https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rahman Dahlan jawab Rafizi: Expo Negaraku telan belanja RM37 juta

KUALA LUMPUR: Penganjuran Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka selama sebulan menelan belanja RM37 juta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Jumlah itu 0.08% daripada dana RM46 bilion yang diuruskan Unit Perancang Ekonomi (UPE), katanya menjawab pertanyaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

“Saya nak umumkan, bahawa kos yang kita belanjakan untuk ekspo ini adalah RM37 juta dan jumlah ini adalah 0.08% daripada RM46 bilion dana yang diuruskan oleh EPU,,” kata Rahman di Dewan Negara hari ini.

Rahman menambah Expo Negaraku 2017 mempunyai kapasiti lebih besar dan 4 kali ganda kandungan interaktif berbanding Expo Milano 2015 di Milan, Itali yang disertai kerajaan dengan kos RM21 juta untuk mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa selama 6 bulan.

“Jumlah ini adalah jumlah yang berpatutan memandangkan kita mengadakan sebulan di kawasan yang strategik dan benilai iaitu Dataran Merdeka,” katanya lagi.

Expo Negaraku 2017 adalah pameran prasarana awam terbesar yang dianjurkan UPE bermula 15 November hingga 15 Disember depan.

Rahman berkata dakwaan Rafizi kononnya beliau memberikan tender pelaksanaan ekspo berkenaan kepada abangnya adalah tuduhan yang serius kerana orang ramai akan mudah terpengaruh dengan kenyataan Rafizi

“Saya melihat ini perkara yang serius. Bila kita lihat sidang media yang dilakukan oleh Rafizi, kalau orang tak mempunyai pengetahuan dalam isu ini saya boleh pastikan 100% orang percaya tuduhan Rafizi.”

Rafizi pada sidang medianya semalam mendakwa seorang individu bernama Raslan Dahlan, iaitu pemegang saham di PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan projek pameran itu, adalah abang Rahman.

Beliau kemudiannya mengakui Raslan bukan abang Rahman.

“Persepsi dan tohmahan Rafizi ini perlu dijawab. Saya boleh kata ia penyakit yang tidak boleh diubati. Dia telah berkali-kali dibuktikan membuat tuduhan salah identiti.”

Rahman turut menepis dakwaan Rafizi kononnya maklumat sekitar projek itu dibocorkan kakitangan UPE.

“Dia nak laga-lagakan saya dengan pegawai-pegawai saya. Ini taktik kotor. Tak adil kepada pegawai kerajaan yang bekerja siang dan malam. Mereka akur kepada kerajaan memerintah,” kata menteri.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.