https://critoxium.com/shop/

Terkini

Wajah Islam

Oleh Lim Hong Siang 

Seringkali apabila terserempak dengan golongan terpinggir, misalnya pengemis, atau pekerja kolar biru yang bergelut dalam kekotoran, misalnya pemungut sampah, ibu bapa akan menjadikannya sebagai bahan pengajaran kepada anak mereka. “Belajarlah bersungguh-sungguh supaya kamu tidak menjadi seperti mereka satu hari nanti.”

Kenyataan sedemikian mengandaikan bahawa golongan manusia ini tersepit dalam kesusahan kerana mereka malas belajar. Andaian sedemikian tidak semestinya tepat kerana ramai juga yang malas belajar, tetapi berjaya membebaskan diri dari kepapaan dengan cara yang pelbagai, halal mahupun haram. Apapun, kenyataan sebegini sekurang-kurangya mengakui bahawa kerja sebegini kotor dan meletihkan, jika bukan keji.

Cuba perhatikan reaksi spontan masyarakat kita – seandainya kita tidak mahu dipandang rendah, maka kita perlu mengelakkan diri daripada terjerumus ke lembah kemiskinan. Jikalau golongan terpinggir berada di lapisan paling bawah dalam masyarakat, maka kita perlu melonjakkan diri untuk menempah tempat di lapisan atas.

Persoalannya, mengapa kita tidak menasihatkan anak-anak kita agar belajar bersungguh-sungguh, supaya satu hari nanti mereka boleh memperbaiki nasib golongan terpinggir seperti pengemis, dan golongan kolar biru seperti pemungut sampah? Mengapa tidak digalaskan misi kepadanya, untuk membebaskan bukan sekadar dirinya, tetapi masyarakat secara keseluruhannya dari lembah kemiskinan?

Melonjakkan diri ke lapisan atasan tidak menghapuskan ketidakadilan dalam masyarakat. Struktur masyarakat kekal, cuma kita bukan mangsa, atau golongan yang tertindas. Dengan kata lain, kita tidak menghapuskan penindasan agar diri kita tidak ditindas, sebaliknya kita cuma memastikan kita bukan mangsa untuk ditindas. Malah, jikalau tidak dapat dielakkan, kami sanggup menjadi orang yang menindas, semata-mata kerana kita tidak mahu ditindas.

Mentaliti sedemikian berada di mana-mana, sungguhpun ia tidak membawa kita ke mana-mana. Paling lazim ketika ia dimanifestasikan dalam politik – parti yang tidak mahu didominasi, akan berusaha untuk menjadi parti yang mendominasi. Atau dalam hubungan agama, umat yang tidak mahu komunitinya dilihat “didominasi”, akan cuba sedaya-upaya untuk menampilkan imej dirinya untuk “mendominasi”.

Hakikatnya, mentaliti sedemikian merumitkan proses penyelesaian masalah dalam sesebuah masyarakat majmuk. Misalnya, komuniti Cina selama ini tidak berpuas hati kerana MCA dilihat “didominasi” UMNO. Lantas mereka menuntut agar DAP tampil dengan imej “mendominasi”. Namun demikian, seandainya DAP “mendominasi” gandingan parti politik yang disertainya, sudah tentu parti komponen yang lain akan dilihat “didominasi” – sama ada PKR, AMANAH mahupun PPBM. Jikalau DAP tidak mahu didominasi, sudah tentu parti komponen lain juga tidak selesa dengan kedudukan “didominasi”.

Saya masih ingat bagaimana gandingan Pakatan Rakyat cuba bereksperimen dengan “kedudukan yang samarata” di kalangan parti komponennya. Malangnya usaha ini digagalkan kerana ada pihak yang gagal bertahan dengan asakan UMNO bahawa parti Melayu-Muslim tidak mendominasi pakatan tersebut. Saya tidak pasti apakah ia disebabkan tekanan dari akar umbi parti yang belum bersedia untuk menerima cubaan baru ini, ataupun pemimpin parti sendiri yang juga terkongkong dengan mentaliti sedemikian.

Lebih-lebih lagi apabila mentaliti sedemikian dijelmakan dalam hal-ehwal agama. Tidak sukar untuk kita memahami kegusaran masyarakat muslim tempatan apabila ditakut-takutkan dengan propaganda “kemasukan anasir-anasir Barat yang boleh menghakis nilai Islam”, “kedudukan Islam tercabar” dan sebagainya. Dalam situasi sedemikian, masyarakat umat Islam akan bertindak balas untuk “mempertahankan martabat Islam”. Namun, sedar atau tidak, reaksi spontan sedemikian sering dilihat sebagai “memperkasa” (bukan sekadar “mempertahankan”) dan “memaksakan nilai Islam ke atas masyarakat bukan Islam”.

Maka timbullah pertikaian seperti pesta arak. Umat Islam khuatir, seandainya minuman arak dipestakan, ia bakal menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang majoritinya muslim. Nilai Islam harus menjadi tunjang dan teras kepada budaya Malaysia, maka sebarang amalan yang bercanggah dengan Islam, harus dilampu-merahkan.

Tetapi pertimbangan sedemikian tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat non-muslim yang menganggap hak mereka dinafikan. Bayangkan, apakah yang akan diluahkan kepada sahabatnya di luar negeri, ketika berkongsi pengalamannya sebagai minoriti dalam sesebuah negara yang majoritinya muslim?

Atau, apakah yang muslim harapkan, ketika jiran non-muslimnya menceritakan persepsinya terhadap Islam kepada sahabatnya di luar negeri? Merungut kerana umat Islam dengan majoritinya mencabul hak non-muslim sebagai minoriti untuk beralkohol, atau kagum kerana Islam menampilkan sifat keterangkuman atau inklusif, yang menghormati hak dan kebebasan non-muslim untuk mengamalkan cara hidup masing-masing?

Akhirnya, ia berbalik kepada persoalan apakah wajah Islam yang ingin ditampilkan muslim. Apakah muslim mahu Islam dikagumi kerana kedudukannya untuk mendominasi, atau Islam dihormati kerana keterbukaannya untuk mengiktiraf hak dan kebebasan manusia sejagat, sehingga tiada pihak merasakan dirinya didominasi sungguhpun mereka adalah minoriti dalam masyarakat tersebut?











Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.