh Abu Daud.
Maksudnya
- sekalipun UMNO di pihak yang benar, tetapi jika orang di dalamnya
hanya duduk berdiam, tidak melakukan apa-apa, maka musuh akan
bermaharajalela dan makin menjadi-jadi.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.